> > Dari minyak dan gas, ini sebab Mohamad Nazri pilih bomba dan penyelamat...
Dari minyak dan gas, ini sebab Mohamad Nazri pilih bomba dan penyelamat...
HAZELEN LIANA KAMARUDIN 2 August 2018

PASIR MAS - Biarpun pada ketika itu usianya baru menginjak 25 tahun pada 2015, namun beliau sudah dipilih untuk menggalas tugas sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas.

Di usia yang terlalu muda untuk menggalas jawatan sebagai pegawai ditambah pula masih ‘junior’ dalam perjawatan sebagai anggota bomba, Mohamad Nazri Ab Wahab tidak mudah melatah. Malah, Mohamad Nazri sanggup berguru dengan anggota bawahan yang kaya dengan pengalaman untuk mendapat pandangan dan idea bagi melancarkan lagi tugas mengemudi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas.

Terkejut diberikan mandat cukup besar

Mohamad Nazri berkata, secara jujurnya, dia agak terkejut diberikan mandat oleh Pengarah Bomba Kelantan ketika itu Azmi Osman untuk mengetuai Balai Pasir Mas.

“Waktu itu, saya pegawai yang paling muda diberikan tugas itu sedangkan ramai lagi pegawai-pegawai senior lebih layak. Perasaan takut dan gemuruh tu memang ada, lagipun saya masih lagi junior dalam bomba walaupun berpangkat pegawai,” katanya.

Mohamad Nazri (dua, kanan) tidak kekok beri penerangan semasa bertugas walaupun dianggap junior.

Menurutnya, bagaimanapun dia mengambil perkara itu sebagai tanggungjawab untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Untungnya di Pasir Mas, kami bekerja sebagai satu pasukan dan saya selalu mendapat sokongan penuh dari anggota yang sudah lama berkhidmat dalam bomba. Kerjasama itu menjadikan tugas saya menguruskan Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas menjadi lebih mudah,” katanya.

Puas dapat bantu masyarakat

Pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Pahang itu berkata, segala penat lelahnya bertugas sebagai anggota bomba hilang apabila dapat memberikan khidmat bakti kepada masyarakat.

Mohamad Nazri memberi taklimat kepada anggota bomba yang lain.

“Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila kita dapat memberi khidmat terbaik pada orang ramai. Walaupun kerjaya ini berisiko, namun ia sudah menjadi tugas kami. Apa yang penting kita lalukan amanah ini dengan penuh berhati-hati,” katanya.

Ibu sumber inspirasi sertai bomba

Mohamad Nazri berkata, sejurus menamatkan pengajian di peringkat diploma, dia bekerja dalam bidang gas dan minyak sebelum menyertai bomba. Katanya, dia nekad menyertai badan beruniform itu bagi memenuhi impian ibu.

Daripada memenuhi impian ibu, kini Mohamad Nazri begitu mencintai kerjayanya sebagai ahli bomba.

“Ibu memang berhasrat supaya saya menyertai pasukan bomba kerana dia mahu anaknya itu berkhidmat kepada masyarakat. Saya akui, bukan mudah untuk membuat keputusan dalam perkara ini. Namun setelah berfikir panjang, akhirnya saya nekad memenuhi impian itu dengan menyertai bomba,” katanya.

Menurutnya, minat terhadap kerjaya bomba ini semakin hari semakin berputik apabila dapat merealisasikan impian ibu untuk dia berkhidmat pada masyarakat.

Bah kuning tugasan paling ‘ngeri’

Bah kuning yang melanda Kelantan pada penghujung tahun 2014 lalu meninggalkan kesan mendalam buat diri Mohamad Nazri.

Katanya, sepanjang bah kuning melanda negeri ini dia terpaksa memakai uniform yang sama selama lima hari berturut-turut selain terpaksa mengerah mental dan fizikal dalam kerja-kerja menyelamat.

“Satu pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana ia menguji sepenuhnya tugas sebagai anggota bomba. Saya juga bersyukur kerana diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah itu dengan jayanya,” katanya.

Mohamad Nazri (empat, kiri) menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Balai Bomba Pasir Mas pada usia 25 tahun.

Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...