> > Walaupun Autisme, tapi ini yang Mohd Shafiq peroleh kini...
Walaupun Autisme, tapi ini yang Mohd Shafiq peroleh kini...
MUHAMMAD IQBAL RAMLAN 5 October 2018
SEGELINTIR masyarakat masih melihat Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai insan yang tidak boleh melakukan tugas-tugas secara sempurna seperti orang lain. Namun, tanggapan tersebut ternyata tidak benar kerana terdapat ramai OKU berjaya, termasuklah Mohd Shafiq Badarulhisham yang telah berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM).

Mohd Shafiq, 28 tahun, disahkan menghidap Childhood Autisme Delay Speech pada usia enam tahun. Dia mendapat pendidikan awal khas di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis Fasa 2 sebelum ditawarkan untuk menyambung pelajaran di SMK Seksyen 5 Wangsa Maju dengan memasuki Kelas Separa Inklusif, iaitu 50 peratus pendidikan khas, 50 peratus pendidikan normal sehingga tingkatan lima.

Menurut Mohd Shafiq walaupun keputusan Sijil Pelajaran Malaysianya kurang memuaskan, namun dia tidak berputus asa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada 2010, Mohd Shafiq telah melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Antarabangsa (KIA) di dalam kursus Sijil Teknologi Maklumat dan berjaya mendapatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 sebelum menyambung pengajian peringkat Diploma dan berjaya menamatkannya pada 2015 dengan memperoleh keputusan PNGK 3.20.

Mohd Shafiq menunjukkan Anugerah Khas (Alumni) sempena Konvokesyen Ke-11 KIA yang diterima baru-baru ini.

Mengimbas kembali pengalamannya menimba ilmu di KIA, menurut Mohd Shafiq, dia sangat berpuas hati terutama dengan kemudahan yang disediakan pihak KIA.

“Kemudahan di KIA amat selesa dan fleksibel bagi saya untuk belajar, seperti perpustakaan dan bilik belajar di mana saya boleh belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan. Dalam masa yang sama, saya dapat berkomunikasi dengan pelajar antarabangsa," ujarnya.

Walaupun berdepan kesukaran untuk mengingati pelajaran dan fakta dalam kelas, namun dia tetap nekad untuk meneruskan pengajiannya. Ternyata, kesungguhannya untuk belajar mengatasi kekurangannya sehingga membolehkannya menerima dua Anugerah Dekan semasa di peringkat diploma.

Mohd Shafiq membuktikan Autisme bukan penghalang untuk berjaya dalam apa saja bidang diceburi.

“Alhamdulillah, dengan PNGK saya 3.20 dalam Diploma Teknologi Maklumat, saya berpeluang untuk melanjutkan pelajaran saya dalam Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam (UA),” tambahnya lagi.

Setelah menamatkan pengajiannya di KIA, dia telah berjaya melanjutkan pelajaran di UM dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Sistem Komputer dan Rangkaian.

Ternyata, kegigihannya itu mencatat sejarah bukan sahaja buat dirinya, malahan juga dalam kalangan OKU apabila dia menjadi OKU pertama yang menerima Anugerah Khas (Alumni) pada Istiadat Konvokesyen Ke-11 KIA, tahun ini.

Ketika menjadi salah seorang panel di 1'st Autism Symposium di J.W. Marriot, Kuala Lumpur.

Malah, statusnya sebagai OKU juga tidak menghalang Mohd Shafiq untuk bergiat aktif dalam banyak kegiatan kurikulum di UM sehingga diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa OKU di Kolej Ketujuh (Zaaba), UM.

Pesannya kepada OKU di luar sana, jangan pernah berputus asa dan memandang rendah keupayaan sendiri.

"Anda sebenarnya boleh menyambung pengajian seperti insan-insan yang lain. Walaupun saya dapat masuk ke universiti awam pada usia 26 tahun, saya rasa ia agak tidak lewat kerana bagi saya umur bukanlah penghalang untuk saya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah,” kongsinya.

PROFlL

Nama: Mohd Shafiq Badarulhisham

Pendidikan:

- Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis Fasa 2 (Kelas Pendidikan Khas)

- Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju

- Sijil Teknologi Maklumat, Kolej Islam Antarabangsa

- Diploma Teknologi Maklumat, Kolej Islam Antarabangsa

- Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian), UM

Pencapaian:

- Dua Anugerah Dekan semasa diploma

- Anugerah Khas (Alumni) Kolej Islam Antarabangsa

Jawatan:

- Pengerusi Jawatankuasa Kolej ke-7 Zaaba, UM


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...