U-In-News > ISU > Ini 5 sebab perlu jadi netizen beretika. INGAT! Tingkah laku anda tinggalkan jejak elektronik!
Ini 5 sebab perlu jadi netizen beretika. INGAT! Tingkah laku anda tinggalkan jejak elektronik!
WARTAWAN KAMPUS UOLS 12 July 2018

Tahukah anda, ‘Netiquette’ adalah gabungan perkataan network (jaringan) dan etiquette (etika), dan ditakrifkan sebagai satu set peraturan untuk perilaku beretika dalam persekitaran sosial dalam talian. Istilah yang dipopularkan daripada buku Virginia Shea pada tahun 1994 ini sangat berkait rapat dengan tanggungjawab sosial ‘netizen’ atau warga internet (internet citizen).

Semua orang mempunyai kefahaman sendiri tentang apa yang betul dan salah dalam kehidupan. Bahkan hampir semua orang hidup dengan nilai moral dan etika yang digariskan oleh agama mahupun akal fikiran mereka sendiri. Walau bagaimanapun, apabila masuk ke media sosial atau sebarang media atas talian, sesetengah individu merasakan mereka bebas berinteraksi tanpa batasan tatasusila yang selalunya mereka patuhi di dunia sebenar. Tidak ketinggalan, para pelajar juga sewajarnya lebih menjaga etika jaringan ini demi selari dengan tahap pemikiran cerdik pandai yang sepatutnya.

Mengapa anda patut menjadi netizen yang beretika?

Internet dan dunia maya yang anda terokai setiap hari bukanlah dunia baru yang memberikan anda identiti kedua yang tiada batasan moral. Sebaliknya, ia adalah dimensi baru atau lanjutan kepada kehidupan bermasyarakat sedia ada. Oleh itu, piawaian dan nilai sama yang anda patuhi di dunia sebenar patut dihormati di atas talian. Tanpa kesedaran tentang tanggungjawab sosial ini, gejala sosial seperti rasisme, pelanggaran hak cipta, eksploitasi kanak-kanak dan buli siber akan berleluasa.

Bagaimana menjadi netizen yang beretika?

Konsep netizen yang beretika memerlukan penggunaan internet dengan kesedaran sosial bahawa bagaimana anda memanfaatkan sosial media boleh mempengaruhi keadaan masyarakat di luar. Terdapat beberapa prinsip yang patut anda patuhi, termasuklah:

1. Ingat manusia di sebaliknya

Apabila anda berkomunikasi secara atas talian, apa yang anda lihat hanyalah skrin komputer atau gajet anda. Ini kadangkala membuatkan anda terlupa bahawa penerima komen atau mesej yang anda hantar adalah manusia yang mempunyai perasaan seperti anda.

Oleh itu, tanya diri anda sendiri. Adakah anda akan bercakap sedemikian di hadapan muka orang tersebut? Jika tidak, anda tahu hakikatnya anda sedang berkomunikasi dengan cara yang kasar atau memalukan orang lain.

2. Patuhi piawaian tingkah laku sepertimana di dunia sebenar

Dalam kehidupan sebenar, kebanyakan orang mematuhi undang-undang, sama ada kerana beretika atau kerana mereka takut tertangkap. Di ruang siber, anda mungkin menyangka tiada risiko untuk ditangkap. Tidak perlu berhadapan dengan orang juga mungkin membuatkan sesetengah orang berasa lebih selamat sedangkan apa yang ditulis tersebut akan menjadi bentuk komunikasi yang kekal.

Segala tingkah laku dalam alam maya anda akan meninggalkan jejak elektronik. Ingat, ahli keluarga, rakan sekerja dan kenalan anda mungkin melihat kegiatan maya anda sekalipun setelah bertahun lamanya. Anda mungkin teruja memanfaatkan internet untuk mengekspresikan diri anda, dan meneroka perkara baru yang tidak pernah anda cuba sebelum ini. Tetapi adakah anda selesa jika anak, isteri atau rakan anda mengetahui apa yang anda lakukan di dunia maya?

3. Hormati masa orang lain

Dalam zaman multitasking dengan semua orang kian kekurangan masa untuk diri sendiri apatah lagi untuk orang lain, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk tidak mensia-siakan masa orang lain. Menghantar mesej berbentuk spam atau berita palsu bukan sahaja membazirkan masa orang lain, malah boleh menyebabkan kesan buruk yang tidak diingini disebabkan rasa panik yang ditimbulkan.

4. Bantu untuk mendamaikan, bukan menjadi batu api

Perang di media sosial mungkin berlaku seperti di antara selebriti dan tokoh umum. Campur tangan netizen dalam pergaduhan maya hanya akan memburukkan keadaan. Oleh itu, jangan menjadi batu api yang menambahkan budaya toksik, anda hanya membuang masa diri anda sendiri dalam pergelutan orang lain.

5. Maafkan kesalahan orang lain

Semua orang pernah menjadi newbie dalam media sosial, jadi janganlah cepat melatah kepada komentar dan cara mereka berinteraksi di media sosial. Jika anda ingin menegur kesalahan orang lain, terangkan secara sopan melalui mesej peribadi dan bukannya di hadapan khalayak ramai.

Maafkan kesalahan orang lain di media sosial. Jangan sekali-kali menjadi angkuh dan berlagak lebih tahu. Anda pasti mempunyai momen media sosial yang memalukan atau anda kesali terutamanya zaman masih mentah dengan media sosial. Jadi, maafkan kesalahan orang lain dan biarkan pengguna media sosial yang masih mentah belajar daripada kesilapan mereka.

Sumber: Hello Doktor


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...