U-In-News > ISU > Minggu orientasi: Peranan MPP bagi memastikan agar tidak jadi minggu ‘mengerikan’ buat freshies
Minggu orientasi: Peranan MPP bagi memastikan agar tidak jadi minggu ‘mengerikan’ buat freshies
NORHAYATI ALLI 13 June 2018
Minggu orientasi atau suai kenal di institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan program pertama transformasi pelajar dari pembelajaran formal ke tahap lebih tinggi, bersesuaian statusnya sebagai mahasiswa.

Walaupun kini semakin jarang kedengaran masalah buli atau ragging semasa minggu berkenaan, namun ia masih ‘menghantui’ sebahagian pelajar baharu atau freshies kala menjejak kaki ke alam IPT.

Justeru, sebagai senior, apa peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam menangani situasi ini sekali gus menangkis mitos minggu orientasi sebagai minggu ‘mengerikan’?

IZMAWATI SODDING

Menurut Timbalan Presiden 2 MPP Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Sesi 17/18, merangkap Ketua Fasilitator minggu orientasi yang dikenali sebagai Minggu Mesra Siswa (MMS) bagi kemasukan Diploma dan Asasi Sains Perubatan Ambilan Jun 2018/2019, Izmawati Sodding, MPP memainkan peranan sebagai pemudah cara di antara pihak pengurusan dan fasilitator mahasiswa yang terlibat dengan proses pendaftaran dari segi hebahan atau pengumuman (one stop centre), menjadi penunjuk arah dan rujukan ibu bapa dan mahasiswa baharu.

“MPP juga berperanan sebagai penggerak kerja bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah ditetapkan dalam tentatif dari hari pertama sehingga hari terakhir MMS. Selain mendengar taklimat pendaftaran akademik dan kokurikulum, MPP akan diberikan satu slot yang mana MPP akan perkenalkan secara mendalam berkaitan universiti dan peranan MPP di samping sesi taklimat dan perkongsian lain.

Bacaan ikrar daripada siswa baharu.

“Menjadi kebiasaan minggu orientasi di setiap institusi, akan ada refreshment semasa minggu berkenaan. Di UniSZA, refreshment kali ini mengikut unit fasilitator yang ada. Sebanyak tujuh jenis tarian dipersembahkan, mengikut kesesuaian suasana MMS. Refreshment ini sangat penting bagi menarik perhatian mahasiswa baru untuk terus fokus dan semangat dalam menyertai MMS,” katanya.

Ikon kepada junior

Sementara Yang Dipertua MPP Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2017/2018, Ammar Adnan berkata, dalam minggu orientasi pelajar atau di UTHM dikenali Minggu Haluan Siswa (MHS), jawatankuasa pelaksananya dikenali sebagai Pembantu MHS.

AMMAR ADNAN

“Skop pembantu MHS ini sepenuhnya menguruskan pergerakan freshies di dalam MHS. Dari sudut pengaturan pergerakan dari kolej kediaman ke dewan utama, pengisian program lapang, penyusunan keberkesanan pergerakan pelajar mengikut jadual, disediakan oleh jawatankuasa induk dan juga dari sudut menjadi seorang ikon kepada adik-adik yang baru menjejakkan kaki ke universiti.

“Setiap MHS juga berbeza pengisiannya. Sebagai contoh, MHS Jun lebih kepada pengisian seorang abang/kakak kepada adiknya yang baru menjejakkan kaki ke universiti. Bagi MHS Februari dan September pula, pengisiannya perlu cenderung kepada pembentukan sebagai seorang mahasiswa intelek,” jelasnya.

Sesi bacaan ikrar yang dinamakan Aku Janji.

Jadikan sebagai minggu dikenang

Menyentuh isu buli semasa minggu orientasi di IPT, kedua-dua wakil MPP ini sependapat, ia tidak wajar berlaku.

Menurut Izmawati, setakat menyertai dan sebagai fasilitator mahasiswa, MMS UniSZA selalu mendapat maklum balas positif dan memberangsangkan daripada ibu bapa mahupun pelajar baharu sendiri.

“Bagi saya, MMS ialah minggu yang kita akan kenang. Best. Enjoy sahaja dengan aktiviti yang ada. Kalau ada yang masih risau tentang ragging, yakinlah, sepanjang beberapa tahun MMS UniSZA dilaksanakan, belum ada lagi kes-kes buli atau ragging berlaku,” katanya.

Bagi Ammar pula, isu ini sememangnya diletakkan sebagai penanda aras pertama yang mana MPP sangat menitikberatkannya.

“Pada kami, buli di universiti tidak wajar ada dan berlaku. Sebab itu, di dalam MHS, pembantu MHS sendiri bertindak sebagai abang dan kakak atau sahabat kepada adik-adik baharu ini. Dengan cara ini lebih melihatkan bahawa kemesraan pembantu MHS juga melambangkan kemesraan mahasiswa UTHM dalam menerima ‘orang baharu’ untuk digelar warga UTHM.



“Tambahan pula, layanan pembantu MHS kepada semua pelajar baharu ini lebih kepada layanan kedewasaan yang mana pelajar baharu juga sudah sampai tahap kematangan berfikir sendiri untuk menilai unsur buli atau sebaliknya. Alhamdulillah, boleh saya katakan, UTHM bebas dari kegiatan buli dalam kalangan pelajar,” katanya.

Menurutnya lagi, sebagai YDP, dia sentiasa berpesan kepada MPPnya, jadilah seorang wakil pelajar yang menjaga etika pakaian, adab bertutur dan layanan kepada pelajar baharu ini.

Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...