U-SHARE > IKON > Rupa-rupanya ini punca si cantik Vaniesha, pelajar Orang Asli ini tiba-tiba tular!
Rupa-rupanya ini punca si cantik Vaniesha, pelajar Orang Asli ini tiba-tiba tular!
AZMI ABDUL MALEK 20 April 2018
MASYARAKAT Orang Asli sering dikaitkan dengan kelompok keluarga miskin dan tinggal di kawasan pedalaman pada masa lalu tanpa mempunyai kemudahan asas yang mencukupi. Walau bagaimanapun, pola kehidupan masyarakat berkenaan telah berubah apabila mereka turut mengalami proses pembangunan dan pemodenan terutama dalam bidang ekonomi serta pendidikan.

Malah, kini ramai dalam kalangan mereka yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan sekali gus memegang jawatan tinggi di sektor awam dan swasta. Golongan wanitanya juga tidak lagi sekadar menjadi suri rumah atau menemani suami mencari rezeki di hutan, malah berjaya dalam bidang pelajaran dan kerjaya.



Sebagai contoh, Vaniesha Williams Hunt, 20, yang berjaya mengharumkan nama masyarakat Orang Asli di seluruh negara apabila dinobatkan sebagai Pelajar Orang Asli Terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2017 Peringkat Kebangsaan dengan pencapaian cemerlang memperoleh 4A menerusi mata pelajaran Pengajian Am, Geografi, Bahasa Melayu dan Sejarah.

Vaniesha berkata, dia berasa amat bersyukur kepada Tuhan dan gembira kerana dapat menghadiahkan ibunya dengan keputusan cemerlang STPM di sekolahnya, baru-baru ini.

Vaniesha ketika menerima keputusan rasmi STPM daripada Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang Dan Muallim, Mohamad Fauzi Mahson di SMK Tapah, Perak.

Dedikasi buat ibu

Menurutnya lagi, ibunya Julia a/p Bah Aban banyak berkorban ketika membesarkannya adik-beradik dan sehubungan itu dia bertekad memberikan keputusan cemerlang STPM untuknya.

Vaniesha bersama ibunya, Julia.

Adiknya, Allyssa Williams Hunt, 17, yang masih menuntut di tingkatan lima di Sekolah Kebangsaan Buyong Adil, Tapah dan abangnya, Edward Lew Williams Hunt, 24, kini bertugas sebagai penguat kuasa kastam di Johor, turut memberi perangsang terhadap kejayaannya selama ini.

“Dengan cara ini saya dapat menunjukkan bahawa sokongan dan pengorbanan ibu dan adik-beradik selama ini dihargai," katanya yang mengambil masa empat jam setiap malam bagi mengulang kaji pelajaran di rumah antara jam 8 hingga 12 malam.

Dia merancang untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang perancangan bandar ataupun pendidikan dan bercita-cita menjadi seorang guru.

Bersama rakan-rakan asramanya ketika belajar di tingkatan enam atas di SMK Tapah, Perak.

“Masyarakat Orang Asli mesti berusaha memajukan diri dan jangan rasa terpinggir kerana semua pelajar pelbagai kaum di negara ini boleh berjaya tanpa mengira latar belakang daripada mana mereka berasal,” katanya.

Ibu mahu Vaniesha kekal sepertimana sekarang

Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang ibu apabila menyaksikan kecemerlangan anak-anaknya. Bagi Julia dan ahli keluarganya, kejayaan cemerlang Vaniesha itu bukan sahaja membanggakan keluarga bahkan juga masyarakat Orang Asli keseluruhannya.

Julia yang juga seorang Pembantu Operasi Hospital Tapah dan kini tinggal di Kampung Orang Asli, Batu Satu, Jalan Kuala Who, Tapah, Perak memang mengharapkan Vaniesha berjaya dalam pelajaran tetapi tidak menduga dia berjaya mencipta rekod sehingga ke peringkat tertinggi.

“Saya mahu dia melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat IPT dan keluar nanti sebagai Vaniesha sepertimana sekarang," katanya menaruh harapan.

Vaniesha sentiasa prihatin terhadap kehidupan masyarakatnya dan mengambil berat serta mesra dengan jiran tetangga.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Harulnizam Abdul Rahman berkata, JAKOA turut gembira dengan cemerlang Vaneisha yang dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik STPM 2017 bagi kategori pelajar Orang Asli.

"Perkara ini ternyata membanggakan warga JAKOA yang sentiasa menitikberatkan soal pembelajaran dan pendidikan secara berterusan dalam kalangan masyarakat Orang Asli bukan sahaja di sekolah malah di rumah bagi membentuk masa depan mereka yang lebih sejahtera dan terjamin," katanya.

Guru SMK Tapah, Ahmad Shahrizal Mohd Yatim turut berkongsi pengalaman berkata, selama dua tahun mengajar kelas tingkatan enam bagi mata pelajaran Pengajian AM, dia mendapati Vaniesha sememangnya menunjukkan potensi besar akan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM.

“Dia seorang yang gigih dan cekal walaupun ada ketikanya dia terumbang-ambing dalam pelajaran, namun masalahnya dapat diatasi dengan bantuan guru-gurunya yang lain. Dia juga seorang pelajar yang rajin dan tidak pernah berputus asa apabila sesuatu kegagalan menghantui pemikirannya," katanya.

Vaniesha juga rajin memasak ketika ibunya bekerja.

STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...
Setelah pelantikan Menteri Pendidikan baharu, Dr Maszlee Malik ada menyatakan, dirinya sendiri turut terkesan dengan pelbagai kesukaran dan bebanan yang dihadapi oleh murid dan...
Penuntut jurusan diploma akaun dari Politeknik Port Dickson ini tidak menjadikan ‘status isteri’ hanya layak duduk di rumah sebaliknya ingin berjaya dalam karier yang...