> SEL KL > International Inbound Mobility, peluang mahasiswa kenali program pascasiswazah ditawarkan di UPM
International Inbound Mobility, peluang mahasiswa kenali program pascasiswazah ditawarkan di UPM
AIDA SHAHEERA, UPM Selasa | 24 Julai 2018

SEMBILAN mahasiswa dari tiga universiti luar negara menyertai program International Inbound Mobility di Universiti Putra Malaysia (UPM) anjuran Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian (KBP), Fakulti Kejuruteraan, di sini yang diadakan selama dua minggu baru-baru ini.

Empat daripada mahasiswa itu adalah dari Universitas Andalas di Indonesia, tiga dari Kasetsart University di Thailand dan dua dari Tsukuba University di Jepun. Kesemua mereka merupakan mahasiswa daripada program yang berkaitan bidang kejuruteraan pertanian.

Para peserta diberi pendedahan mengenai teknologi dron dalam bidang pertanian.
Para peserta diberi pendedahan mengenai teknologi dron dalam bidang pertanian.

Program yang diilhamkan Ketua Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Profesor Madya Dr. Siti Khairunniza Bejo itu adalah pertama kali diadakan di jabatan dan telah dirancang selama setahun.

Menurutnya, program yang dijalankan hasil kerjasama pelbagai pihak ini telah berjaya dilaksanakan dan mencapai objektif utama iaitu memberi pendedahan kepada mahasiswa antarabangsa mengenai kepakaran dan cara pembelajaran di UPM.

"Ia secara tidak langsung mempromosi program pasca siswazah yang ditawarkan oleh jabatan, membina platform jalinan silaturahim antara mahasiswa tempatan dan mahasiswa antarabangsa dalam bidang Kejuruteraan Pertanian serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan universiti antarabangsa," katanya.

Program yang turut melibatkan kelab pelajar Malaysian Society of Agricultural Engineering – Student Chapter (MSAE-Sc) itu juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengendali program, mengurus pelawat luar dan membina sahsiah kepemimpinan.

Antara modul pembelajaran dalam Program International inbound Mobility.
Antara modul pembelajaran dalam Program International inbound Mobility.

Sementara itu, Pengarah program yang juga merupakan Penyelaras Hal Ehwal dan Pelajar (HEP) Jabatan KBP, Dr Anas Mohd Mustafah berkata, program itu mendapat maklum balas positif daripada peserta.

"Ini kerana pengisian program antara lain dapat memberi peluang kepada mereka menimba ilmu baru, mengenali sejarah dan budaya Malaysia yang unik, mempelajari bahasa Malaysia, menjalin persahabatan baru serta membina keyakinan diri yang secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada peserta," jelasnya.

Para peserta berpeluang melawat ke Projek Penternakan Kelulut D'putra Rimba Presint 15 Putrajaya.
Para peserta berpeluang melawat ke Projek Penternakan Kelulut D'putra Rimba Presint 15 Putrajaya.

Antara pengisian program ialah aktiviti pembelajaran dalam kelas berkaitan kejuruteraan pertanian meliputi opsyen Kejuruteraan Mekanisasi dan Automasi, Kejuruteraan Tanah dan Air, Kejuruteraan Bioproses dan Kesekitaran serta Sistem Bioinformasi.

Lawatan teknikal turut diadakan ke sekitar Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands, sekali gus bagi memberikan pendedahan terhadap aktiviti pertanian serta budaya dan kehidupan rakyat Malaysia, malahan mahasiswa terbabit turut merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menikmati juadah hari raya, berbaju kurung serta menghadiri majlis rumah terbuka.

Semua mahasiswa antarabangsa itu juga terlibat dengan pertandingan International Agricultural Engineering Undergraduate Competition (IAgEUC) 2018 yang terdiri daripada dua pertandingan iaitu pertandingan model traktor dan pertandingan membina model berkaitan pertanian bertujuan memupuk semangat berpasukan serta mengajak mahasiswa untuk berfikiran secara kritis.

Para peserta bersama Prof. Madya Dr. Wan Zuha Wan Hasan, Timbalan Dekan.
Para peserta bersama Prof. Madya Dr. Wan Zuha Wan Hasan, Timbalan Dekan.

Selain daripada para peserta program International Inbound Mobility, IAgEUC 2018 juga disertai wakil daripada Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Politeknik Kota Bharu, Kelantan (PKB).

Secara tidak langsung, program sebegini dapat dijadikan platform untuk institusi pengajian tinggi tempatan lain menjalinkan hubungan dengan universiti luar.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...