U-SHARE > IKON > Kekurangan bukan halangan Hadi jadi sumber inspirasi
Kekurangan bukan halangan Hadi jadi sumber inspirasi
ZALMIMAZURA ZAHARI 15 May 2018
Melihat kepada bentuk fizikal, memang anak muda ini cacat anggotanya; tangan dan kaki. Tetapi jangan dipandang pada kekurangan itu, kerana semangat yang dimilikinya sangat luar biasa jika dibandingkan dengan manusia normal yang lain.

Diberi nama Muhammad Hadi oleh ibu ayahnya, Halimah Che Pa dan Darus Dariman, jejaka beruia 22 tahun ini mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang dan merupakan pelajar contoh sejak di bangku sekolah lagi.

“Sejak memasuki tadika pada usia lima tahun saya sentiasa memotivasikan diri bahawa diri ini sama seperti orang lain. Apa yang orang lain buat, saya juga boleh lakukan,” katanya.

Dilahirkan di Hospital Gua Musang, Kelantan pada 22 Julai 1996, Hadi merupakan antara pelajar cemerlang dalam akademik dan wajar dijadikan contoh dan aspirasi buat rakan seangkatannya. Anak kedua daripada lima beradik ini kini menetap di Pendang, Kedah adalah pelajar tahun 4 daripada jurusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Hidup berdikari

Memandangkan Hadi sudah terbiasa hidup dalam zon selesa bersama keluarga sejak dari kecil, pernah seketika dia memohon untuk menyertai program perkhemahan semata-mata untuk mengetahui sama ada boleh hidup sendirian tanpa bantuan keluarga.

“Alhamdulillah keluarga memberi keizinan dan ketika di perkhemahan tersebut, segala-galanya saya lakukan sendiri dengan bantuan kawan. Pada permulaannya perkara yang kecil dan mudah bagi orang lain seperti memakai baju adalah amat sukar bagi saya namun lama-lama perkara itu mudah dilakukan. Syukur, saya berjaya melalui perkhemahan itu dengan baik,” kata Hadi menceritakan detik permulaannya untuk berdikari

Bertitik tolak dari situ, Hadi mula yakin dan merasakan bahawa sudah tiba masa untuk dirinya hidup berdikari. Setelah memperoleh keputusan cemerlang 9 A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Hadi tekad untuk tinggal di asrama apabila memasuki tingkatan empat di SMKA Kedah di Alor Setar.

“Mula-mula memang susah, tetapi selepas berulang-ulang dilakukan alhamdulillah saya mampu menyesuaikan diri di asrama dan sekolah, sehingga berjaya mendapat keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemudian memasuki program Tamhidi di Usim,” katanya yang berpesan supaya sentiasa menjaga adab terhadap ibu bapa untuk mendapat keberkatan.

Pencapaian cemerlang Hadi dalam akademik ketika PMR 9A melayakkan dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2012 selain turut dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan keputusan 11A dalam kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK).

Kemudahan untuk OKU

Ditanya kenapa Hadi memilih pengajian Undang-undang dan Syariah berbanding jurusan lain, jawab Hadi, sewaktu di zaman persekolahan, dia mengambil jurusan Aliran Sains Tulen namun setelah mendaftar masuk dalam program Tamhidi, dia memutuskan untuk mengikuti pengajian Undang-Undang dan Syariah kerana menyedari akan menghadapi banyak kesukaran bukan sahaja ketika belajar, malah di alam pekerjaan jika kekal dalam bidang sains.

“Saya mahu menjadi pensyarah Syariah dan Undang-undang kerana berpeluang untuk menyampaikan ilmu kepada orang lain yang mengikuti pengajian selama lima tahun,” katanya lagi.

Menceritakan dengan lebih lanjut tentang prasarana yang disediakan oleh pihak universiti untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), katanya dia bertuah kerana di Usim nasib insan sepertinya tidak dipandang ringan. Pihak universiti telah mengubah suai sebuah unit rumah di Kolej Kediaman Nilam Court, demi keselesaan mahasiswa OKU.

