> > Termimpi-mimpi miliki bank sendiri, tapi ini sebab Khaziq Ashraf pilih jurusan Kewangan Islam
Termimpi-mimpi miliki bank sendiri, tapi ini sebab Khaziq Ashraf pilih jurusan Kewangan Islam

MINAT dan kecenderungannya ketika di sekolah adalah dalam bidang sukan ragbi, malah Khaziq Ashraf Muhamad Nasrah juga pernah mewakili sekolah dalam pertandingan di peringkat kebangsaan. Namun, sejak masuk ke universiti, fokusnya mula beralih dalam kegiatan keusahawanan dan berpersatuan, bahkan pernah mewakili universiti dalam pertandingan keusahawanan yang diadakan di sebuah universiti seawal tahun pertama pengajiannya.

Menurut mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak ini lagi, asalnya dia ingin mendalami bidang perakaunan, namun atas beberapa faktor selain minat, dia memilih jurusan Kewangan Islam.

"Saya ubah keputusan untuk ambil jurusan ini bila dah masuk U. Sebelum ini, saya pernah termimpi-mimpi untuk memiliki bank sendiri. Itu antara faktor utama saya ambil jurusan ini selain daripada minat," katanya yang kini berada di tahun tiga jurusan berkenaan.

Ketika menyertai satu seminar keusahawanan.

Tambahnya, walaupun nasib tidak menyebelahi dalam pertandingan keusahawanan berkenaan, namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mendalami bidang ini.

SERLAH POTENSI DIRI

Mengakui dirinya merupakan seorang yang introvert, menurut Khaziq pembabitan dalam aktiviti berpersatuan selain bersukan (bola tampar), sedikit sebanyak merubah personaliti dirinya kepada seorang yang lebih berani.

Bersama rakan-rakan berpeluang melawat ketika Parlimen Malaysia bersidang.

Tambahnya lagi, antara perubahan terbesar dalam dirinya ialah boleh buat apa yang dirasakan dulunya mustahil untuk dilakukan.

"Betul, dulunya saya seorang yang pendiam, tetapi sejak melibatkan diri dengan aktiviti di universiti ni, walaupun masih lagi pendiam, tetapi sekarang, saya akan bersuara bila perlu dan idea itu tidaklah terperap saja dalam kepala," ujarnya dalam nada berseloroh.

"Sebenarnya dalam diri kita ada potensi masing-masing. Jika kita berkawan dengan orang yang betul, kita akan rasainya. Kalau dulu, saya bukanlah orang yang boleh bercakap di hadapan dan selalu simpan saja idea yang ada. Tapi sekarang, saya sudah mula 'bersuara'. Saya juga bukanlah orang yang suka bergaul dengan orang lain, tapi kini saya sudah mula menyedari ia penting sebenarnya sebab kita akan kenal dengan ramai orang dan banyak kelebihan jika kita berjumpa dengan orang yang tepat," jelasnya sambil berkongsi motivasi; hargailah diri kita dengan serlahkan potensi dalam diri.

Bersama rakan-rakan ketika menyertai pertandingan keusahawanan peringkat universiti.

Satu lagi pengalaman yang menurut Khaziq tidak dapat dilupakan ketika mengikuti ekspedisi Gunung Nuang. Walaupun ia kelihatan cuma program biasa, namun kerjasama berkumpulan dan keputusan 'segera' yang disepakati dengan kawan-kawan pendaki ketika berhadapan saat-saat genting itu yang penting dalam satu kumpulan.

"Waktu pergi, saya tak jangka pula yang saya perlu naik selama empat jam untuk sampai puncak. Waktu itu, stamina memang dah habis. Dalam perjalanan turun pula, berlaku satu tragedi apabila kawan saya tiba-tiba pengsan. Waktu itu, ada saya dan tiga lagi kawan saja. Dalam keadaan genting sebegitu, kami terus buat ‘stretcher’ sendiri dan angkat kawan guna benda tu untuk bawa turun. Bayangkan, sepatutnya boleh sampai ke bawah dalam 3 jam lebih, tapi makan masa sampai 5 jam," imbasnya.

BUAT SUNGGUH-SUNGGUH

Musim minggu pertama pelajar baharu mula bergelar mahasiswa ini, Khaziq yang juga merupakan penerima Anugerah Dekan ingin berkongsi tip pembahagian masa antara belajar dan pembabitan dalam aktiviti kepada kalangan junior.

Menunjukkan medal tempat pertama dalam pertandingan keusahawanan di peringkat universiti.

"Cara saya, mula-mula sebelum tidur, cuba senaraikan semua perkara yang kita perlu buat esok. Lepas tu, susun ikut keutamaan. Pastikan kita tulis di kertas dan bukannya simpan dalam telefon atau tempat lain sebab di kertas kita akan rasa lebih usaha nak siapkan tugasan tu.

"Satu lagi, saya berpegang kepada motto; kalau nak buat sesuatu, buat sungguh-sungguh. Dalam konteks pelajar, kita dah masuk IPT. Jadi belajarlah sungguh-sungguh. Hargai ilmu yang ada. Jika kita join apa-apa persatuan pun, aktifkanlah diri hingga kita dapat sesuatu dari sana. Pastikan diri kita selepas belajar tiga atau empat tahun di IPT adalah diri yang lebih baik dari kita mula-mula mendaftar. Jika diri kita di level 2 waktu mendaftar dulu, naikkan ke level 10 sepanjang pengajian," kongsinya.

PROFIL

Nama: Khaziq Ashraf Muhamad Nasrah

Asal: Kuantan, Pahang

Umur: 21 tahun

Adik-beradik: 5 orang (anak ke-4)

Pendidikan:

Darjah 1 - 6: SK Sungai Isap, Kuantan

Tingkatan 1 - 3: MRSM Tumpat, Kelantan

Tingkatan 4 - 5: MRSM Jasin, Melaka

Pendidikan sekarang:

Tahun 3 Jurusan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak

Pencapaian:

Akademik:

- Anugerah Dekan peringkat asasi dan peringkat ijazah

Sukan:

- Tempat ke-3 Bola Tampar antara kuliyyah (asasi)

- Tempat ke-4 Bola Tampar antara Mahallah

- Tempat pertama Bola Tampar dalam Sport Festival Mahallah

- Tempat pertama dalam pingpong antara jabatan

Pertandingan:

- Menyertai Business Proposal Competition di UMT (tahun 1)

- Tempat pertama Pertandingan Keusahawanan di UIAM

Pembabitan aktiviti:

- Merupakan ahli Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) UIAM


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...