> > Menganyam fantasi, mendakap realiti. Kebolehpasaran graduan terus dipertikai
Menganyam fantasi, mendakap realiti. Kebolehpasaran graduan terus dipertikai

HIDUP dan kehidupan manusia berubah seiring masa. Pada tahun 1960-an dan 1970-an, graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menjadi rebutan industri dan majikan.

Mereka laris bagai pisang goreng cheese coklat panas... Belum pun sempat menghadiri menyarung jubah konvokesyen, graduan disambar organisasi-organisasi di serata pelosok tanah air.

Situasi ini amat sukar berlaku sekarang. Jenuh dan berpeluh anak-anak muda kelahiran IPT ini menjaja resume... namun, makan gaji di organisasi besar tidak boleh lagi menjadi sandaran. Kenapakah situasi ini berlaku? Adakah graduan IPT kini tidak lagi berkualiti? Adakah IPT gagal melaksanakan fungsinya?

Sistem pendidikan tinggi negara adalah suatu wadah harapan semua untuk melahirkan graduan yang mantap dan berdaya saing terutamanya dalam persekitaran dinamik dan organik masa kini. Hakikatnya, sistem ini melalui IPT di Malaysia telah mengeluarkan jumlah graduan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara. Keupayaan IPT telah meningkat sejak wujudnya universiti pertama di negara ini, iaitu Universiti Malaya pada tahun 1961.

Perangkaan semasa menunjukkan terdapat kira-kira 1.2 juta orang pelajar sedang mengikuti pengajian di IPT awam dan swasta. Mereka ini nanti akan memasuki alam pekerjaan, menjadi sebahagian daripada tenaga kerja serta bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Mereka diharapkan menjadi modal insan yang cemerlang dalam serba-serbi – akademik, jati diri, akhlak dan sahsiahnya.

Walau bagaimanapun, menyediakan modal insan sebegitu dan pada masa yang sama boleh dipasarkan kepada industri adalah suatu cabaran besar kepada IPT.

Gambar sekadar hiasan.

KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Kebolehpasaran graduan sentiasa dirujuk bagi menggambarkan kualiti dan kecemerlangan sesebuah IPT. Kita sering kali dihidangkan dengan isu graduan menganggur dan tidak menepati kehendak industri. Banyak dakwaan mengatakan bahawa graduan di Malaysia sukar mendapatkan pekerjaan kerana tidak memenuhi keperluan majikan dari segi kemahiran. Dakwaan ini mungkin sebahagiannya benar.

Namun harus juga diingat bahawa pengangguran dalam kalangan graduan adalah fenomena di kebanyakan negara dan disebabkan oleh faktor seperti kadar pertumbuhan ekonomi yang perlahan, perubahan permintaan industri yang berlaku di luar jangkaan dan graduan yang dihasilkan tidak sepadan dengan keperluan industri.

Kajian yang telah dijalankan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara mendapati faktor utama kegagalan graduan mendapatkan pekerjaan ialah kelemahan kemahiran komunikasi. Isu ini telah disedari oleh banyak pihak, serta masih menghantui bakal graduan.

IPT tidak boleh terus-terusan menjadi kambing hitam sepenuhnya dalam aspek kebolehpasaran graduan. Ini kerana fungsi asas penubuhannya adalah menyediakan graduan dengan ilmu pengetahuan yang munasabah.

Fungsi ini telah dilaksanakan selari dengan perkembangan dan perubahan masa. Malah, IPT kini berperanan lebih besar dalam menyediakan graduan yang memenuhi kehendak pasaran melalui peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran selari dengan tuntutan industri.

Peranan dalam aspek penarafan dan pengantarabangsaan juga dilihat menjadi agenda penting bagi pembangunan IPT. Melihatkan kepada tuntutan-tuntutan besar kepada IPT, maka adalah tidak wajar jika IPT harus menanggung kesalahan akibat pengangguran dalam kalangan graduan dan ketidakbolehpasaran mereka.

