> AKTIVITI PENSYARAH > Penyelidik ini kenal pasti 110 spesies kelawar, tapi jenis megachiroptera paling unik
Penyelidik ini kenal pasti 110 spesies kelawar, tapi jenis megachiroptera paling unik
WARTAWAN KAMPUS UOLS Isnin | 25 Jun 2018

Kelawar merupakan satu-satunya keluarga mamalia yang mampu terbang seperti burung, kerana kaki hadapannya yang dilengkapi kulit tambahan yang berfungsi sebagai sayap. Biar pun struktur tubuh seperti ini juga didapati dalam beberapa spesies tupai, namun haiwan tersebut hanya boleh meluncur, berbanding kelawar yang boleh mengepakkan sayap ini dan terbang di udara.

Terdapat lebih 1000 spesies kelawar yang terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk di dunia. Secara dasarnya, keluarga ini dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan saiz tubuh kelawar, iaitu megachiroptera (kelawar bersaiz besar, atau keluang) dan microchiroptera (kelawar biasa). Kebanyakan keluang memakan buah-buahan, manakala kelawar memakan serangga kecil. Menariknya, terdapat tiga spesies kelawar di benua Amerika yang menjadikan darah haiwan lain sebagai sumber makanan.

Kebanyakan spesies kelawar tinggal di kawasan tropika, namun turut dijumpai di kebanyakan kawasan lain di dunia, kecuali di kawasan kutub, pulau yang terpencil, dan di kawasan pergunungan yang tinggi.

Untuk negara beriklim khatulistiwa seperti Malaysia, hampir 50 peratus spesies mamalia adalah terdiri daripada keluarga kelawar. Jumlah sebesar ini menjadikannya salah sebuah agen terpenting dalam pengekalan biodiversiti yang sihat dan seimbang. Atas kesedaran itu, sekumpulan penyelidik dari Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rosli Ramli telah bekerjasama dengan rakan penyelidik dari Universiti Pertanian China, Beijing, untuk merekodkan keseluruhan spesies kelawar yang ada di Semenanjung Malaysia.

1
Prof. Madya Dr. Rosli Ramli

6
Lim Voon Ching

“Usaha ini merupakan yang pertama seumpamanya, dan bakal memberikan impak yang besar, terutamanya dari aspek pemuliharaan dan kelestarian biodiversiti negara untuk jangka masa panjang,” kata Lim Voon Ching, penyelidik UM yang telah menjelajah ke pelbagai kawasan di seluruh pelosok Semenanjung Malaysia bagi menjejak kesemua spesies kelawar yang ada.

Menurut Voon Ching, senarai spesies kelawar yang disediakan sebelum ini hanyalah terhad kepada kawasan tertentu seperti Pusat Perlindungan Hidupan Liar Krau, Pahang, dan Hutan Simpan Ulu Gombak, Selangor; atau menjangkaui kawasan yang lebih luas, seperti Indochina.

5
Lim sedang memeriksa contoh spesies kelawar yang diperangkap bagi tujuan penyelidikan.

“Senarai yang lengkap dan khusus untuk Semenanjung Malaysia, terutamanya kehadiran spesies di lokasi tertentu, amat diperlukan jika sebarang usaha pemuliharaan kelawar ingin dijalankan pada masa hadapan,” katanya.

Selain dari penelitian rekod sejak kurun ke-19 hingga kini, para penyelidik juga menghabiskan masa mendapatkan sampel dan contoh spesies kelawar di pelbagai lokasi. Hasilnya, kumpulan penyelidik ini telah berjaya menyenaraikan sekurang-kurangnya 110 spesies kelawar yang boleh didapati di Semenanjung Malaysia.

4
Kelawar ladam muka kuning (Rhinolophus trifoliatus) direkodkan berada di kawasan hutan paya bakau di Semenanjung Malaysia.

Terdapat tujuh spesies yang dijumpai hanya sekali dalam keseluruhan rekod, termasuklah kelawar kupu-kupu (Kerivoula picta) dan ‘Marshall’s horseshoe bat’ (Rhinolophus marshalli), yang kemungkinan besar menunjukkan kepupusan spesies tersebut, atau keperluan kepada usaha pemuliharaan yang segera. Terdapat juga 18 spesies kelawar yang rekodnya hanya dijumpai sebelum tahun 2000, menandakan pengurangan jumlah populasi yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

3
Kelawar kepak panjang (Taphazous longimanus) telah direkodkan untuk kali pertama di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Krau, Pahang menerusi penyelidikan ini.

Penyelidikan ini juga membuktikan sesetengah spesies kelawar hanya mendiami beberapa kawasan yang khusus sahaja, seperti gua, bukit batu kapur, pulau, gunung, dan hutan simpan. Proses urbanisasi, pertanian moden, dan pembangunan yang drastik dilaporkan sebagai faktor-faktor utama pengurangan habitat yang sesuai untuk keluarga kelawar ini. Kelawar lekagul (Hipposideros lekaguli) contohnya, direkodkan untuk kali terakhir di Gunung Keriang, Kedah pada 1982, sebelum gua tempat spesies kelawar ini bersarang musnah disebabkan aktiviti perlombongan batu kapur bagi industri pembinaan dan hartanah.

2
Gunung Keriang, lokasi terakhir yang direkodkan untuk kelawar lekagul di Semenanjung Malaysia pada 1982 - GAMBAR HIASAN.

“Selain penyenaraian rekod spesies, kumpulan kami juga menyumbang kepada usaha penyelidik sedunia dalam melengkapkan maklumat untuk sistem ‘Barcode of Life Datasystems’ (BOLD). Sistem ini merupakan pangkalan data untuk kod bar DNA kesemua hidupan yang ada di dunia. Menerusi penyelidikan yang kami jalankan, lebih 60 spesies kelawar belum lagi dimasukkan kod barnya ke dalam sistem BOLD. Ini menunjukkan keluasan kepelbagaian biodiversiti yang ada di negara kita,” kata Dr. Rosli, ketika ditemui.

Secara keseluruhannya penyelidikan ini membuktikan kepentingan usaha yang berterusan dalam menentukan kewujudan atau kepupusan spesies kelawar yang lain di Semenanjung Malaysia, selain pengenalpastian kawasan tertentu untuk kerja-kerja pemuliharaan yang mungkin diperlukan untuk spesies kelawar di kawasan tersebut.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...