U-SHARE > IKON > Teruja mulakan kerja di hotel lima bintang, Nul bersyukur ILTIZAM PDP bantu kentalkan keyakinan dirinya
Teruja mulakan kerja di hotel lima bintang, Nul bersyukur ILTIZAM PDP bantu kentalkan keyakinan dirinya
ILTIZAM 5 September 2018

Nurul Nadzirah Yusman, 26 tahun, amat teruja untuk memulakan kerja baharu di sebuah hotel lima bintang di Kuching. Keyakinan dalam diri pelajar lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini begitu jelas.

“Ya, saya yakin akan berjaya menyumbang ke arah keuntungan kepada mana-mana syarikat yang mengambil saya bekerja. Saya percaya dengan kebolehan saya sebagai pekerja berwibawa,” kata anak sulung lima beradik yang berasal dari Kuching, Sarawak ini.

Nul menerima ‘ijazah’ PDP daripada Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Tuan Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir semasa majlis pengijazahan PDP Julai lalu.

Keyakinan dirinya amat menyerlah dan graduan jurusan Sains (Biologi) bersungguh dalam memuji Program Pembangunan Profesional (Professional Development Programme atau PDP) anjuran ILTIZAM milik syarikat pelaburan berkenaan kerajaan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang mana bakat dan kebolehan dirinya diasah selama setahun sambil diberi peluang pekerjaan sebagai pelatih.

“Sebelum PDP, saya begitu takut dan malu untuk menyerlahkan diri. Tetapi selepas PDP, saya dapat rasakan diri dan pandangan saya amat berbeza. Setelah pulang ke Kuching, saya terus memohon pekerjaan di mana sahaja yang ada kekosongan. Saya rasa kejayaan saya mendapat tawaran bekerja hampir serta-merta banyak bersandar kepada ilmu yang saya praktikkan yang diperolehi semasa menjalani latihan PDP itu. Antara ilmu yang banyak saya timba datang dari sesi-sesi bimbingan bersama pengurusan Ekuinas yang diadakan sepanjang tahun,” ujarnya lagi.

Nurul Nadzirah tidak putus-putus merakam kesyukuran kerana diberi peluang menjadi antara 75 orang yang terpilih untuk menjalani PDP, yang mana dia merasakan dapat memantapkan kebolehan diri serta kemahiran pengurusan. Dia juga antara 11 pelatih PDP yang datang dari Sabah atau Sarawak. Kesemua 75 peserta yang berjaya menjalani PDP itu telah disaring daripada 7,000 permohonan yang diterima ILTIZAM.

“Saya sedar ramai kalangan siswa-siswi sukar mencari kerja walaupun setelah memegang segulung ijazah,” katanya lagi.

Nurul yang lebih senang dipanggil Nul sahaja berkata dia berasa kesal tidak mendapat pendedahan sewajarnya sewaktu membesar dan masih perlu berusaha mendapatkan pengalaman dan pengetahuan yang dapat jadi bekalan untuk menjadi seorang warga kerja pengurusan perniagaan yang berwibawa dan berani juga menceburi industri fesyen.

“Selepas tamat pengajian, saya kurang mendapat pendedahan untuk menyerlahkan diri. Ketika rakan seperjuangan yang lain mendapat tawaran pekerjaan, saya masih lagi mencari dan ada kalanya, berasa kurang yakin untuk memohon pekerjaan yang berkaitan serta gementar untuk menghadiri temuduga.

“Oleh itu sememangnya sukar bagi mereka yang merasai perkara yang sama dengan saya untuk mencari pekerjaan walaupun berbekalkan ijazah. Kebanyakan majikan akan mencari lulusan yang berwibawa, yang pandai berbahas dan berbahasa, yang berkebolehan membuat presentation secara spontan dan pelbagai lagi kemahiran yang diperlukan.

“Mujurlah ada PDP anjuran ILTIZAM yang mana selama setahun kami ditempatkan bekerja di mana-mana syarikat yang mengambil bahagian dalam program tanggungjawab sosial korporat Ekuinas tersebut, selain diberi pelbagai latihan penambahbaikan diri,” kata pelajar lulusan ijazah Sains (Biologi) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang telah ditempatkan di Kolej Cosmopoint, Kuching selama program tersebut dan telah diamanahkan dengan tugasan pentadbiran, pendaftaran, pemasaran dan penjualan.

Nurul Nadzirah (di tengah kumpulan, bertudung coklat) bersama ahli keluarga PDP yang lain semasa program beriadah berkumpulan menyertai suatu jog-athon di ibu negara.

Antara latihan yang dikira banyak membentuk dirinya adalah “Business Challenge” yang mana pelajar harus membuat usulan idea bisnes dan jenis perniagaan yang dicadangkan. Ini termasuk rancangan menjalankan perniagaan, serta pelan pengurusan kewangan perniagaan tersebut.

“Kami diberi masa yang singkat untuk menyediakan kertas kerja. Di sini kami belajar cara menangangi kekangan kerja disamping memenuhi segala keperluan yang ditetapkan. Ramai antara kami yang pada mulanya cuma berharap mendapat pekerjaaan mula pula menanam niat menjadi usahawan selepas modul tersebut,” kata Nul lagi. Ideanya “Pick My Wardrobe” juga telah berjaya meraih Naib Johan dalam “Business Challenge” tersebut.

