> > Siapa kata keputusan SPM teruk, cakap English pun 'grammar' ke laut tak boleh berjaya? Ini buktinya...
Siapa kata keputusan SPM teruk, cakap English pun 'grammar' ke laut tak boleh berjaya? Ini buktinya...
MUHAMMAD IQBAL RAMLAN 11 October 2018

Seringkali kita dengar orang berkata, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu pencapaian yang menentukan masa depan seseorang sama ada berjaya atau tidak. Ada benarnya kenyataan tersebut kerana kita dapat lihat ramai orang yang mendapat keputusan kurang bagus dalam SPM telah berjaya dalam bidang kerjaya yang diceburi.

Mohd Asri Jusoh, merupakan salah seorang daripada individu-individu yang telah berjaya dan cemerlang dalam bidang kerjaya walaupun mempunyai keputusan SPM yang agak kurang memuaskan.

“Keputusan SPM saya dulu teruk. Kalau nak cerita, UPSR saya 5A, PMR jatuh paling teruk 1A 6B 1C, SPM Alhamdulillah meningkat sikit, dapat 5A,” katanya memulakan bicara.

TEKAD KE LUAR NEGARA DEMI ELAK BERHUTANG

Selepas SPM, dia telah melanjutkan pelajarannya di Kolej Profesional MARA (KPM) di Indera Mahkota. KPM telah dipilihnya sebagai tempat menyambung pelajaran kerana yuran yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan di samping elaun yang diberikan.

“Saya telah memilih KPM kerana ada elaun. Kami orang susah, jadi bila dapat tawaran itu, sekali dengan elaun, saya tak pandang pun kursus apa yang ditawarkan padahal ketika itu saya ada dapat tawaran untuk belajar jurusan yang saya minat, iaitu Diploma Akaun di UiTM Dungun.

“Tapi disebabkan tawaran itu perlu mengambil pinjaman PTPTN, saya menolaknya kerana tidak mahu berhutang,” katanya lagi.

Walaupun tidak mahir dalam Bahasa Inggeris pada waktu itu, dia tekad untuk menyambung pelajarannya di KPM dalam jurusan Diploma in English Communication.

"Semasa di KPM, saya terpaksa bersaing dengan kawan-kawan yang cemerlang Bahasa Inggeris. Ada daripada mereka yang mendapat A+ bagi subjek Bahasa Inggeris semasa SPM, ada yang lahir di luar negara dan ada juga yang bercakap dalam bahasa Inggeris dengan ibu bapa dan adik-beradik.

“Oleh sebab itu saya berasa tidak yakin, tambah lagi apabila saya ditertawakan di dalam kelas kerana grammar saya,” adunya.

“Namun, saya ditemukan dengan seorang pensyarah, Puan Sharipah Munirah yang dapat lihat sesuatu dalam diri saya yang saya sendiri tidak tahu. Dia juga selalu beri semangat, beri panduan untuk assignment saya, dan selalu bagi kata perangsang.

“Dalam kelas, dia sangat bijak buat aktiviti yang buatkan kami tak mengantuk. Dia juga banyak galakkan kami untuk bincang isu-isu mengikut perspektif berbeza,” tambahnya lagi.

TERJEBAK DENGAN DUNIA DEBAT

Ketika di KPM, Asri juga, dengan kerjasama seorang pensyarah saya, iaitu Sir Bad telah mewujudkan Kelab Orator untuk public speaking dan debat.

“Sir Bad banyak tolong kami untuk adakan pertandingan debat dalam kolej dan kami pernah dibawa ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Johor untuk Pertandingan Debat Kepenggunaan IPTA/IPTS.

“Kami sangat kerdil ketika itu jika dibandingkan dengan universiti-universiti lain dengan pendebat yang sangat hebat seperti dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

“Kami terdengar suara-suara mentertawakan cara kami berdebat dalam dorm pada waktu malam, tapi itu tidak mematahkan semangat kami sehingga kami berjaya mendapat tempat 15 teratas daripada 43 IPTA/IPTS yang turut serta,” kata bekas Presiden Kelab Orator KPM itu.

Pencapaian Asri dalam debat turut melayakkannya memenangi pertandingan BERSATU Debat Ala Parlimen serta dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik BERSATU 2012. Suatu pencapaian yang begitu membanggakan buat dirinya.

ANUGERAH DEKAN DAN PELAJAR TERBAIK

Pencapaiannya bukan setakat itu sahaja, dia pernah mendapat anugerah dekan bagi semester 4, 5 dan 6, dengan Purata Nilai Gred (PNG) 4.00 bagi tiga semester berturut-turut dan telah berjaya menamatkan pengajiannya di KPM dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79.

Menerusi keputusan yang diperoleh, dia telah berjaya mendapatkan anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan untuk keenam-enam KPM seluruh Malaysia pada Majlis Konvokesyen tahun 2011 di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

“Ketika itu, saya merupakan penerima anugerah pertama yang mewakili KPM Indera Mahkota kerana sejak awal KPM itu dibuka pada tahun 2001, kolej kami tak pernah ada wakil yang dapat anugerah tersebut,” katanya.

Pencapaian tersebut telah berjaya membuatkan Asri menerima tawaran daripada dua buah universiti di luar negara dan satu universiti di Malaysia.

Universiti of Wellington di New Zealand telah menjadi pilihannya untuk melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda pada tahun 2012 hingga tahun 2015 sebelum mengajar di MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens di Sandakan pada Oktober 2016.

ARTIKEL BERKAITAN [Pernah tolak tawaran belajar ke London, kali ini Asri tekad... cuma Ma pesan jangan kahwin dengan orang putih]

“Semasa saya di sana, ‘Ma’ (gelaran bagi ibunya) hari-hari menangis sebab saya jauh dari Ma. Hari-hari Ma doa supaya saya dapat balik ke semenanjung.

“Alhamdulillah, berkat doa Ma, saya dapat tukar tempat kerja di Muadzam Shah,” tambahnya lagi.

Kini, Asri bergelar guru Bahasa Inggeris di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah. Dia telah menggunakan keseluruhan teknik pengajaran yang telah diperoleh sepanjang berada di KPM untuk mengajar anak-anak muridnya pula.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...