> > Rupa-rupanya ini rahsia di sebalik ubat gigi ciptaan Lavannia sehingga membawanya mewakili Malaysia ke Berlin
Rupa-rupanya ini rahsia di sebalik ubat gigi ciptaan Lavannia sehingga membawanya mewakili Malaysia ke Berlin
GOKINA MORGANAN 5 September 2018

SUNGAI PETANI - Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dianggarkan kira-kira 3.6 juta atau 17.5 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes yang juga dikenali kencing manis, sekali gus menunjukkan statistik penyakit itu terus meningkat.

Sebagai risiko mengurangkan risiko diabetes, pelajar Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST University) Lavannia Kasinathan, 24, bersama empat lagi rakan sekuliahnya berjaya mencari langkah pencegahan diabetes dengan menggunakan ubat gigi bagi membantu menyukat kadar glukosa dalam darah setiap hari dengan kos murah.

Menurutnya, idea untuk membantu pesakit diabetes tercetus ketika dia menjalani latihan praktikal di hospital kerajaan.

“Sepanjang tempoh menjalani latihan praktikal, saya dapati kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya di Kedah, cabaran utama mereka adalah mengawal kadar glukosa dalam darah, malah ada mengambil mudah kerana kebanyakan tidak mampu membeli alat ukur kadar glukosa (glucometer) untuk memantau kadar glukosa dalam darah.

“Untuk mengatasi cabaran mengawal dan membawa kesedaran tentang diabetes, ubat gigi dipilih menggantikan alat ukur kadar glukosa. Ini merupakan satu produk keperluan harian dan kosnya tidak mahal serta dapat digunakan setiap hari,” katanya.

Lavannia menerima hadiah daripada juri membentangkan idea inovasi bertajuk 'Breaking the Wall of Diabetes Mellitus'.

Kajian masih di peringkat prototaip pertama Pelajar perubatan tahun akhir itu berkata, dia dan rakan-rakan memulakan kajian menggunakan ubat gigi dengan sejenis enzim untuk bertindak balas dengan glukos dalam air liur. Sejak Mac tahun ini, kajian masih lagi di peringkat prototaip pertama.

“Ubat gigi ini masih menjalani pelbagai penambahbaikan dan menjalani ujian makmal di Pulau Pinang,” katanya.

Menurut Lavannia lagi, inovasi itu membolehkan pesakit diabetes memantau kadar glukosa dengan hanya menggosok gigi menggunakan gel yang mengandungi enzim berwarna putih, sekali setiap hari.

“Semakin tinggi glukosa darah, semakin tinggi glukosa air liur. Ubat gigi ini juga akan membawa kesedaran dalam kalangan pesakit dan bukan pesakit untuk mengamalkan gaya hidup sihat kerana mereka memantau kadar glukosa dari hari ke hari.

“Gel ubat gigi berwarna putih akan bertukar warna kepada merah jambu selepas digosok (ton warna lembut bermaksud kadar gula dalam darah rendah, sekiranya ton warna terang bermaksud kadar gula dalam darah berada dalam paras tinggi).

“Perubahan ton warna berkenaan, memberikan signal kepada pesakit berkenaan untuk mendapatkan rawatan segera di klinik,” katanya.

Naib johan Falling Walls Lab Malaysia

Baru-baru ini, idea inovasi itu diiktiraf sebagai naib johan pertandingan Falling Walls Lab Malaysia yang disertai 45 peserta pelbagai latar pendidikan.

Lavannia bergambar bersama pemenang tempat pertama dan ketiga serta juri pertandingan Falling Walls Lab peringkat Malaysia 2018.

Kemenangan itu membolehkan pelajar perubatan itu mewakili Malaysia untuk membentangkan produk inovasinya bersama lebih daripada 100 penyelidik dari seluruh dunia pada pusingan akhir yang berlangsung di Berlin, Jerman pada 8 November ini.

Lavannia masih lagi menanti tajaan ke pertandingan peringkat antarabangsa itu supaya idea dapat dibentangkan di hadapan penyelidik dari seluruh dunia selain dapat mengubah statistik global penyakit diabetes terutamanya di negara Dunia Ketiga.

BIODATA

Nama: Lavannia Kasinathan

Umur: 24 tahun

Akademik: Pelajar Perubatan Tahun Akhir, Fakulti Perubatan, AIMST University

Keluarga:

- Anak sulung dan mempunyai seorang adik yang mengambil jurusan perakaunan di Universiti Malaya

- Bapa seorang pembantu makmal di Fairview International School Penang dan ibu bekerja di Western Digital

Pencapaian:

Idea untuk menghasilkan sistem ubat gigi untuk penyakit diabetes mellitus adalah hasil kerja kumpulan inovasi ‘Ecstatic Innovators ‘ - Lavannia Kasinathan bersama rakannya, Radhika Anboo, Durga Devi Soundara Rajan, Liau Yee Ting dan Wong Yong Jin.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...