U-SHARE > IKON > Pensyarah tukang karut: Cikgu Sulizi miliki kelas tersendiri...
Pensyarah tukang karut: Cikgu Sulizi miliki kelas tersendiri...
NORHASRAM MOHAMAD 8 August 2018

PASIR PUTEH - Tidak keterlaluan jika kita mengatakan anak kelahiran Kampung Besar, Semerak ini sebagai ikon kesenian Kelantan kerana umum merasai perjalanan beliau khususnya dalam bidang dikir barat.

Dinobatkan sebagai johan serta dianugerahkan sebagai Tukang Karut Terbaik dalam Pertandingan Dikir Barat Peringkat Kebangsaan pada tahun 1998 dan 1999 bersama Kumpulan Belia 4B Bakti Murni Telaga Papan dan tahun 2000 bersama Kumpulan Sinar Harapan Telaga Papan sudah cukup untuk meletakkan beliau dalam kelas tersendiri.

Sulizi menyampaikan lagu khas untuk warga pendidik pada sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan.

Itu hanya sebahagian kecil rekod kejayaan Sulizi Che Awang atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sulizi yang sewajarnya menjadi kebanggaan masyarakat di daerah ini dan seluruh negara secara amnya.

Warisi darah seni bapa dan datuk

Darah seni arwah datuknya yang merupakan peniup serunai kumpulan wayang kulit dan arwah bapa sebagai tukang karut tersohor suatu masa dahulu mengalir dalam dirinya sehingga beliau mencuri tumpuan sejak belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Semerak.

Sulizi (tengah) ketika menjadi juri tetap rancangan realiti Pentas Dikir '1 Rentak 1 Juara' di RTM.

Bakat dikembangkan lagi ketika melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dari 1988 hingga 1992 dan sama sekali tidak menjejaskan tumpuan belajar apabila beliau membawa pulang Ijazah Sarjana Muda Sains dan Politik.

Dari tahun 1993 hingga 1994, beliau menuntut di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim untuk menggenggam Diploma Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sebelum melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Sains dalam bidang Politik dan Kerajaan dari 2011 hingga 2013.

Selepas berjaya sebagai seorang guru, beliau kini melangkah setapak ke hadapan dengan jawatan Pensyarah Kokurikulum Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut sejak 2008.

Terap elemen lebih segar dalam lagu dikir

Sulizi muncul dengan album pertama Dikir Budak U bersama rakan seperjuangan, Halim Yazid yang menyerlahkan lagu Beruntung Benar Jadi Anak Kelate dan kejayaan itu menjadi perangsang untuk beliau menghasilkan lebih 30 album.

Bersama rakan, Halim Yazid (kanan) yang sama-sama memperjuangkan dikir barat.

Lagu-lagu seperti Hatiku Hancur Relai, Demo Toksir Kawe Tok Sesal dan Cinta Seorang Saing menjadi siulan ramai yang melonjakkan nama Sulizi apatah lagi apabila beliau turut tampil dengan album muzik moden.

Katanya lagi, penggiat dikir barat perlu menyuntik pelbagai elemen supaya lagu-lagu lebih segar bagi memenuhi selera semua pendengar.

“Selain untuk memartabatkan kesenian tradisional, saya memilih untuk bergiat dalam dikir barat kerana melaluinya kita dapat menyampaikan mesej berguna kepada orang ramai. Ada ketika mesej berat tidak boleh disampaikan dengan berbicara tapi ia diterima dengan baik sekiranya mesej itu diselitkan dalam lagu. Medium ini amat sesuai untuk membentuk minda masyarakat atau memupuk penyatuan bangsa,” katanya.

Sulizi beramah mesra bersama peminat cilik dalam satu program.

Bukan hanya dikir barat

Bagaimanapun, dikir barat bukan satu-satunya dunia Sulizi, malah penerima Anugerah Tukang Karut Popular Kelantan tahun 2006 dan Tokoh Seni Budaya Pasir Puteh ini juga menyampaikan ceramah motivasi di sekolah-sekolah menengah di Kelantan dan Terengganu.

Beliau turut mengaktifkan program sukan di daerah ini termasuk menganjurkan kejohanan bola sepak bawah 12 tahun dan mewujudkan akademi bola sepak kanak-kanak.

Sulizi (kanan) berkongsi pentas dengan penyanyi Roy Kapila.

“Kita cuba membuka peluang kepada generasi baharu mempamerkan kemahiran mereka dalam sukan, pembentukan awal ini akan memberi manfaat jangka masa panjang bukan sahaja untuk mengangkat martabat sukan negara tetapi dalam masa sama akan lahir lebih ramai insan berkualiti selari dengan kemajuan negara,” katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...