> > Rupa-rupanya ini sebab Ahmad Safiuddin berani bangunkan syarikat sendiri walaupun sibuk dengan pengajian
Rupa-rupanya ini sebab Ahmad Safiuddin berani bangunkan syarikat sendiri walaupun sibuk dengan pengajian

ASALNYA dia seorang yang pendiam, pasif dan kurang keyakinan diri. Namun, lama-kelamaan, Ahmad Safiuddin Ibrahim, 22, sedar dia tidak boleh terus berada dalam 'dunia'nya sendiri. Lantas, demi mengubah sifatnya itu, Ahmad Safiuddin cuba menceburi pelbagai aktiviti terutama yang berkaitan kemasyarakatan.

"Setiap aktiviti yang saya ceburi selain minat, saya akan pastikan ada nilai yang saya akan dapat untuk bantu karier dan masa depan saya. Paling penting sekali bukan hanya bantu diri sendiri, tapi mesti pengisian dan nilai aktiviti itu saya boleh kongsi dengan masyarakat. Sebab itu sebelum saya buat sesuatu ada satu soalan yang saya akan fikirkan. “Macam mana aku nak kongsi dengan orang lain?,” katanya yang berjaya 'keluar' dari sifat-sifat berkenaan apabila menjadi salah seorang pendebat utama mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM).

Memilih program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (Kepujian), UUM, menurut Ahmad Safiuddin pada mulanya dia memilih untuk mengikuti Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang bagi memenuhi cita-citanya untuk menjadi seorang peguam sebelum menceburkan diri dalam politik.

Kunjungan hormat ke Parlimen Malaysia bersama pendebat dan ahli Kelab Pengucapan Awam.

"Tapi saya tertarik dengan komponen falsafah yang saya belajar seawal semester pertama Asasi Pengurusan. Bagi saya, ilmu falsafah adalah ibu segala ilmu. Sudut pandang pemikiran saya jadi luas terutama dalam memahami sesuatu isu dan keadaan, menilai dan mengkaji untuk mencari kebenaran mengenai sesuatu perkara. Yang menariknya, gabungan tiga komponen falsafah, undang-undang dan perniagaan sangat dekat dengan minat saya. Saya berbangga sebab program ini hanya satu-satunya wujud di Malaysia yang ditawarkan UUM. Model bidang pengajian ini juga mengambil ilham daripada program Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) universiti Oxford,Havard dan Cambridge. Kata-kata Dr. Eric Walker daripada Universiti Havard mengenai program ini; “If I am given the opportunity to enrol in the programme, I would give my best for it will transform my life-long corpus of knowledge”, membuatkan saya yakin dan semangat bidang ilmu yang komprehensif ini membantu kami untuk jadi seorang yang holistik sebagai seorang pemimpin yang baik," jelasnya yang turut aktif dalam Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, memberikan ceramah motivasi, kepimpinan serta bengkel pengucapan awam di sekolah dan universiti.

Berkongsi pengalaman dan kemahiran debat bersama pendebat muda.

SYARIKAT SENDIRI

Turut meminati bidang perniagaan dengan membangunkan syarikat sendiri SFS Biz Generation untuk menyediakan platform perniagaan kepada usahawan muda dan Thinkers Circle Training & Consultation sebagai konsultan bagi menjalankan aktiviti kejurulatihan.

"Tetapi saya bermula dengan aktiviti debat yang memberikan kesan dalam hidup saya. Saya mula terlibat dalam debat sejak tingkatan 1 pada tahun 2009 dalam Debat Kemerdekaan. Saya bertambah semangat berdebat bila saya ikuti perbahasan ahli parlimen di dewan rakyat menerusi TV. Setiap hari saya akan menonton video perbahasan dan ceramah politik. Saya cuba belajar seni penyampaian, karisma dan gaya fikir mereka. Antara individu pada ketika itu yang saya suka ulang tayang gaya perbahasan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution," katanya yang mewarisi bakat debat daripada ayahnya, Ibrahim Baba.

Mewarisi bakat debat daripada ayahnya, Ibrahim Baba.

"Saya baru maklum bila terlihat sekeping gambar ayah berdebat yang mana posisi dan gayanya hampir sama dengan gambar dan gaya saya berdebat. Mungkin kebetulan, tapi ayah dan keluarga sangat supportive," tambahnya yang mendapat bimbingan daripada mentornya sejak 2009, Allahyarham Harmi Mohamad Jamil dan Rizal Safari Mahmud.

