Uni-Kita > CETUSAN > Kurangkan cakap-cakap politik, hormati kedatangan bulan Ramadan
Kurangkan cakap-cakap politik, hormati kedatangan bulan Ramadan
Alhamdulillah, bulan yang paling dinanti-nantikan oleh semua umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia iaitu bulan Ramadan Al-Mubarak kini bakal berkunjung tiba. Ramadan dalam bahasa Arab membawa maksud ‘panas’ merupakan bulan ke-9 dan yang dianggap paling mulia dalam kalender umat Islam. Seperti bulan Islam yang lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari.

Sepanjang tempoh bulan Ramadan ini, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa seperti yang jelas termaktub di dalam Al-Quran bermaksud “Wahai orang-orang beriman, telah difardukan (diwajibkan) ke atas kamu puasa seperti mana telah difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah: Ayat 183).

Bulan Ramadan merupakan salah satu bulan Islam yang penuh dengan keberkatan, kemuliaan serta membawa ganjaran pahala besar buat umat Islam yang memenuhi bulan terbabit dengan segala amal ibadah serta mengisinya dengan pelbagai aktiviti berfaedah. Di dalam bulan ini juga pelbagai peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam seperti turunnya kitab suci umat Islam iaitu Al-Quran, pembukaan kota suci Mekah, serta kedatangan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar.

Dengan segala keistimewaan yang terdapat di dalam bulan mulia ini, sudah pasti kedatangannya paling ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Antara inti pati utama di bulan Ramadan ialah umat Islam perlu berpuasa atau menahan diri mereka daripada makan dan minum dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Namun ramai di antara umat Islam yang terlepas pandang bahawa kedatangan bulan Ramadan ini hakikatnya bukan sekadar menahan diri mereka daripada makan dan minum semata-mata.

Kalau kita lihat ayat Al-Quran seperti yang dinyatakan di atas walaupun ayat tersebut menyebut puasa secara umum, tetapi para Ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah puasa Ramadan secara khasnya.

Matlamat di sebalik puasa Ramadan telah disebut dalam ayat Al-Quran tersebut iaitu semoga kamu bertakwa, sekali gus menunjukkan bahawa matlamat utamanya bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga. Hal ini turut dijelaskan dalam hadis-hadis yang sahih, antaranya Rasulullah SAW telah bersabda, “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya serta berbuat maksiat, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Al – Bukhari).

Rasulullah SAW juga telah bersabda, “Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan dari makan dan minum, tetapi sesungguhnya puasa itu adalah dengan meninggalkan segala perbuatan yang mengundang dosa, lagha dan rafats. Sekiranya seseorang mencemuh kamu terhadapmu, maka katakanlah: “Sungguh aku sedang berpuasa.” (Sahih Riwayat Ibnu Khuzaimah). Dapat dilihat di sini, Rasulullah SAW sendiri telah menafikan bahawa puasa itu bukan hanya dengan menahan makan dan minum. Di samping menahan makan dan minum, Rasulullah SAW telah mengatakan bahawa puasa adalah dengan meninggalkan perkara yang boleh membawa kepada dosa, lagha dan rafats.

Dosa ialah melakukan perkara- perkara yang telah dilarang oleh Allah SWT seperti berjudi, mencuri, meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan lain-lain perkara kemungkaran. Rafats adalah perbuatan keji yang menjurus kepada lucah dan segala mukadimah zina seperti zina mata, telinga, mulut, sentuhan, kaki, hati yang mana itu semua termasuk dalam erti kata rafats. Lagha adalah melakukan sebarang perbuatan yang tidak berfaedah atau yang sia-sia.

Hormati bulan Ramadan dengan pengisian masa yang lebih bermanfaat dan berkualiti agar dapat mendidik diri menjadi insan lebih beriman.

Seperti yang kita sedia maklum negara kita telah pun selesai melaksanakan proses Pilihan raya Umum Kali Ke-14 (PRU14) pada minggu yang lalu yang telah menyaksikan perubahan drastik terhadap landskap politik negara dengan tertubuhnya sebuah pentadbiran baru semenjak negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Sudah pasti seiring dengan perubahan drastik ini, ramai di kalangan kita yang gemar bercakap-cakap mengenai isu politik yang kadang-kadang boleh membawa kelalaian serta pergaduhan di antara sesama kita tanpa disedari. Sekiranya ini berlaku, ianya bukan sahaja akan menjejaskan segala ibadah di bulan Ramadan malah akan turut menggugat kemuliaan bulan Ramadan itu sendiri.

Isu politik merupakan satu isu yang sensitif kerana setiap daripada kita mempunyai pandangan yang berbeza mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan politik. Jika ada yang tersilap cakap mengenainya, ia boleh membawa kepada perkara buruk berlaku di luar jangkaan. Walaupun tidak menjadi satu kesalahan untuk kita membicarakan perkara yang berkaitan dengan politik, namun sebagai umat Islam tumpuan seharusnya diberikan terhadap kemuliaan bulan Ramadan yang bakal tiba dengan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap segala ibadah yang perlu dilaksanakan sepanjang tempoh bulan Ramadan itu sendiri.

Proses pilihan raya sudah pun tamat, oleh itu adalah penting supaya umat Islam dalam negara dapat kembali bersatu serta memberi fokus terhadap segala ibadah yang perlu dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan. Umat Islam perlu menjaga segala perbuatan serta percakapan mereka pada setiap masa supaya ibadah puasa mereka tidak menjadi sia-sia sehingga menjejaskan kemuliaan bulan Ramadan.

Semoga bulan Ramadan kali ini membawa ganjaran pahala yang tinggi dan besar buat umat Islam keseluruhannya.

Disediakan oleh:

Dr. Muzaffar Syah Mallow,

Pensyarah Kanan,

Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...
Penuntut jurusan diploma akaun dari Politeknik Port Dickson ini tidak menjadikan ‘status isteri’ hanya layak duduk di rumah sebaliknya ingin berjaya dalam karier yang...
MASYARAKAT Orang Asli sering dikaitkan dengan kelompok keluarga miskin dan tinggal di kawasan pedalaman pada masa lalu tanpa mempunyai kemudahan asas yang mencukupi. Walau...