U-SHARE > IKON > Dilema asakan keluarga dan pilihan sendiri... ini Munsyi buat demi penuhi impian bergelar kenamaan dalam Oil & Gas
Dilema asakan keluarga dan pilihan sendiri... ini Munsyi buat demi penuhi impian bergelar kenamaan dalam Oil & Gas
SHAFIQ TINO 26 April 2018
Dua tahun berturut-turut menerima Anugerah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tertinggi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Mitec Bandar Seri Alam, menjadi motivasi kepada Mohd Munsyi Huzni Jamal Abd Nasir, 23, untuk bergelar 'kenamaan' dalam bidang minyak dan gas (oil & gas).

Menurut mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Penyelenggaraan dan Fasiliti ini, sejak di bangku sekolah lagi dia minat dalam bidang pengiraan malah Matematik menjadi pilihan utamanya sejak kecil.

“Ada sesuatu dalam bidang kejuruteraan ini yang buat saya seronok mempelajarinya. Ia adalah pengiraan. Jika orang lain tak suka, saya sebaliknya. Malah, lebih tumpukannya berbanding subjek sains lain seperti Biologi dan sebagainya.

Mohd Munsyi (dua, kanan) bersama rakannya Khairul Azam (dua, kiri) memenangi pingat perak dalam anugerah Inatex di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tahun lalu.

“Bila dapat belajar kejuruteraan ini, memang saya gembira sangat dan tahu rezeki saya ada di sini. Namun begitu, kita tidak boleh terlalu yakin kerana segala ketentuan adalah daripada ALLAH SWT, kita usaha dan tawakal kepadanya,” katanya kepada Kampus Uols.

Keluarga mahu bidang perubatan

Menceritakan serba sedikit mengenai perjalanan hidupnya dalam bidang pilihannya ini, menurut Mohd Munsyi, setelah menerima keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 8A1B pada 2012, keluarga memintanya untuk cuba memasuki bidang perubatan walaupun sebenarnya dia sudah ada pilihan sendiri.

“Saya bagi tahu saya nak masuk bidang kejuruteraan dan nak jadi jurutera. Mereka akhirnya akur dan hormati malah berikan sokongan penuh terhadap minat saya ini. Saya juga bertuah kerana rakan seperjuangan di universiti juga banyak membantu. Tanpa mereka, saya sudah pasti tidak berada di tahap ini,” katanya.

Anugerah Dekan

Mohd Munsyi yang kini sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat minyak dan gas di Kuala Lumpur dinobatkan penerima Anugerah CGPA tertinggi UniKL Mitec bagi kursus tersebut untuk tahun 2017 (3.86) dan 2016 (3.85).

Selain itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Dekan dari semester satu semenjak empat tahun menimba ilmu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan.

Mohd Munsyi ketika menerima Anugerah Dekan tahun lalu.

“Bila dah masuk dalam bidang ini (kejuruteraan) sasaran saya adalah untuk mempunyai kelayakan profesional khusus dalam sektor yang saya suka. Dan semestinya minyak dan gas adalah pilihan utama saya.

“Saya mahu menjadi seorang yang berjaya dalam bidang ini, kalau boleh sehingga capai tahap Pengurus Besar. Semestinya dekat dengan Pencipta itu adalah kunci kejayaan. Bila saya dah berjaya, rezeki boleh dikongsi dengan semua orang terutama rakan seperjuangan, kawan-kawan dan masyarakat,” katanya.

Selain itu, Mohd Munsyi yang juga meminati sukan badminton itu turut aktif dalam jawatankuasa universiti menerusi Persatuan Fakulti Kejuruteraan Penyelenggaraan Fasiliti UniKL Mitec.

Dia yang kini menyandang jawatan Exco akademik untuk persatuan berkenaan turut memaklumkan pelbagai program telah disertainya malah melihat ia sebagai laluan terbaik dalam membina jati dirinya sebagai modal insan berkualiti.

“Saya juga sering menyertai program dengan terlibat dalam jawatan kuasa tertinggi. Masa mula-mula jadi jawatankuasa tertinggi ini saya jadi Exco penajaan untuk program perkhemahan bersama sekolah di sini. Saya juga pernah jadi wakil (presenter) untuk satu projek dan kami juga dapat pingat emas dalam Ekspo Teknologi Malaysia tahun lalu,” katanya.

Mohd Munsyi (kiri) bekerjasama dengan pensyarahnya, Azman Abd Malik (tiga, kiri) lalu memenangi pingat emas dalam Ekspo Teknologi Malaysia tahun lalu.

Impi buka syarikat sendiri

Anak kedua daripada enam beradik ini juga mahu membuktikan kesungguhannya apabila tidak mahu memilih kerja, malah berpendapat bermula daripada bawah adalah permulaan kepada sesuatu yang menguja.

“Saya memang suka kerja di lapangan, sebab itu saya pilih bidang teknikal seperti ini. Biar berpanas, kita kerja keras dan hasilnya juga nanti akan lumayan. Sekarang bidang ini yang paling diperlukan dan saya harus merebutnya.

“Kalau ikut apa saya rancang, memang lima tahun pertama itu saya memang beri fokus habis kepada kerja-kerja di lapangan ini, cari pengalaman dan tajamkan sebaik mungkin skil dalam bidang ini. Lepas itu kalau ada rezeki kita cuba masuk dalam sektor pentadbirannya pula.

“Kerja perlukan kesabaran dan saya faham dengan konsep itu, lagi pun negara kita sedang membangun sekarang, saya pun faham dengan persaingan dan kehendak syarikat, kita tidak akan berjaya terus di atas tanpa susah dahulu,” katanya yang turut bercadang membuka syarikat sendiri satu hari nanti.

BIODATA

Nama : Mohd Munsyi Huzni Jamal Abd Nasir

Umur : 23 tahun

Asal : Muar, Johor

Adik-beradik : Kedua daripada enam beradik

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Penyelenggaraan dan Fasiliti, UniKL Mitec; Program Asasi di Kolej Mara Kuala Nerang, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir

STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...
Penuntut jurusan diploma akaun dari Politeknik Port Dickson ini tidak menjadikan ‘status isteri’ hanya layak duduk di rumah sebaliknya ingin berjaya dalam karier yang...
MASYARAKAT Orang Asli sering dikaitkan dengan kelompok keluarga miskin dan tinggal di kawasan pedalaman pada masa lalu tanpa mempunyai kemudahan asas yang mencukupi. Walau...