U-8Tive > TIP SIHAT > Stres kalangan ahli akademik: Dua KPI nak kena capai
Stres kalangan ahli akademik: Dua KPI nak kena capai
Mendepani cabaran perubahan persekitaran persaingan, teknologi, sosial, ekonomi, politik dan seumpamanya turut membawa perubahan kepada landskap dunia pendidikan sama ada di universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Pengetahuan yang baik dan kecemerlangan keputusan peperiksaan tidak lagi boleh dijadikan sandaran oleh graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Ini kerana, majikan memerlukan dan mencari graduan berpengalaman dan mampu menjayakan strategi organisasi selari dengan perkembangan dunia pada masa hadapan.

Harapan tinggi daripada pihak majikan ini sudah tentunya memberikan cabaran kepada ahli akademik sebagai tunjang kepada pembentukan generasi yang seimbang dengan tuntutan dunia pekerjaan.

Universiti Penyelidikan (Research University - RU) merupakan institusi yang diharap mampu menyediakan pengalaman baharu kepada graduan yang lebih berjati diri, berdaya saing dan lebih lestari dengan cabaran persekitaran. Harapan ini perlu diterjemahkan oleh ahli akademik RU yang mana tumpuan lebih perlu diberikan kepada penyelidikan dan pembangunan.

Selain itu, kecenderungan dan persaingan antara ahli akademik dari universiti awam/institusi pendidikan tinggi swasta ke arah peningkatan penerbitan dan penarafan universiti yang semakin dituntut masa kini menjadikan tugas ahli akademik semakin

mencabar.

Harapan dunia pekerjaan terhadap graduan yang dihasilkan, dan pada masa yang sama, harapan universiti terhadap ahli akademiknya agar mereka lebih tegar dalam penyelidikan dan pembangunan, telah menjadikan isu stres lebih signifikan untuk diperkatakan dalam kalangan ahli akademik.



Petunjuk prestasi utama

Seseorang ahli akademik biasanya mempunyai beban tugas tertentu yang diterjemahkan dalam bentuk petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan. Mereka perlu memenuhi keperluan ini untuk mendaki tangga kerjaya yang diimpikan. Malangnya, perubahan yang berlaku dalam persekitaran kini turut membawa perubahan dalam KPI utama ahli akademik. Kriteria perkembangan kerjaya yang terdahulu diterapkan dalam perancangan tugas, telah berubah kepada kriteria baharu.

Ini menjadi satu lagi cabaran baharu bagi mereka memenuhinya. Perubahan yang memberi impak kepada perkembangan kerjaya individu sudah pastinya mencetuskan stres dalam kalangan ahli akademik. Jika menjadi ahli akademik biasa pun seseorang itu mengalami stres, bayangkanlah ahli akademik yang memegang jawatan pentadbiran seperti dekan dan pengarah.

Bagi ahli akademik pentadbir, selain perlu memenuhi KPI dalam tugasan hakiki sebagai ahli akademik, mereka juga perlu menyempurnakan tugasan sebagai pentadbir.

Para pentadbir akademik perlu bergegas ke sana ke mari menghadiri mesyuarat demi mesyuarat, merangka strategi dan pelan pembangunan pusat/fakulti dan pelbagai lagi aktiviti yang perlu dilakukan. Jawatan pentadbiran ini turut memperincikan diskripsi tugas dan KPI masing-masing.

Tugas hakiki sebagai tenaga akademik pada masa yang sama tidak boleh dikesampingkan. Dengan dua KPI berasingan yang perlu dicapai, tanpa sebarang kajian ilmiah pun kita sudah dapat meneka tahap stres yang bakal dialami oleh akademik pentadbir.

Jadi, isu stres dalam kalangan akademik pentadbir tidak boleh dipandang enteng oleh organisasi. Oleh itu, stres dalam kalangan pentadbir akademik seharusnya diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan negatif terhadap kesihatan pekerjaan dan akhirnya menjejaskan produktiviti individu dan organisasi.

Faktor kawalan

Stres dalam kalangan ahli akademik telah banyak dikaji di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, stres dalam kalangan para pentadbir fakulti dalam kumpulan ini masih belum dikupas sepenuhnya lagi terutamanya dalam konteks RU tempatan. Trend di beberapa buah negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Afrika Selatan dan Uganda menunjukkan bahawa stres sememangnya wujud dalam kalangan ahli akademik yang juga bertindak sebagai pentadbir di universiti.

Dari aspek jenis institusi pula, RU di Amerika Syarikat telah dilaporkan mempunyai bebanan kerja yang paling tinggi berbanding lain-lain jenis universiti di negara tersebut. Kesemua trend yang berkait dengan stres ini menunjukkan ia amat berkait dengan kesejahteraan modal insan.

Penemuan kajian yang dijalankan ke atas RU menunjukkan bahawa stres pekerjaan memberi kesan kepada para pentadbir akademik. Punca stres yang utama dihadapi oleh pentadbir adalah faktor kawalan. Individu yang mampu mengawal persekitarannya dan mereka pula adalah pembuat keputusan, berkemungkinan besar tidak mengalami stres berbanding mereka yang kurang berupaya mengawal persekitaran masing-masing.



Manakala, impak stres yang dialami oleh pentadbir adalah menjurus kepada komitmen individu. Akhir sekali, faktor produktiviti individu yang paling menerima kesan akibat stres adalah tugas-tugas pentadbiran. Penemuan kajian menunjukkan semakin tinggi tahap stres pentadbir akademik, semakin kurang komitmen terhadap organisasi dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap kesihatan.

Dapatan kajian menunjukkan pihak pengurusan universiti awam/institusi pendidikan tinggi swasta perlu mengambil inisiatif menangani isu stres pekerjaan. Antara langkah yang perlu diambil termasuklah melakukan pengubahsuaian dan mengkaji semula sumber-sumber stres dalam kalangan pentadbir.

Antara usaha yang boleh diambil ialah mengkaji dan menilai bebanan tugas, membangunkan strategi bagi mengimbangi tuntutan kehidupan dan kerjaya, menambah baik faktor kawalan kerja, gaji dan faedah serta latihan dan pembangunan kerjaya. Inisiatif menangani stres pekerjaan dalam kalangan pentadbir akademik ini diharap dapat menambah baik komitmen dan kesihatan individu. Komitmen dan kesihatan sumber manusia organisasi amat berkait dengan kesejahteraan modal insan yang akhirnya meningkatkan produktiviti organisasi secara keseluruhannya.

Ringkasnya, isu stres dalam kalangan pentadbir akademik merupakan isu yang perlu ditangani segera agar matlamat institusi pendidikan dalam melahirkan generasi yang kompetitif berjaya direalisasikan. Selain itu, dengan adanya usaha menangani stres dalam kalangan pentadbir akademik, adalah menjadi harapan kita semua supaya statistik dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bagi kes gangguan mental di Malaysia tidak lagi menunjukkan peningkatan. Walaupun ia kedengaran dan kelihatan seperti angan-angan Mat Jenin, segalanya berkemungkinan.

Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...