> ISU > Di sebalik peranan Senior kepada Junior
Di sebalik peranan Senior kepada Junior
WARTAWAN KAMPUS UOLS 14 September 2018

Minggu pendaftaran kemasukan pelajar baharu di kebanyakan kampus telah pun berlalu sejak seminggu yang lalu. Pasti Minggu Orientasi memberi pengalaman berharga buat pelajar baharu ini untuk meneroka lebih mendalam tentang dunia kampus.

Namun untuk meneroka dunia di tempat baharu memerlukan ‘tunjuk ajar’ dari orang yang lebih berpengalaman atau lebih lama menetap di situ. Hakikatnya, peranan itulah yang patut dimainkan oleh para senior kepada junior yang bukan hanya menunjukkan arah tempat di universiti, sebaliknya membantu hal berkaitan dengan dunia akademik!

Tanggungjawab dan peranan senior

Perkara ini turut mendapat respon daripada Naib Yang Dipertua 3, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Haiqal Nor Wahid yang mana beliau melihat peranan dan tanggungjawab senior sangat penting dalam memberi pemahaman yang lebih luas kepada junior selari dengan tuntutan pengalaman selaku ‘orang lama’ dengan kehidupan di kampus.

Muhammad Haiqal Nor Wahid

“Tanggungjawab pertama yang saya lihat sinonim dengan senior di universiti adalah mereka ini sebagai individu yang mudah di akses dan didekati untuk mendapat pandangan dan nasihat berkaitan hal ehwal akademik. Kita mengetahui, kaedah dan silibus pembelajaran di universiti amat berbeza berbanding di alam persekolahan dan jika para pelajar junior lambat menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran dan pengajaran di universiti, mereka akan tertinggal dan memberi kesan kepada Purata Nilai Gred Semester (PNGS) dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) masing-masing kelak.

“Jadi, selaku senior yang telah menempuh beberapa semester pengajian dalam sesuatu program akademik misalnya, mereka berpengetahuan mengenai silibus yang akan dipelajari pada setiap semester, pensyarah yang mengajar, bahan rujukan yang bersesuaian serta tip-tip yang boleh dijadikan panduan.

“Keduanya, senior boleh membantu membuka peluang dan ruang kepada junior untuk menyertai pelbagai program di kampus terutamanya melibatkan diri secara aktif dalam persatuan dan kelab pelajar. Para pelajar baharu ini, ada di antara mereka yang mempunyai kecenderungan dalam pelbagai aktiviti di zaman persekolahan dahulu, malah mungkin sehingga menjadi johan di peringkat negeri, kebangsaan sampai antarabangsa. Apabila masuk ke universiti, tiada orang yang mengetahui dengan jelas pencapaian dan minat kita sebelum ini, justeru di sini senior memainkan peranan menyalurkan mereka ke saluran yang sesuai.

Pelajar junior memerlukan bantuan senior untuk meneroka lebih jauh tentang dunia kampus.

“Pada masa yang sama. junior dapat mengambil peluang untuk mengasah dan mengembangkan bakat serta potensi diri dengan menyertai kelab atau persatuan pelajar yang bersesuaian di universiti kerana ada yang berteraskan pengucapan awam, kebudayaan, kesenian, sukan, badan beruniform dan pelbagai lagi. Sampai satu masa, mereka yang senior akan meninggalkan alam kampus, justeru siswa junior inilah yang akan meneruskan legasi mereka dalam menggerakkan program kampus dan meneruskan kelangsungan dalam kepimpinan persatuan dan kelab pelajar,” katanya.

Jadi idola

Malah, pelajar dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah ini melihat ‘jalinan kerjasama’ tersebut mampu memberi manfaat yang lebih besar buat kedua-dua pihak.

“Di universiti pastinya ada senior yang hebat dalam akademik, sahsiah, kepimpinan dan lain-lain. Dengan adanya senior serba boleh sebegini, mereka akan menjadi contoh atau 'idola' kepada junior baru.

“Kebiasaannya adik-adik junior akan mencari seseorang yang beliau rasa boleh 'impressed' diri beliau, dan boleh memberi motivasi mengikut agar para junior ini boleh mengikut jejak langkah abang kakak senior, yang mereka nampak telah berjaya serta menempa nama di peringkat universiti, negara, mahupun persada antarabangsa. Sebagai contoh, sifat kepimpinan yang pelajar baru akan nilai daripada personaliti pelajar senior yang mereka lihat, akan mendorong mereka agar lebih berminat menyertai program-program yang melibatkan kepimpinan,” katanya.

Menurut Haiqal, walaupun perkara ini dilihat sesuatu yang bersifat positif, namun perlu diingatkan juga kepada para junior agar tidak terlalu bergantung kepada senior kerana ia boleh mengundang kesan negatif.

“Oleh kerana alam universiti ini adalah zaman mengasah pemikiran pelajar supaya lebih kreatif dan kritis, junior tidak digalakkan terlalu bergantung kepada senior, kerana boleh menjadikan mereka manja. Mereka malas fikirkan sesuatu penyelesaian, malah lebih malang, ada yang mengambil jalan mudah dan singkat bagi menyelesaikan sesuatu perkara menggunakan pihak lain. Justeru, tidak salah bergantung kepada senior, tapi biarlah berpada-pada dan dalam keadaan yang tertentu.

Pelbagai pihak perlu memainkan peranan terutama membina suasana yang baik dalam persekitaran kampus.

“Selain daripada senior, semua yang berada di universiti, tidak kira staf, pegawai, kakitangan, dan juga pensyarah juga berperanan dalam membantu pelajar yang baru menyesuaikan diri dalam dunia kampus yang baru ini. Mereka yang lebih lama akan lebih arif berkenaan selok belok alam kampus. Paling penting adalah, peranan menunjukkan sikap yang baik serta profesional supaya dapat membina rasa hormat pelajar kepada semua dan dapat membina suasana yang baik dalam persekitaran kampus,” katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...