Sukarelawan Yayasan Dana Kebajikan Malaysia (YDKMM) dengan kerjasama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan, anjur program “Coffee Talk: Dean’s List vs Deen’s List".
Program tersebut turut menjemput dua orang alumni pusat asasi UIAM, Nurul Huda Kamsani, pemegang senarai dekan sepanjang asasi, pelajar tahun ketiga Jurusan Ijazah Sarjana Muda Farmasi dan juga Hanie Nadirah Mohd Tamrin, pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Sains (Dietetik). Hadir sama, Timbalan Pengarah Kampus UIAM, Prof Dato’ Dr. Ariff Osman.
Dalam program tersebut, alumni turut berkongsi beberapa tip belajar daripada al-Quran dan cabaran belajar di peringkat asasi, serta menggalakkan peserta program agar melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawanan.
Menurut salah seorang almuni asasi UIAM, Hanie Nadhirah, “Walaupun sibuk dengan jadual yang padat, kita masih boleh melibatkan diri dengan aktiviti sukarelawan. Kita perlu bijak menyusun masa.”
Bertepatan dengan objektif program, yang inginkan para pelajar baharu mempersiapkan diri secara fizikal dan mental dalam menghadapi pelbagai cabaran ketika menuntut ilmu, penganjur juga menggalakkan para pelajar terlibat dengan aktiviti sukarelawan, sepertimana yang disarankan oleh Prof Dato’ Dr. Ariff Osman.
Prof Dato’ Dr. Ariff menyokong penuh usaha anak muda YDKMM dalam penganjuran program seumpama ini. Beliau menggalakkan para pelajar untuk menyertai aktiviti sukarelawan, yang dilihat mampu menjadi platform untuk mengasah bakat kepimpinan dan “soft skills”. Beliau turut berkata, waktu paling sesuai untuk mengasah bakat kepimpinan adalah ketika berada di universiti.
Program yang bermula pada jam 9 malam itu telah dihadiri oleh hampir 400 pelajar asasi UIAM. Sebelum bermulanya forum “Dean’s List vs Deen’s List”, satu tayangan video mengenai YDKMM turut dikongsi.
Para pelajar yang hadir juga dilihat sangat bersemangat sepanjang program berlangsung. Input yang diberikan sememangnya amat diperlukan mereka, lebih-lebih lagi bagi pelajar yang tidak pernah tinggal di asrama. Masih banyak perkara yang mereka belum terokai.
Diharapkan dengan adanya program seperti ini, dapat membantu pelajar dalam menetapkan matlamat yang jelas, mampu menyusun masa dengan efektif dan turut melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan. Pemuda harapan bangsa, bagi melahirkan pemuda yang mampu menyumbang kembali kepada ummah, usahasama daripada semua pihak amatlah diperlukan. Pemuda perlu dilengkapkan dengan bekalan iman dan takwa, bukan setakat ilmu duniawi semata, hanya dengan cara ini, Islam, agama rasmi di Malaysia ini dapat dimartabatkan lagi.