U-Know > TEMPAT LEPAK > Cafe berkonsep lanun jadi tumpuan
Cafe berkonsep lanun jadi tumpuan
AMRAN ALI 16 August 2018

Lanun Cafe Melaka yang terletak di Taman Teknologi Cheng, di sini, pastinya menjanjikan satu pengalaman menarik apabila menampilkan konsep kehidupan lanun apabila berada di dalam restoran berkenaan.

Selain pengunjung dapat menikmati kepelbagaian menu enak dan lazat, mereka pasti teruja dengan keunikan hiasan pada keseluruhan kafe tersebut.

Malah, kru terlibat dari tukang masak hinggalah pelayan juga turut memakai pakaian seolah-olah berada di dunia lanun.

Kafe ini pada asalnya sudah beroperasi di Krubong Utama sejak tiga tahun lalu, namun atas permintaan pelanggan yang semakin meningkat memaksa pengurusan mencari lokasi baharu lebih besar dan selesa iaitu di Taman Teknologi Cheng mulai 29 Julai lalu.

Pengusahanya, Puteri Amira Shahdah Tunku Putera Roshidi, 20, berkata, konsep lanun menjadi pilihan kerana mahu menampilkan kelainan bagi menarik perhatian pengunjung.

Menurutnya, konsep lanun turut menjadi ikon dan dianggap sebagai satu lagi tambahan bagi produk pelancongan di Melaka.

“Sebenarnya, kafe ini diilhamkan oleh keluarga saya terutama ayah, Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil. Sejarah Melaka memang sering dikaitkan dengan Selat Melaka yang banyak lanun suatu ketika dahulu, justeru kita bawakan konsep ini sebagai menyediakan suasana eksklusif di kafe kami.

“Justeru, dengan kepelbagaian menu makanan, meliputi makanan tempatan dan barat pada harga berpatutan, diharapkan Lanun Cafe mampu menjadi ikon pelancongan yang menjanjikan kepuasan buat pengunjung ke sini,” katanya.

Nasi Sunnah antara tarikan

Puteri Amira Shahdah berkata, di Lanun Cafe antara menu menarik yang diketengahkan adalah ‘Nasi Sunnah’ yang ditambah baik dari konsep makanan masyarakat Jawa iaitu nasi ambeng.

“Terdapat beberapa pakej yang ditawarkan pada kadar harga adik beradik atau lebih jelas lagi kami berikan harga kasih sayang.

“Apa yang penting hidangan istimewa ini disediakan khusus untuk seisi keluarga bagi menambahkan lagi kemesraan dan mengeratkan lagi hubungan baik sesama ahli keluarga,” katanya.

Di Lanun Cafe ini, turut menyediakan hidangan pelbagai jenis asam pedas termasuk tetel, ikan pari, ikan pelaling dan ikan kembung.

“Kebiasaannya setiap pengunjung yang datang ke Melaka tidak sah kalau tidak merasai masakan tradisional Melaka iaitu asam pedas, jadi kami di Lanun Cafe tidak mahu mengecewakan pengunjung. Selain asam pedas, Lanun Cafe ada kelainan apabila kami tidak merompak harta sebaliknya ‘merompak’ resipi makanan barat.

Daripada itu terhasilnya pelbagai menu barat dan antara yang popular burger sepanjang 23 inci yang boleh dinikmati tujuh orang.

“Kami juga menampilkan burger terbesar di samping pelbagai lagi masakan barat. Kami juga menyediakan nasi bajet serendah RM5.50 yang lengkap dengan ikan, ayam, sayur dan air. Kami juga menyediakan servis penghantaran untuk sekitar bandaraya Melaka dengan syarat setiap pesanan haruslah tidak kurang 10 bungkus,” katanya.

Harga mampu milik

Puteri Amira Shahdah berkata, secara kasarnya Lanun Cafe memang dilihat eksklusif namun harganya mampu diterima oleh pelbagai peringkat golongan.

“Sempena sambutan bulan kemerdekaan dan upacara pembukaan Lanun Cafe pada 29 Julai lalu oleh Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Negeri Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, kami ada menyediakan harga amat istimewa buat pengunjung,” katanya.

Lanun Cafe mampu memuatkan seramai 120 pengunjung dalam satu-satu masa yang dengan perkhidmatan katering serta alatan pembesar suara, malah pengunjung turut berpeluang bergambar dengan pakaian lanun yang disediakan di menyaksikan keunikan persembahan tarian lanun.

Di samping itu, Lanun Cafe turut menyediakan beberapa perkhidmatan tambahan di bawah satu bumbung antaranya Lanun Cafe Hair Studio untuk pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan penjagaan rambut mereka sambil menjamu selera.Lanun Cafe dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11 malam kecuali Ahad.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...