> Teruja selami budaya Jepun
Teruja selami budaya Jepun
Mirieatie Rabu | 31 Januari 2018

Sebelum ini, hanya mampu tengok saja orang lain berjalan atau bercuti ke luar negara, tapi kali ini, dapat jejak sendiri kaki di bumi ‘matahari terbit’ Jepun. Mau tak teruja, apalagi berpeluang pakai pakaian tradisinya, kimono.

Itulah antara perasaan sekumpulan 31 orang mahasiswa dari Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya (UM) yang menyertai program pertukaran budaya dan pendidikan ke Tokyo, Jepun tahun lalu.

Walaupun kimono sering dilihat digayakan golongan wanita, tapi, ramai tidak tahu sebenarnya pada asalnya pakaian tradisi ini dipakai kedua-dua jantina. Peninju sumo contohnya, sering dilihat berkimono kerana mereka dimestikan berpakaian tradisi apabila bertanding.

Bagi mendalami budaya pemakaian dan pembuatan kimono, para peserta program telah dibawa melawat Muzium Seni Itchiku Kubota. Muzium yang terletak berhampiran Gunung Fuji ini menempatkan koleksi kimono tradisional yang dihasilkan menggunakan tangan. Berbeza dengan corak pada kimono konvensional yang selalunya dicetak menggunakan mesin, kimono tradisional Itchiku dihasilkan menggunakan tangan sepenuhnya. Dikatakan setiap set kimono di sini mengambil masa antara satu setengah sehingga dua tahun untuk dihasilkan.

“Bukan sahaja proses penghasilannya mengambil masa yang lama bagi memastikan kualiti fabrik yang bermutu tinggi, namun cara pemakaiannya juga memerlukan tahap ketelitian yang tinggi juga. Dikatakan setiap kimono yang ingin dikenakan, memerlukan 10 orang pembantu untuk disarungkan kepada si pemakai,” kata Adibah Farliyana Aminordin, pelajar tahun akhir jurusan Sains Bioperubatan yang mengetuai delegasi mahasiswa UM ke Jepun ini.

Selain cara pemakaian, para peserta turut didedahkan dengan teknik penghasilan kimono, termasuklah penghasilan corak dan sulaman pada fabrik yang kesemuanya dihasilkan menggunakan tangan. Motif corak yang dihasilkan melalui tenunan tangan ini selalunya diambil dari keindahan flora dan fauna semula jadi Jepun. Tenunan dan sulaman di atas kain sutera halus ini memerlukan kemahiran yang amat tinggi, dan hanya diperturunkan kepada mereka yang tertentu sahaja.

“Selain pendedahan budaya, program ini memaksa para peserta untuk berfikir secara matang dan bertindak pantas bagi menjayakan aktiviti yang dirancang. Kimono bukan hanya kostum rakyat Jepun, namun adalah salah satu simbol budaya Jepun yang paling penting. Pakaian ini mencerminkan minda kelas pertama rakyat Jepun, dan akan dipastikan supaya terus dihargai oleh generasi akan datang,” kata Pengetua Kolej Kediaman Pertama UM, Prof. Madya Dr. Firdaus Hariri yang turut mengikuti program ini.

Sumber: Kolej Kediaman Pertama UM


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Perkataan ‘hanbok’ yang bermaksud ‘pakaian Korea’ telah difahami membawa maksud bagi menerangkan sepersalinan pakaian tradisi untuk rakyat di negara Korea yang mempunyai...
Persatuan Ekspansi Amal (EXA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan Mabul Education Society telah mengadakan program Mabul Kids Education...
Seramai 244 mahasiswa Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) menyertai Festival Gerak Kerja Kokurikulum (Gerko Fest siri ke-21) di Kem El-Azzhar, Banting,...
KONTINJEN Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 yang berlangsung pada 2 hingga 10 Febuari...
Bermula sebagai hobi seawal usia lapan tahun, siapa sangka dalam usia semuda 21 tahun, seorang pelajar mencipta sejarah sebagai wakil Malaysia pertama dalam menggalas cabaran di...
Seramai 90 pelajar dan guru Sekolah Tinggi Oita Shogyo, Jepun teruja apabila berpeluang mempelajari lebih dekat tradisional perkahwinan masyarakat Melayu menerusi Program Outreach...