> > Adakah seseorang itu pendidik yang baik jika memberi gred A pada pelajarnya?
Adakah seseorang itu pendidik yang baik jika memberi gred A pada pelajarnya?
AZIZI AHMAD (IPGKBA) 18 April 2018

Bagi para pendidik yang mahir menggunakan gajet teknologi maklumat pastinya sekarang akan membelek dan menatap telefon pintar mereka sebaik sahaja mereka menghantar dan memaklumkan gred penilaian kepada pelajar mereka.

Ada yang bersikap tegas, ada yang dengan sesenangnya memberi markah dan gred agar dikatakan ‘baik’ tetapi seorang pemeriksa yang baik, jujur dan telus akan memberitahu pelajar mereka untuk menerima gred yang telah dimuktamadkan, dan yang paling baik akan duduk bersama dengan pelajar dan akan menerangkan serta menjelaskan setiap keputusan yang dibuat terhadap tugasan atau kerja kursus.

Dalam mana-mana institut pengajian tinggi, pendidik atau pensyarah mestilah seorang yang menguasai pengajaran dan pembelajaran sesuatu subjek dan hanya akan bersetuju dan bersedia memberi gred A kepada calon pelajar jika calon memenuhi kehendak dan mematuhi skrip pemarkahan dan ini menyebabkan hubungan diantara pendidik dan calon pelajar menjadi agak tidak mesra.

Hampir semua pelajar mahukan ‘A’ untuk mata pelajaran mereka, walaupun kualiti kerja mereka tidak memenuhi keperluan untuk gred.

"Di Australia, orang yang paling bijak sekali pun perlu berusaha untuk mendapat A." Mereka akan datang dengan kenyataan seperti "Saya telah melakukan segala-galanya dan tidak tidur siang dan malam dan tidak boleh menerima apa-apa kurang daripada A".

Mungkin calon pelajar harus bertanya diri sendiri mengapa mereka merasa berhak untuk mendapat ‘A’?

Menilai hasil kerja pelajar adalah perkara yang sangat serius dan berkepentingan tinggi. Tidak ada pendidik yang ingin menjejaskan masa depan pelajar dan tentunya ingin menyelesaikan kerja pentaksiran dengan baik.

Mungkin pelajar kita mempunyai impian untuk menyertai pengajian di Liga-Ivy (Ivy-League) untuk perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka, itu adalah satu impian yang sangat baik. Tapi mari saya berkongsi sedikit perkara kepada pembaca melalui pembacaan saya.

Stuart Rojstazcer, seorang bekas profesor Universiti Duke yang menyelidik gred kolej menulis bahawa, A telah menjadi gred paling biasa di Harvard University selama 20 tahun, dan telah menjadi gred paling umum di seluruh negara sejak tahun 1998.

Dia mendapati bahawa antara 1983 dan 2013, gred purata Kebangsaan meningkat daripada 2.8 kepada 3.1, dengan peningkatan terbesar di pengajian sekolah swasta (2.9 hingga 3.4).

Bagi pendidik atau pensyarah di institusi pendidikan, kebanyakannya terlibat dalam kursus dan peperiksaan yang termasuk penulisan akademik, penyelidikan tindakan, pembentangan dan lain-lain.

Namun di Australia, nampaknya skoran 100 markah penuh kelihatan tidak dapat dicapai. Beberapa rakan saya yang lulus dari Australia dan New Zealand mengesahkan kenyataan ini.

Tidak ada jawapan yang lengkap atau betul untuk sebarang soalan dalam bidang-bidang disiplin Psikologi, Sosiologi, Pedagogi, dan sebagainya. Oleh itu, siapakah yang boleh mengesahkan bagaimana untuk memberi markah 100 untuk mata pelajaran yang disenaraikan?

Miller dan Carls telah menulis garis panduan untuk pelajar-pelajar Colorado State University dan University of Iowa yang merancang lawatan belajar ke Australia dan garis panduannya berbunyi: "Tidak ada gred inflasi di Australia ... majoriti pelajar Australia hanya menerima gred lulus ... atau sekadar lulus OK. "

Menjadi pelajar institut pengajian tinggi (sama ada kerajaan atau swasta), ia sentiasa menjadi tempat sesiapa sahaja untuk berusaha membangunkan kerjaya dan mendapatkan ilmu pengetahuan yang lebih tinggi.

Di Australia, ijazah yang anda peroleh dari institut pendidikan tertentu akan secara automatik memaklumkan siapakah majikan masa depan anda dan apa yang bakal majikan mereka perlu tahu mengenai anda. Gred bukanlah sesuatu yang dianggap tidak penting untuk pendidikan tinggi.

Menurut Chronicle of Higher Education A.S., untuk memperolehi pekerjaan, perolehan keputusan dari latihan amali dan kegiatan kokurikulum turut diambil kira. Purata mata gred tertinggi tidak menjamin anda mendapat pekerjaan, jadi mengapa kita perlu akan ‘gred inflasi’?

Ramai yang membaca dan mengetahui tentang kehebatan belajar di Harvard atau Cambridge; dan hanya pelajar bergred A yang diterima dan adalah wajar untuk melihat perkembangan kemajuan mereka dengan mengekalkan gred A. Tetapi, tiada siapa yang boleh menjamin bahawa pelajar akan mengekalkan etika kerja mereka sepanjang pembelajaran mereka.

Saya selalu percaya bahawa institut pengajian tinggi adalah tempat untuk anak-anak muda untuk mencuba, berusaha, menikmati dan mendapatkan pengalaman dengan sedikit tekanan.

Gred inflasi di kebanyakan institusi pengajian tinggi biasanya berlaku kerana bagi keluarga yang membelanjakan ribuan ringgit untuk pengajian anak mereka tentu mahu anak-anak mereka mendapat A.

Tetapi dalam beberapa kajian tahap yang lebih tinggi, sesuatu kerjaya memerlukan penguasaan dan kemahiran yang tinggi dalam subjek yang diambil.

Jadi, lihatlah dengan cara ini, jika semua orang mendapat A, bagaimana kita akan mengenali mereka yang tahu dan benar-benar menguasai bidang mereka?

Untuk menjadi kompetitif pada abad ke-21, kita memerlukan orang yang terbaik (berpengetahuan, mahir dan kompeten).

Mungkin Australia menyediakan jenis pendidikan yang menyediakan pelajar untuk masa depan yang tidak menentu dan mungkin Amerika dan Malaysia juga perlu belajar dari keadaan ini.

Jadi adakah kita akan memberi ‘A’ dengan begitu senang dan mudahnya agar dikatakan ‘baik’ oleh pelajar atau kita berpegang pada sistem yang agak sukar.

Penulis: AZIZI AHMAD

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...