> ISU > Demi selamatkan penyu, pelajar sanggup bayar RM500
Demi selamatkan penyu, pelajar sanggup bayar RM500
BERNAMA 14 September 2018

PULAU REDANG (Terengganu) – Sekumpulan pelajar tahun kedua Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang masing-masing menabung hingga RM500 untuk menjadi sukarelawan di Stesen Penyelidikan Penyu (SEATRU) universiti itu di Chagar Hutang di sini selama seminggu, menyifatkan pengalaman yang dilalui sebagai suatu yang berbaloi.

Bagi keenam-enam mereka, pelajar Pengajian Sains Asas di Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan, aktiviti menyaksikan penyu bertelur adalah kenangan terbaik yang pernah dilalui mereka.

Walaupun terpaksa menjalani tugasan meronda pantai berjam-jam lamanya serta merekodkan jumlah pendaratan penyu, namun tugasan itu dilihat sebagai pembuka mata dan penyaluran ilmu kepada mereka.

Yap Mei Han, 21, dari Kepong, Kuala Lumpur berkata, “walaupun kami terpaksa membayar, ia berbaloi menjadi sukarelawan di pusat pemuliharaan penyu ini.

“Sebelum ini saya belum pernah melihat penyu hidup, dan sekarang ini bukan sahaja boleh sentuh malah melihat sendiri seluruh proses dari penyu betina mendarat di pantai, mencari tempat untuk bersarang, mengeluarkan telur, menetaskan telur dan melepas anak penyu berenang kembali ke laut,” katanya kepada Bernama di sini.

SEATRU memperkenalkan program sukarelawan selama seminggu itu kepada peserta berumur lebih 18 tahun pada 1998, sebagai usaha untuk mengutip dana bagi membiayai kos RM150,000 setahun yang diperlukan untuk mengendali stesen itu yang telah beroperasi sejak 1993.

Bagi pelajar Malaysia dan mereka yang berumur lebih 60 tahun, mereka dikenakan bayaran RM500, manakala pelajar luar negara dikenakan bayaran US$200, dan bukan pelajar bawah 60 tahun RM800 dan warga luar negara US$350 seorang.

Program sukarelawan itu dijalankan setiap tahun dari April hingga September selama seminggu dari Sabtu hingga Sabtu berikutnya.

Sementara itu, pelajar UMT, Tobias Teoh, 21, dari Seri Kembangan, Selangor, yang tidak pernah menyukai haiwan, kini menjadi seorang yang menyayangi penyu.

Tugas harian para sukarelawan ini yang perlu mengawasi dan mengepil tag pada penyu, dan bila menyaksikan sendiri kesukaran hidup penyu yang terpaksa dilalui untuk kelangsungan hidup, membuatkan beliau begitu mahu memastikan haiwan itu dilindungi.

Tobias Teoh juga dapat menikmati ketenangan sepanjang berada di pulau ini, yang turut tidak mempunyai perhubungan Internet, tiada televisyen dan kemudahan moden, hingga beliau amat menyukai malam yang sunyi dikelilingi alam semula jadi.

Beliau berharap rakyat Malaysia merebut peluang menyertai program ini walaupun sekali dalam seumur hidup untuk melalui pengalaman yang berharga ini.

Dr Mohd Uzair Rusli, Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi Dan Sekitaran (INOS) , berkata program sukarelawan itu diperkenalkan setelah penaja utamanya, sebuah syarikat swasta, terpaksa menarik diri berikutan kegawatan ekonomi pada 1998.

Beliau berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang baik terutama dari luar negara, dan beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia, terutama dari Terengganu menyertai program ini yang akan membantu usaha universiti berkenaan dalam meningkatkan pemuliharaan penyu di negeri ini.

SEATRU juga menerima beberapa pelajar luar negara yang mengikuti ijazah sarjana mengenai penyu.

Chagar Hutang adalah sebuah pantai terpencil di hujung utara Pulau Redang, satu daripada tiga pantai penyu bersarang di pulau ini.- Bernama


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...