> STAR > Syawal bercinta dengan raket sejak usia 6 tahun
Syawal bercinta dengan raket sejak usia 6 tahun
FARAH SHAZWANI ALI Rabu | 28 Februari 2018

Bermula daripada dorongan ayah yang begitu meminati bidang badminton, siapa sangka minat itu diturunkan kepada anak-anak. Nur Syawal Mat Desa, 22, antara jaguh badminton yang makin menyinar, khususnya dalam Majlis Sukan Politeknik ini berkata, dia amat beruntung kerana ayahnya, Mat Desa Sulong, 57, yang ‘membuka jalan’ untuknya.

Seawal usia enam tahun, dia mula memegang raket dan apabila berusia tujuh tahun, dia mula diserap di bawah Persatuan Badminton Negeri Terengganu.

Muncul johan ketika menyertai Kejohanan Badminton Kemaman 2017.
Muncul johan ketika menyertai Kejohanan Badminton Kemaman 2017.

“Ayah yang mula-mula bawa dan kenalkan saya pada jurulatih. Ia bermula dengan abang saya dan kemudian adik-beradik saya dan kami bernaung di bawah persatuan. Daripada sembilan beradik, lapan orang yang aktif bermain badminton manakala kakak kedua saya hanya bermain di peringkat daerah. Terima kasih pada ayah, kami berpeluang kenal dunia luar melalui badminton dan ia menjadi cinta pertama kami adik-beradik,” kata anak keempat daripada sembilan beradik ini.

Syawal yang juga pelajar Politeknik Kuala Terengganu (PKT) berkata, dia mula menyertai kejohanan ketika berusia 10 tahun dalam Kejohanan Badminton Sirkuit Remaja Kebangsaan di Johor kategori bawah 12 tahun.

Menurutnya, walaupun tidak berjaya dalam kejohanan itu, ia menjadi titik permulaannya untuk serius dalam bidang ini dan sejak itu, dia mula menyertai sirkuit remaja kebangsaan dua kali setahun.

Syawal dan pasukannya meraih tempat ketiga ketika mewakili Malaysia dalam sukan badminton sempena AUG 2016.
Syawal dan pasukannya meraih tempat ketiga ketika mewakili Malaysia dalam sukan badminton sempena AUG 2016.

“Saya pernah mendapat tempat kedua bagi kategori perseorangan lelaki dalam Kejohanan Badminton Tertutup Terengganu, sewaktu berusia 16 tahun. Pencapaian terbaik saya adalah semasa berumur 17 tahun, menjadi johan bagi kategori beregu lelaki, 18 tahun ke bawah dalam Kejohanan Badminton Melayu-Asean di Kuala Lumpur. Manakala pada usia 18 tahun, saya mula bermain di luar negara dengan menyertai kejohanan badminton di Batam, Indonesia,” katanya.

SYAWAL

Aktif wakili Politeknik

Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik ini juga berjaya membawa pulang pingat emas sempena Kejohanan Karnival Sukan Politeknik (MSP) 2017, sekali gus dinobatkan sebagai Atlet Terbaik bagi sukan badminton.

Lebih membanggakan, dia juga dicalonkan bagi Anugerah Olahragawan Harapan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik Malaysia (polySEA) 2016 kerana begitu menyerlah dan cemerlang dalam sukan badminton di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Syawal pernah mewakili Malaysia dan Terengganu dalam sukan badminton sempena Asean University Games (AUG) 2016 dan mendapat tempat ketiga bagi kategori kumpulan serta menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Syawal bersama keluarga tersayang yang menjadi tulang belakangnya selama ini.
Syawal bersama keluarga tersayang yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

Selain itu, dia juga pernah mewakili Politeknik Malaysia dalam Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2016 dan berjaya merangkul naib johan perseorangan lelaki.

Ingin wakili universiti

Syawal kini sedang menjalani latihan industri di Jabatan Pembangunan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). Walaupun sibuk dengan pelajarannya, dia masih meluangkan masa menjadi jurulatih di bawah Akademi Badminton Shahril milik abang sulungnya, Mohd Shahril, 30.

Akademi itu yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu mempunyai kira-kira 100 ahli dari Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dan melatih mereka yang berusia antara 7 hingga 17 tahun dan kategori dewasa.

Latihan itu dibuat secara berjadual di Dewan Badminton Gong Pak Jin, Kuala Nerus; Dewan Badminton Dato’ Dr Mohd Sulaiman di Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan Dewan Badminton di Grammar, Kuala Terengganu.

“Saya sangat cintakan badminton. Selepas tamat pengajian di politeknik ini, saya berhasrat untuk sambung belajar dalam bidang Sains Sukan di Universiti Malaya atau Universiti Teknologi Mara kerana dua-dua tempat ini aktif badminton.

“Selain sambung belajar, saya berhasrat untuk mewakili universiti pula nanti. Saya bercita-cita untuk menjuarai kejohanan di peringkat universiti iaitu Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang diadakan setiap tahun,” katanya optimis.

PROFIL

Nama : Nur Syawal Mat Desa

Tarikh lahir : 17 Mac 1996, Kuala Terengganu

Ayah : Mat Desa Sulong, 57, bekerja sendiri

Ibu : Rohani Ali, 54, tukang gunting

Keluarga : Anak keempat dari sembilan beradik

Kelulusan : Diploma Elektrik dan Elektronik, Politeknik Kuala Terengganu


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Bermula sebagai hobi seawal usia lapan tahun, siapa sangka dalam usia semuda 21 tahun, seorang pelajar mencipta sejarah sebagai wakil Malaysia pertama dalam menggalas cabaran di...
KEMAMAN - Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kemaman berjaya merangkul banyak pencapaian dan anugerah dalam bidang kreativiti serta inovasi sepanjang tahun lalu sekali gus...
KUALA LANGAT - Seramai 175 penuntut Politeknik Banting menyertai Rela Siswa Siswi (Relasis) sebagai menyahut seruan penubuhan dan hala tuju baharu Jabatan Sukarelawan Malaysia...
Datuk Dr PB Ashok (Pengarah Pengurusan, Kolej Antarabangsa Cyberlynx) Ke mana arah tuju bola sepak?Kemungkinan besar inilah persoalan yang mungkin difikirkan kita sejajar...
Personaliti sukan kali ini agak ‘unik’ dan versatil orangnya. Bukan apa, boleh dikatakan hampir semua kategori dia rembat. Bukan hanya cemerlang dari sudut akademik dan...
Personaliti sukan kali ini agak ‘unik’ dan versatil orangnya. Bukan apa, boleh dikatakan hampir semua kategori dia rembat. Bukan hanya cemerlang dari sudut akademik dan...