“Selain itu, melalui program ini, saya dapat meluaskan rangkaian dan mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan PDP yang berasal dari seluruh Malaysia. Mereka adalah my other big family. Ini antara yang paling bermakna buat saya kerana saya berpeluang untuk mengenali mereka yang banyak membantu dan mengajar saya menjadi insan yang berjaya.

"Majikan dan rakan-rakan PDP memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada saya untuk meningkatkan kemahiran dan memperkasa potensi diri saya yang sedia ada. Selama setahun itu juga, saya dapat merasakan perubahan positif di dalam diri saya. Menghadiri temuduga dan ditawarkan peluang pekerjaan tidak lagi menjadi masalah kepada saya.

“Secara keseluruhannya, program ini telah mengubah persepsi saya terhadap dunia pekerjaan itu sendiri. Saya yang pada mulanya takut untuk mengambil risiko untuk mencuba, sekarang telah menjadi yakin untuk menghadapi apa jua cabaran. Pengetahuan yang saya perolehi selama setahun menjalani PDP telah banyak membantu saya untuk menguasai skil-skil yang diperlukan dalam dunia pekerjaan dan saya berharap ramai lagi dari kalangan graduan Sabah dan Sarawak menyertai PDP," katanya.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan yang juga merupakan antara mentor Nul dalam PDP dan antara barisan penyelia tegar program, matlamat PDP ILTIZAM ini sememangnya untuk membantu melengkapkan graduan tempatan agar dapat berdaya saing dengan graduan-graduan lulusan luar negara atau mereka yang telah bernasib baik mendapat pendedahan yang diperlukan.

“Ternyata ramai graduan tempatan terutamanya yang berasal dari luar bandar, kurang mendapat pendedahan pekerjaan ataupun ilmu penyediaan diri untuk masuk ke alam pekerjaan. Selain daripada mengasah bakat dan menyerlahkan skil diri, PDP juga turut membantu peserta program untuk mendapat pekerjaan setelah selesai dilatih. Bagi mereka yang kurang berjaya mendapat pekerjaan, pihak ILTIZAM akan tetap memantau dan memberi bimbingan sehingga mereka ini berjaya,” tambah Hizwani.

Selama setahun, setiap peserta program atau pelatih akan ditempatkan di beberapa syarikat yang menjadi rakan program. Mereka diberi gaji bulanan sebanyak RM2,500, kemudahan perubatan, caruman KWSP, insuran dan cuti tahunan sama seperti mana-mana pekerja biasa. Setiap bulan juga peserta akan dikumpulkan untuk menjalani latihan intensif seperti cara membuat presentasi berbahasa Inggeris, keterampilan diri yang baik, pengetahuan dan kecekapan berniaga, skil komputer, drama, keusahawanan, team-building dan juga pembangunan kepimpinan diri. Aktiviti sosial seperti bersukan dan Quran Chillout (untuk yang beragama Islam) juga diadakan. Mereka juga didedahkan dengan berbagai aktiviti tanggungjawab sosial seperti menjayakan projek tanaman cili di rumah-rumah kebajikan.

Hizwani (kiri sekali) bersama beberapa pelatih PDP semasa larian “Run For Myself” di Padang Merbuk, KL, iaitu satu aktiviti kumpulan yang disertai semua pelatih.

Walaubagaimanapun, tambah Hizwani lagi, kejayaan terletak ditangan para pelatih yang harus bersungguh-sungguh mengamati dan mempraktikkan semua yang disediakan oleh ILTIZAM.

Setakat ini, program tersebut berjaya membantu seramai 75 orang graduan tempatan setiap tahun. Program yang telah dilancarkan pada tahun 2012 ini semakin menjadi perbualan anak-anak muda terutamanya graduan daripada golongan kurang bernasib baik yang sekian lama mencari pekerjaan.

“Selalunya syarikat yang turut serta dalam program ini akan menerima graduan sebagai pekerja sepenuh masa apabila mereka ini tamat PDP setahun. ILTIZAM mencapai kadar kejayaan sebanyak 85% dalam usaha menempatkan peserta ke alam kerja sepenuhnya,” kata Hizwani.

Antara syarikat yang menyokong program tersebut termasuk Fashion Valet, Habib Jewels, Kawasaki, jenama Canggih, Yayasan Peneraju, Graduan, KAF Investment Bank, ICON Offshore, ACG International, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan banyak lagi.

“Pihak ILTIZAM akan berusaha bersama pelatih untuk mendapatkan pekerjaan bagi semua peserta program setelah selesai menjalani PDP setahun ini. Akan tetapi peserta juga digalakkan menceburi dunia keusahawanan untuk penambahbaikan diri,” ujar Hizwani lagi.

Permohonan dalam talian untuk program PDP kemasukan tahun 2019 telah dibuka sejak awal Ogos. Ianya akan ditutup pada 15 September 2018. Mereka yang berminat boleh melayari https://iltizam.ekuinas.com.my/pillars/education/ atau membuat permohonan dalam talian di https://iltizam.ekuinas.com.my/pdp/


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...