Bagi yang pernah melalui kawasan Perumahan Pantai Permai, Pantai Dalam Kuala Lumpur, mesti korang perasan ada satu gerai kecil di hadapan perumahan tersebut yang menjual pelbagai makanan. Makanan yang dijual bukan sembarangan tau. Selain bihun, nasi lemak dan kuih muih, roti canai yang dijual tiba-tiba menjadi tular.
Warung Pak Ali menjadi popular gara-gara roti canai tsunami yang ciptanya mula tersebar luas. Pemiliknya, Muhamad Ali Daud dan isteri Noridah Sapak sendiri tidak menyangka idea cetusan nama tsunami daripada anak mereka itu segera tular di media sosial.
Semuanya bermula apabila pensyarah kepada anak lelaki mereka bekas graduan Universiti Malaya, meminta dibuatkan roti canai lain dari yang lain. Hidangan itu mulanya diberi nama ‘Roti Special’ oleh anak sulung Pak Ali kemudian diubah menjadi ‘tsunami’ bagi mencipta keunikan menu. Roti canai ‘tsunami’ sebenarnya adalah roti banjir yang ‘disirami’ kuah kari , dal dan sambal. Lebih lazat lagi ia turut ditambah dua biji telur separuh masak .
Sungguh mengenyangkan dengan harga RM 2.40 satu set bersama minuman teh atau teh o ais. Tak cukup satu, minta sekeping lagi cuma RM 3.00 sahaja. Sambal ikan bilis yang menjadi campuran kuah menambahkan keenakan. Kari sardinnya juga cukup menyelerakan.
Gerai yang terletak di Pantai Dalam itu memang cukup terkenal di kalangan siswa siswi Universiti Malaya. Tak hairanlah antara pelanggan tetap Pak Ali merupakan para pelajar dari UM sendiri. Memahami kesulitan pelajar, Pak Ali sedar kesukaran pelajar mendapatkan sarapan bajet yang mengenyangkan, justeru, Pak Ali menawarkan harga diskaun untuk pelajar makan di gerainya.
Kalau dahulu Pak Ali menyediakan 20 kg tepung untuk membuat roti canai setiap hari, kini dia menambah adunan kepada 35 kg bagi memenuhi permintaan pelanggan. Seawal 7.00 pagi lagi pelanggan sudah beratur panjang.
Di samping roti canai ‘tsunami’ Pak Ali turut menyediakan roti telur, sardin, nasi lemak, bihun dan kuih muih. Jika anda ingin singgah ke sini, gerai ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 7 pagi hingga 11 pagi.