U-In-News > ISU > Bas diserang perusuh, ini yang terpaksa dilalui Syuhada dan rakan-rakan di Kashmir
Bas diserang perusuh, ini yang terpaksa dilalui Syuhada dan rakan-rakan di Kashmir
Kashmir merupakan salah sebuah negara yang mempunyai populasi penduduk Muslim yang sangat tinggi. Populasi masyarakat Muslim di sana mencapai sehingga 95 peratus daripada 12 juta orang penduduk dan selebihnya beragama Hindu, Buddha dan Sikh.

Pada 28 April lalu, saya dan 14 rakan universiti bersama 2 orang pegawai pengiring telah melawat ke bumi India khususnya di Kashmir di bawah program Global Islamic Students Outreach (GISO), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Kami berada di bumi India selama tujuh hari, 2 hari di Delhi dan selebihnya di Kashmir. Hal ini kerana tiada penerbangan terus ke Kashmir dan kami harus transit di Delhi terlebih dahulu.

Program ini bertujuan untuk memberi khidmat masyarakat dan membina hubungan baik bersama masyarakat di sana. Kami juga mengambil peluang keemasan ini untuk menimba pengalaman dan meneroka dengan lebih mendalam lagi di bumi yang mempunyai populasi Muslim yang besar ini.

Pengagihan barangan aktiviti kepada kanak-kanak Kashmir.

Betab Valley, menjadi tempat melakukan aktiviti bersama masyarakat dan disertai kanak-kanak dari sekolah rendah Kashmir dan masyarakat di sana bertemakan Special Moment Together and Spread Loves. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti pertukaran budaya, sukan rakyat tradisional seperti kriket dan takraw, kemahiran seni mewarna canselori Usim, kreatif khat, pencerahan aurat dan silangan budaya antara masyarakat Melayu dan Kashmir.

Matlamat kami dalam menjalankan aktiviti ini adalah memperluas pandangan mahasiswa secara global dalam pelbagai isu yang berkaitan masyarakat, persekitaran, menjaga keamanan dan isu-isu global lain. Program ini juga dapat mengajar generasi muda untuk berfikir dan menyesuaikan diri mengikut keadaan sekeliling.

Menunjukkan hasil ‘kreatif khat’ yang dipelajari.

30 jam perjalanan

Pelbagai cabaran yang kami lalui sebelum sampai ke sana, ia dikira sebagai pengalaman pahit di mana jadual penerbangan kami pada hari ketiga di Delhi untuk bertolak ke Kashmir dibatalkan mendadak. Agak terkejut kerana kami hanya dimaklumkan 2 jam sebelum berangkat. Pihak penerbangan sana memaklumkan pembatalan penerbangan adalah atas faktor kapal terbang yang tidak dapat keizinan untuk berlepas dan sebagai langkah keselamatan kepada semua penumpang. Agak kecewa dengan sistem mereka di sana, namun, kami anggap ia adalah sebagai satu ujian.

Aktiviti sukan tradisional negara India, kriket diberi tunjuk ajar oleh masyarakat sana.

Kemudian, pegawai pengiring kami mencadangkan untuk menaiki bas sebagai inisiatif untuk berangkat ke Kashmir. Kami setuju dan sepakat tidak mahu menunggu lama di Delhi kerana bimbang drag masa di sana selain masalah pembelian tiket penerbangan secara on the spot adalah tinggi. Alhamdulillah kami dapat berunding bersama Mr Ranjit yang juga memiliki sebuah syarikat bas, sudi untuk membawa kami ke Kashmir. Bas khas disediakan demi keselesaan kami yang mana perjalanan dari Delhi ke Kashmir mengambil masa selama 30 jam perjalanan.

Pegawai pengiring, Dr Nik Syafikuddin sedang menyerahkan ‘hygine kit’ kepada kanak-kanak.

Sungguh ia adalah cabaran yang besar, namun kami tetap berfikiran positif antara satu sama lain. Walaupun mengambil masa yang lama di dalam bas, hikmahnya secara tidak langsung kami dapat melihat kehidupan rakyat perkampungan India dalam menjalani kehidupan harian mereka selain menikmati alam dan mengeratkan ukhuwah sesama kami semasa di dalam bas. Walaupun masyarakat Muslim di Delhi tidaklah ramai, namun dapat dilihat, masjid di sana tetap diimarahkan sesama Muslim. Walaupun mereka mempunyai pegangan agama yang berbeza kerana majoriti di Delhi mereka mengamalkan agama Hindu dan Sikh, namun mereka tetap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Kanak kanak lelaki sedang mewarna gambar canselori Usim.

Dibaling batu

Apabila tiba di kawasan pekan Kashmir, satu lagi dugaan buat kami yang mana kami dikejutkan dengan satu berita keadaan di sana sedikit bergolak kerana terdapat rusuhan antara penduduk dan pihak polis. Malang tidak berbau, bas yang kami naiki turut ‘diserang’ oleh perusuh dengan dibaling batu. Namun, kami semua dalam keadaan selamat dan sebagai langkah keselamatan, kami tidak dibenarkan duduk di sebelah tingkap. Perasaan ketika itu, hanyalah Tuhan yang tahu dan kami tidak henti berdoa agar semuanya dalam keadaan selamat sehingga sampai ke tempat destinasi.

Sumbangan untuk penubuhan masjid di perkampungan Kashmir.

Alhamdulillah, setibanya di Betab Valey, kami berjaya menjalankan aktiviti bersama kanak-kanak dan penduduk di sana, hilang segala penat lelah dan liku liku yang dialami tatkala melihat wajah-wajah keceriaan mereka. Hal ini membangkitkan perasaan lebih bersemangat dalam diri saya dan rakan-rakan yang lain.

Dari pandangan saya, walaupun gaya hidup mereka adalah sederhana, namun mereka sangat rajin dalam mencari rezeki buat keluarga tercinta. Penduduk di sana, menjalankan perniagaan hasil usaha yang mereka cipta seperti ukiran kayu, menjual makanan mahupun membuat perkhidmatan terhadap pengembara yang datang.

Walau pelbagai rintangan dan diuji dengan dugaan, namun hati dan perasaan ini terubat melihat kegembiraan mereka di sana ditambah pula pemandangan yang indah bagaikan syurga dunia. Memori Kashmir ini tetap menjadi kenangan manis buat diri saya dan rakan lain serta objektif kami dalam membuat amal di bumi asing dapat dijadikan contoh yang positif dan berguna.

Gambar kenangan bersama 14 rakan perjuangan dan 2 orang pegawai pengiring di Betab Valey.

*Nur Syuhada Zamri merupakan siswi Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Komunikasi Dengan Kepujian, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Setelah pelantikan Menteri Pendidikan baharu, Dr Maszlee Malik ada menyatakan, dirinya sendiri turut terkesan dengan pelbagai kesukaran dan bebanan yang dihadapi oleh murid dan...