KERJA BERPASUKAN

Baginya, aktiviti pengucapan awam khususnya perdebatan bukan untuk tunjuk siapa menang siapa kalah atau siapa lemah dan siapa yang hebat, sebaliknya perdebatan mengajar untuk berfikir secara mata helang, toleransi dalam menerima dan menguruskan perbezaan pendapat.

Mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Undangan Negeri Kedah.

"Berdebat adalah kerja berpasukan. Kita akan belajar macam mana untuk bekerja dalam satu pasukan dengan tekanan dan cabaran yang pelbagai. Daripada situ kita akan bina keyakinan kita dalam membina keyakinan kita menyampaikan sesuatu terutama apabila kita menjadi ketua.

"Pada aspek yang lain, kita tidak rugi sebab debat akan latih kita untuk cakna dengan perkembangan isu semasa dalam pelbagai bidang. Ini bonus! Walaupun kita belajar dalam bidang IT, ekonomi, pengurusan sumber manusia, kejuruteraan, kedoktoran dan dalam bidang pengajian agama sekalipun, kita akan tahu ilmu dan isu dalam ekonomi, politik antarabangsa, sosial masyarakat, sejarah, pendidikan dan sebagainya.

"Berdebat bukan untuk pertandingan semata-mata tetapi kemahiran berfikir dan berkomunikasi itu yang jauh lebih penting. Jadi jangan takut untuk berdebat," katanya yang merupakan salah seorang ahli pasukan Pencadang yang dinobatkan Johan dalam Debat Siswa RTM-RTB 2018.

ANUGERAH DEKAN

Akui Ahmad Safiuddin, pembahagian masa sangat mencabar.

Menyertai kayuhan basikal Malaysia-Thailand pada 2017.

"Dalam persilatan saya dipesan, kita hanya ada dua, peluang dan masa. Peluang dan masa bukan hanya pada waktu bertempur untuk tumpaskan lawan tapi penting untuk uruskan masa dalam kehidupan seharian. Di universiti saya hanya fokus pada satu kelab sahaja iaitu Kelab Pengucapan Awam UUM. Saya akan pilih aktiviti yang akan bantu karier saya supaya tidak rugi masa belajar sambil bina kerjaya dan kemahiran. Orang kata, 'sambil menyelam minum air.'

"Bagi saya menceburkan diri dalam banyak aktiviti tetapi tidak konsisten dan tidak ada impak adalah rugi. Apabila saya ada fokus utama, masa saya dapat digunakan sebaik mungkin. Waktu petang adalah masa untuk beriadah, waktu malam untuk saya ulang kaji dan hujung minggu saya akan keluar untuk lakukan aktiviti santai dan berlatih bermain golf. Alhamdulillah, jadual aktiviti yang padat walaupun sedikit saya masih tidak lari dari fokus akademik dan dapat capai keputusan Anugerah Dekan bagi setiap semester sejak Asasi lagi.

Meluangkan masa bercuti bersama keluarga.

"Nasihat saya, dalam apa juga bidang yang kita ceburi kita perlu fikir bagaimana untuk menyumbang kepada diri kita, keluarga kita dan masyarakat. Hidup tidak boleh pentingkan diri dan tidak boleh 'syok sendiri' sebab Tuhan jadikan kita saling lengkap melengkapi. “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.” ujarnya lagi.

Delegasi ke National University of Singapore membincangkan isu hak asasi manusia.

PROFIL

Nama penuh: Ahmad Safiuddin Ibrahim

Asal: Semenyih, Selangor

Adik-beradik: Lima beradik, anak bongsu

Pendidikan awal (sekolah rendah/menengah):

- Sekolah Kebangsaan Serdang (SKS): 2003-2008

- Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Serdang (SMKSS): 2009-2013

Pendidikan peringkat IPT:

- Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (2014-2015)

- Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (Kepujian)

Pencapaian:

- Johan Debat Siswa RTM-RTB 2018

- Pendebat Terbaik Diskusi Negaraku Demokrasi Berparlimen & Raja Berperlembagaan, Negeri Kedah 2017

- Perwakilan Parlimen Mahasiswa 2016

- Delegasi ke Intellectual Discourse: UUM-NUS Singapore 2016

- Anugerah Tokoh Pelajar Pusat Asasi Pengurusan 2015

- Pembahas Terbaik Kebangsaan Debat Piala Dato’ Abdul Shukor 2013

- Johan Kebangsaan Debat Piala Dato’ Abdul Shukor 2013

- Naib Johan Kebangsaan Debat Piala Dato’ Abdul Shukor 2012

- Johan Kebangsaan Debat Piala Dato’ Abdul Shukor 2011


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...