“Antara pengubahsuaian yang dilakukan adalah merendahkan suis elektrik bagi memastikan mahasiswa OKU seperti saya tidak berhadapan masalah untuk menyalakan lampu atau menggunakan peralatan seperti komputer bimbit. Selain itu, paip air di tandas direndahkan, manakala permukaan lantai di laluan utama separas untuk memudahkan pengguna kerusi roda.

“Saya tidak ada masalah tinggal di sini kerana berpengalaman tinggal asrama sejak tingkatan empat, dan saya turut berkongsi bersama tiga OKU lain dalam rumah yang mempunyai tiga bilik itu.

“Walaupun kolej yang didiami agak jauh dari kampus Usim, iaitu kira-kira 8.5 kilometer, saya tidak menghadapi masalah kerana Usim menugaskan seorang kakitangan untuk mengambilnya dengan kereta setiap pagi dan menghantar pulang setiap hari. Bagaimanapun, jika ada kuliah pada waktu malam, saya tidak pulang pada waktu petang, sebaliknya, menghabiskan masa dengan belajar atau membaca di surau sehingga kelas bermula pada jam 8 malam atau 9 malam,” ujarnya.

Jadi penceramah motivasi

Kejayaan menjejakkan kaki ke universiti menyebabkan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menjadikan Hadi sebagai ikon dan sering dijemput menyampaikan ceramah motivasi.

Hadi berkongsi pengalaman bersama adik-adik di salah satu program yang disertainya.

“Saya suka bersemuka dengan pelajar dan berkongsi suka duka untuk berjaya. Jika saya sebagai OKU boleh berjaya, pelajar lain yang normal juga boleh berjaya dan setakat ini saya telah menyampaikan sebanyak 20 ceramah motivasi,” katanya.

Di kesempatan ini Hadi turut memberi kata-kata nasihat buat rakan seangkatan yang mana katanya, orang takkan nampak kekurangan kita kalau kita berjaya. Malah katanya lagi, Kejayaan seseorang itu tidak diukur dengan berapa jumlah kekayaan yang dimiliki tetapi berapa ramai orang yang telah dibantu dan berkembang disebabkan hatinya tergerak untuk berubah. Semua orang mengimpikan kejayaan tetapi begitu sedikit individu yang berusaha ke arah itu. Setiap daripada kita ada peranan dalam menjadi agen pengubah masyarakat.

Hadi aktif menyertai pertandingan yang dianjurkan di dalam dan luar kampus.

“Justeru, kemaskan tekad dalam setiap perkara yang kita lakukan dan terus melangkah ke hadapan. Ingatlah setiap impian kita akan di perkecilkan orang tetapi usah risau dengan kata-kata tersebut kerana ia pembakar semangat untuk kita terus berjaya. Perjalanan saya di Usim masih panjang. Tempoh pengajian selama lima tahun baru bermula, tetapi saya hendak membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika hendak seribu daya, jika tak hendak, seribu dalih,” katanya yang berpegang pada prinsip ‘Hidup biar berjasa, Biar jasa jadi kenangan’.

Salah satu penglibatan Hadi menjadi ikon pelajar OKU Usim yang cekal wajar dikagumi.

Adegan menyentuh hati Hadi bersama Naib Canselor Usim, Datuk Musa Ahmad di Malam OKU Berdoa 3.0.

Bersama Naib Canselor Usim yang amat menyantuni komunit OKU.



STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...
Penuntut jurusan diploma akaun dari Politeknik Port Dickson ini tidak menjadikan ‘status isteri’ hanya layak duduk di rumah sebaliknya ingin berjaya dalam karier yang...
MASYARAKAT Orang Asli sering dikaitkan dengan kelompok keluarga miskin dan tinggal di kawasan pedalaman pada masa lalu tanpa mempunyai kemudahan asas yang mencukupi. Walau...