> AKTIVITI PENSYARAH > Penyelidik UM tangani obesiti kalangan murid sekolah melalui Walking Football
Penyelidik UM tangani obesiti kalangan murid sekolah melalui Walking Football
NAHRIZUL ADIB KADRI, UM  Isnin | 2 Julai 2018

‘Walking football’ atau bola sepak berjalan adalah sebuah sukan baru yang telah diperkenalkan di negara ini. Permainan ini dikatakan dimulai oleh sebuah kelab bola sepak tempatan di United Kingdom bagi membantu ahli mereka yang berumur 50 tahun ke atas melakukan aktiviti fizikal pada tahun 2011. Permainan ini kini telah mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia, terutamanya apabila turut dimainkan oleh mereka yang mempunyai masalah pergerakan, namun ingin mendapatkan manfaat daripada melakukan aktiviti fizikal.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) melihat fenomena ini sebagai satu peluang untuk menangani masalah obesiti di kalangan murid-murid sekolah.

“Kami melihat usaha ini sebagai satu penyelesaian yang holistik. Kami bukan sahaja membantu menangani masalah kegemukan di kalangan kanak-kanak, namun turut meningkatkan tahap kecerdasan, tumpuan terhadap pelajaran, dan hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan,” kata Dr. Haireen Abdul Hadi, pakar perubatan keluarga dari Fakulti Perubatan UM, yang juga merupakan ketua penyelidik untuk program ‘walking football’ ini.

Haireen Abdul Hadi
Dr. Haireen Abdul Hadi

Menurutnya, kajian terkini mendapati 30 peratus dari keseluruhan murid-murid sekolah di Malaysia boleh dikategorikan sebagai mempunyai masalah kegemukan berlebihan. Masalah kegemukan atau obesiti kebiasaannya berpunca dari cara pemakanan dan gaya hidup yang kurang sihat. Sering kali, kanak-kanak ini tersisih daripada melakukan aktiviti sukan kerana pergerakan mereka yang terhad, sama ada kerana berat badan berlebihan atau kurang kecergasan ketika melakukan aktiviti fizikal. Kanak-kanak obes juga sering menghadapi masalah hubungan sosial kerana merasa rendah diri dengan keadaan fizikal mereka.

Perlawanan 'walking football' sedang berlangsung.
Perlawanan 'walking football' sedang berlangsung.

Bagi mencapai objektif program yang menerima geran penyelidikan dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) ini, sebuah pertandingan berbentuk liga telah diadakan antara lapan buah sekolah rendah sekitar Lembah Kelang yang dijemput khas. Sekolah yang dimaksudkan adalah SK (L) Bukit Bintang, SK Methodist, SK Kampung Tunku, SK Damansara Utama, SK Tropicana, SK Seksyen 9 Kota Damansara, SK Seksyen 7 Kota Damansara, dan SK Sungai Way.

Menurut Dr. Haireen lagi, sukan ini berisiko rendah dari segi kecederaan kerana di antara peraturan sukan ini adalah menegah pemainnya daripada berlari ketika mengawal bola sewaktu permainan, dan sebarang sentuhan badan adalah tidak dibenarkan.

“Walaupun peraturan ini menghalang pergerakan pantas, faktor persaingan dalam setiap perlawanan akan tetap ‘memaksa’ para pemain untuk bergerak aktif, dan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kanak-kanak obes ini menerima manfaat daripada aktiviti fizikal dalam suasana permainan yang kompetitif,” katanya ketika ditemui dalam pertandingan ‘walking football’ yang diadakan baru-baru ini.

Dr. Zulkarnain Jaafar, pensyarah kanan Perubatan Sukan dari Fakulti Perubatan UM, yang turut menjadi sebahagian daripada penyelidik dalam program ini berkata, permainan walking football merupakan aktiviti berpasukan yang memerlukan interaksi dan komunikasi yang baik antara ahli-ahli pasukan, semangat berpasukan yang tinggi dan persaingan yang sihat dapat diwujudkan di kalangan peserta yang mengambil bahagian. Ini sekaligus membantu para peserta dalam hubungan sosial mereka bersama rakan-rakan dan guru.

Sebelum menyertai pertandingan, para peserta yang terpilih telah diminta menjalani latihan selama tiga bulan, dengan bantuan guru sekolah yang telah dikenal pasti. Maklumat fizikal para peserta, seperti indeks jisim badan (BMI), turut direkodkan sebelum dan selepas sesi latihan bagi tujuan rekod dan analisis.

Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Kampung Tunku, Mohd. Salmi Mohd. Nasudin berkata, terdapat perubahan ketara dalam sikap dan aspek fizikal kanak-kanak obes yang terlibat, hanya selepas dua bulan melalui program latihan yang disediakan. “Kanak-kanak berkenaan yang sebelum ini sering keletihan, tidak aktif dan tidur di dalam kelas, kini didapati menjadi lebih segar dan aktif. Antara perbezaan ketara yang ditunjukkan adalah mereka menjadi lebih bersemangat untuk ke sekolah setiap hari, dan lebih fokus semasa sesi pembelajaran,” katanya lagi.

Menariknya, perubahan yang ditunjukkan oleh para peserta program ini turut memberi kesan positif dalam hubungan mereka dengan ibu bapa masing-masing. “Ayah kepada salah seorang peserta memberitahu saya yang anak lelakinya kini sudah mula kerap berkomunikasi dengannya, seperti bercerita perihal permainan bola sepak, dan berbincang mengenai teknik permainan yang baik. Beliau juga teruja dengan perubahan emosi anaknya yang lebih baik ketika berada di rumah. Walaupun beliau gembira dengan penurunan berat badan anaknya, namun khuatir dengan kemungkinan anaknya tidak lagi layak untuk menyertai program ini pada sesi seterusnya,” kata Dr. Haireen.

Pertandingan ‘walking football’ yang turut menerima kerjasama syarikat makanan antarabangsa ini telah dimenangi oleh pasukan dari SK Seksyen 7 Kota Damansara, Selangor. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh pasukan dari SK Damansara Utama dan SK Sungai Way. Kesemua pasukan membawa pulang wang tunai, piala pusingan, pingat, dan peralatan sekolah.

Pasukan SK Seksyen 7 Kota Damansara dinobatkan sebagai pemenang pertandingan.
Pasukan SK Seksyen 7 Kota Damansara dinobatkan sebagai pemenang pertandingan.

“Universiti Malaya komited untuk menempatkan warganya di segenap aspek usaha pembangunan masyarakat, termasuklah menyokong usaha berkaitan penyelesaian masalah berkaitan kesihatan murid-murid sekolah. Usaha sebegini diharapkan memberi impak secara langsung dan tidak langsung dalam usaha negara menangani isu pendidikan yang pelbagai secara konsisten dan berjangka panjang,”kata Prof. Dr. Norzulaani Khalid, Pengarah UMCares.

Kesemua peserta pertandingan bergambar kenangan setelah tamat program.
Kesemua peserta pertandingan bergambar kenangan setelah tamat program.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...