Banyak kajian berkaitan isu kebolehpasaran graduan telah dijalankan sama ada di dalam atau luar negara. Kesimpulan daripada kajian-kajian ini adalah, graduan akan menjadi laris di pasaran jika mereka mempunyai pengetahuan akademik serta kemahiran insaniah (soft skill) yang sewajarnya.

Perubahan sosial yang berlaku dalam pasaran buruh khususnya dari aspek peningkatan tahap pendidikan penduduk negara, telah menyebabkan kebanyakan industri melakukan perubahan terhadap syarat pengambilan dan pemilihan pekerja. Majikan sekarang tidak lagi memberi tumpuan kepada ‘pointer’ dan kelayakan akademik semata-mata, tetapi ia juga melihat kepada keupayaan dan kemahiran graduan dari aspek emosi, spiritual dan keusahawanan.

Hal ini berlaku akibat perubahan yang berlaku dalam dunia pekerjaan, yang mana majikan dan industri memerlukan para pekerja yang lebih kreatif, fleksibel, dan mempunyai kemahiran interpersonal yang tinggi.

KEMAHIRAN INSANIAH

Penemuan kajian menunjukkan bahawa graduan yang mempunyai kemahiran insaniah tinggi seperti boleh bekerja sendiri dengan penyeliaan minimum, berkemahiran mengurus teknologi maklumat, mempunyai kualiti kepimpinan, mudah menyesuaikan diri dan mempunyai tahap intelektual sewajarnya telah membantu graduan mendapatkan pekerjaan dalam tempoh yang singkat.

Dapatan kajian atas menunjukkan usaha memantapkan kemahiran komunikasi dan interpersonal yang berkesan dalam kalangan pelajar perlu dijayakan secara berterusan. Graduan yang memiliki kemahiran ini di samping kelayakan akademik yang baik memberikan kelebihan kepada mereka untuk mendapat pekerjaan.

Penemuan kajian juga menunjukkan prestasi graduan dari segi etika dan nilai, kemahiran berfikir, kepimpinan, pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah juga perlu diberi penekanan kerana ia masih tidak memenuhi harapan industri.

Jurang prestasi graduan yang paling memenuhi harapan majikan ialah kemahiran teknologi maklumat (ICT). Ini menunjukkan bahawa graduan yang dilahirkan oleh IPT masa kini telah dibekalkan dengan kemahiran teknologi maklumat secukupnya dan memenuhi kehendak pasaran.

Senario pendidikan negara menunjukkan bilangan graduan yang dihasilkan oleh IPT terus meningkat. Walaupun begitu, mereka ini dikatakan gagal mendapat pekerjaan atas beberapa faktor yang dibebankan kepada IPT. Mahu tidak mahu, IPT harus mengambil perhatian terhadap isu dan kemahiran yang dinyatakan di atas bagi menjamin kebolehpasaran graduannya.

Transformasi dan reformasi radikal terhadap sistem pendidikan adalah amat diperlukan. Melaluinya, kita berharap anyaman fantasi semua pihak terutamanya ibu bapa terhadap graduan dapat dijadikan realiti.

Melaluinya juga, kita berharap kualiti pengajian tinggi negara terus meningkat dan akhirnya menghasilkan graduan yang terbilang dan memenuhi kehendak masyarakat, majikan dan negara.

PROF DR ZAFIR KHAN

INFO

Salah satu dapatan kajian yang menarik adalah analisis jurang antara kebolehpasaran graduan dan ketidaksepadanan (mismatch) yang berlaku. Jurang kemahiran yang ditemui telah disusun mengikut keutamaan seperti berikut:

1. Komunikasi dan interpersonal

2. Etika dan nilai

3. Kemahiran berfikir

4. Kepimpinan

5. Membuat keputusan dan penyelesaian masalah

6. Kerja berpasukan

7. Perancangan kerja

8. ICT (Teknologi Maklumat)

*Penulis merupakan Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia.

*Sumber artikel yang diterbitkan dalam sisipan Sihat: Aktif Sinar Harian Khamis 13 September 2018


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...