SINTOK, 19 JAN 2018 - Memperkasakan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini menjadi antara agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan yang menciptakan peluang pekerjaan pada masa depan.
Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata untuk itu satu daripada usaha yang dilakukan kementeriannya adalah dengan mengambil langkah agresif menjalin kerjasama bersama Alibaba Business School bagi melaksanakan program Global E-Commerce Talents (GET) 'Train the Trainer' dalam usaha mendedahkan ilmu industri e-dagang global secara lebih mendalam kepada peserta.
"Kursus pertama Siri 1/2018 ini merupakan kolaborasi UUM (Universiti Utara Malaysia) dan Alibaba. Untuk program ini kita fokus untuk pensyarah universiti. Di samping itu, dalam memastikan pelajar juga turut terlibat dalam keusahawanan ini, seramai 30 mahasiswa kita akan berlepas ke China pada Sabtu ini.
"Mahasiswa ini akan berada selama seminggu di sana bagi mengkaji mengenai digital ekonomi di China yang akan dipimpin oleh Alibaba. Kerajaan akan memastikan agenda ini disebar luas kepada pelajar supaya mereka mencipta peluang pekerjaan dan bukan mencari pekerjaan selepas mereka tamat pengajian nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program GET di UUM di sini hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden Alibaba Group Brian Wong dan Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.
Selain itu, Noorul Ainur berkata beliau juga akan berbincang dengan Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh mengenai keperluan menyediakan sijil pengiktirafan daripada Alibaba kepada peserta yang terlibat dalam semua program keusahawanan e-dagang yang dikendalikan oleh Alibaba Business School di institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, Wong berkata Alibaba Business School menyasarkan 5,000 pelajar Malaysia memiliki kemahiran kompetitif yang diperlukan dalam industri e-dagang global melalui program GET siri pertama yang diadakan di EDC Hotels and Resorts, UUM dari 14 Januari hingga hari ini.
Beliau berkata siri pertama program itu disertai 50 pensyarah dari enam IPT antaranya UUM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia dan masing-masing akan membimbing 100 pelajar di kampus mereka selepas ini. - Bernama