U-SHARE > IKON > Kerja gila! Hafizan sanggup tinggalkan gaji lumayan dan jadi penternak ikan... ini sebabnya
Kerja gila! Hafizan sanggup tinggalkan gaji lumayan dan jadi penternak ikan... ini sebabnya
NORHASPIDA YATIM 25 April 2018
Demi minat dan inginkan pekerjaan yang menjanjikan masa untuk keluarga, seorang siswazah perakaunan dari Kampung Pengkalan Setar sanggup meninggalkan kerjaya dan menceburi ternakan ikan air tawar.

Che Muhammad Hafizan Che Razali, 27, yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat terkenal sebagai juruaudit kewangan dengan gaji lumayan kini mengambil keputusan beralih ke bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Memang kerjaya saya sebelum ini menjanjikan gaji lumayan, namun, bebanan kerja membuatkan saya berfikir untuk beralih ke bidang lain bagi menjana pendapatan. Tambahan pula, setelah berkahwin, saya mula memikirkan perancangan masa depan keluarga, saya tidak mahu mengabaikan mereka tanpa mempunyai kualiti waktu untuk diluangkan bersama-sama.

Antara kolam lain yang turut diusahakan di Sungai Manir, di Kampung Beladau Kolam yang menempatkan tilapia telah matang.

“Lagipun, menternak ikan umpama satu ketenangan buat saya. Jadi, tidak salah mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan biarpun bidang yang saya belajar jauh berbeza dengan apa yang saya usahakan sekarang,” katanya.

Permintaan tinggi

Pemegang diploma dan ijazah perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, pada mulanya dia meminati perusahaan ternakan udang namun disebabkan kekangan dari segi lokasi, dia memilih menternak ikan sangkar.

“Sebelum pilih untuk ternak ikan sangkar ini, saya sendiri ada buat penyelidikan sendiri terutama dari segi pasaran dan cabaran-cabaran yang akan ditempuh kerana ia memakan modal yang agak besar. Disebabkan permintaan pasaran bagi ikan air tawar di Terengganu agak tinggi, saya mula berfikir mengapa tidak merebut peluang untuk terlibat dalam perusahaan ini,” katanya yang mendaftarkan perniagaan sebagai Syarikat CTE Aqua Enterprise dan mula beroperasi sepenuhnya awal Januari lalu di Sungai Manir, Kampung Beladau Kolam.

Bermodalkan RM50,000

Hafizan yang juga peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE 5.0) berkata, sebagai modal permulaan, dia membelanjakan kira-kira RM50,000 bagi membina 10 buah sangkar ikan termasuk membeli benih ikan serta mendapatkan bekalan makanan (palet).

“Perniagaan ini memerlukan modal besar sebab tu kena betul-betul berani mencuba. Maklumlah, ternakan ini ramai musuh seperti burung yang akan memakan benih ikan yang masih kecil, memerang dan biawak,” katanya.

Tambahnya lagi, dia begitu berbesar hati menerima bantuan geran RM15,000 di bawah program peningkatan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Bumiputera oleh SME Corp Malaysia.

Pengarah SME Corp Malaysia Terengganu, Muhammad Ibrahim ketika melawat tapak operasi ternakan ikan air tawar diusahakan Hafizan.

“Saya amat berterima kasih dengan peluang dan pengalaman selama tiga minggu menyertai TUBE 5.0, banyak pengalaman saya dapat di samping dapat membantu membina jaringan dalam perniagaan saya,” katanya.

Lebih mesra disapa Ijan, menurutnya, sebagai permulaan dia menyasarkan untuk menternak tiga jenis ikan iaitu ikan tilapia, patin dan baung.

Hafizan menunjukkan contoh tilapia yang telah matang dan sedia untuk dipasarkan.

“Setakat ini terdapat dua jenis ikan ternakan saya iaitu tilapia dan ikan patin yang mana benih yang dipelihara berusia tiga bulan manakala benih bagi ikan baung kini masih dalam proses dan ia akan sampai tidak lama lagi. Setakat ini setiap satu sangkar boleh memuatkan sebanyak 2,000 benih ikan,” katanya.

Dari segi sasaran pengeluaran, katanya, dia menyasarkan satu tan bagi setiap satu petak sangkar menjadikan sejumlah 10 tan ikan yang dapat dihasilkan bagi setiap tuaian.

“Berat bagi setiap seekor ikan tilapia matang (enam bulan) mampu mencecah antara 500 hingga 700 gram. Bagi ikan patin pula ada yang cecah lebih sekilogram. Jadi, saya rasa mampu untuk capai sasaran itu. Dari segi pasaran pula, setakat ini saya sasarkan untuk tembusi pasaran dalam Terengganu dan selepas itu akan cuba untuk intai pasaran luar,” ujarnya.

Memberi makan ikan ternakannya.

Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...