> CETUSAN > "Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang". Bakal MPP patut ambil perhatian nasihat mantan MPP ini!
"Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang". Bakal MPP patut ambil perhatian nasihat mantan MPP ini!
SHATESH KUMAR SANGAR 11 October 2018

PEMILIHAN Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) atau lebih dikenali sebagai Pilihan Raya Kampus (PRK) merupakan perkara yang dinantikan oleh semua warga kampus tidak kira mahasiswa mahupun staf pengurusan universiti.

Dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 juga telah digariskan bahawa MPP merupakan organisasi tertinggi bagi kepimpinan mahasiswa dan bertanggungjawab dalam menjaga hal ehwal kebajikan mahasiswa serta membantu universiti dalam memberi idea atau cadangan dalam menambah baik kemudahan infrastruktur mahupun sistem.

Seperti diketahui umum, baru-baru ini kesemua universiti awam telah mencapai status autonomi sepenuhnya serta Kementerian Pendidikan Malaysia juga menetapkan untuk menurunkan kuasa autonomi kepada mahasiswa untuk mengendalikan pilihan raya kampus secara sendiri. Perkara ini dilihat sebagai satu usaha yang amat bagus kerana memberi kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan bertindak di universiti dalam mengangkat suara-suara mahasiswa yang lain.

Saya berpandangan bahawa pemimpin mahasiswa di universiti awam sebelum ini tidak dapat bergerak sepenuhnya dengan bebas disebabkan kekangan dan halangan di universiti yang terikat dengan pelbagai peraturan, perlembagaan, kaedah serta AUKU.

Walaupun suara-suara mahasiswa dari pelbagai lapisan berkumandang sehingga didengari para pentadbir universiti tetapi ia tetap tidak dapat dilaksanakan kerana terikat tatacara universiti serta pemimpin mahasiswa tidak diberikan kuasa atau autonomi dalam bertindak untuk melakukan sesuatu perkara.

MPP atau pemimpin mahasiswa perlu diberikan kebebasan menentukan hala tuju persatuan serta diberi mandat dalam menguruskan pentadbiran, kewangan serta memiliki kuasa membuat bajet serta perbelanjaan tabung amanah aktiviti bagi pelaksanaan aktiviti secara sendiri tanpa adanya campur tangan pihak pentadbir. Fungsi pihak pentadbir sepatutnya lebih kepada 'mentoring' dan membantu dalam melicinkan urusan.

Selain itu, partisipasi mahasiswa perlu diangkat di setiap universiti. Pihak universiti perlu mengiktiraf mahasiswa atau organisasi mahasiswa sebahagian satu kumpulan yang sah dan memberi peluang bersama dalam melibatkan diri dalam soal membuat dasar, peraturan atau tatacara di universiti.

SHATESH KUMAR

Saya bersyukur kerana sewaktu memegang amanah sebagai NYDP MPP UPM ketika itu, diberi peluang untuk turut serta beberapa mesyuarat atau perbincangan bersama jabatan pengurusan universiti (JPU) dan saya lihat bahawa perkara seperti ini perlu diteruskan dan harus meningkatkan lagi partisipasi mahasiswa dalam membuat dasar universiti. Pengurusan di universiti saya juga lebih terbuka dalam menerima pandangan dan pendapat pemimpin mahasiswa serta ia sepatutnya menjadi perkara yang sama di semua universiti di Malaysia. Partisipasi mahasiswa dalam membuat dasar atau peraturan universiti akan memberi kesan positif dalam melahirkan suasana kampus yang aman dan harmoni.

Sememangnya, kebajikan mahasiswa adalah tunjang utama perjuangan semua kepimpinan MPP tetapi perkara ini tidak berjaya dilaksanakan sepenuhnya pemimpin pelajar atas faktor kurang pengalaman, masalah komunikasi serta terikat peraturan universiti dan kekangan kewangan seperti baharu dianjurkan, sudah tertarung. MPP sepatutnya lebih berani ke hadapan dalam memperjuangkan suara-suara mahasiswa dan tidak perlu menunggu arahan pihak pentadbir dalam melakukan sesuatu perkara.

Setiap batch MPP sepatutnya meninggalkan sumbangan kekal di universiti serta legasi kepimpinan yang matang dan sistematik. Tetapi sering kali dilihat mahupun di universiti sendiri, MPP sekadar melaksanakan permintaan/tuntutan universiti dan merancang sesuatu yang hanya memberi sumbangan sementara.

MPP perlu lebih mengutamakan sumbangan kekal berbanding sumbangan sementara. Ini bukan bermaksud MPP tidak boleh melakukan sesuatu yang akan memberi sumbangan sementara tetapi sumbangan kekal merupakan satu kesan positif yang akan ditinggalkan legasi tersebut. MPP perlu berani bertindak dalam mengangkat suara mahasiswa merangkumi isu kelewatan pembayaran biasiswa, kenaikan yuran pengajian, pengangkutan, kebersihan persekitaran tandas/kolej kediaman, isu penginapan pelajar, mewujudkan kemudahan student lounge, isu keselamatan dan lalu lintas. Tetapi sering kali barisan MPP hanya fokus kepada melakukan soal selidik dan kajian mengenai sesuatu perkara yang tidak berakhir sebagai suatu kejayaan serta hanya fokus kepada perkara seperti meningkatkan kualiti sesuatu, isu pintu pagar atau isu anjing liar di kampus.

Dalam era Malaysia baharu ini, MPP sepatutnya lebih proaktif serta vokal dalam menuntut hak dan suara mahasiswa tidak kira di peringkat universiti mahupun kementerian. Antara hasrat saya adalah, saya berharap MPP yang baharu akan memperjuang isu mengenai mybrain, terlibat dalam memberi cadangan calon VC/TNC jika mempunyai kekosongan jawatan, memastikan dalam mengurangkan jumlah subjek universiti serta menuntut agar pembelajaran di universiti tidak hanya berorientasikan peperiksaan dan memastikan baucar buku diteruskan dan ditambah baik penggunaannya.

Proses pengundian.

Sering kali ingin mendengar rintihan warga kampus yang mana MPP tidak membuat kerja atau MPP tak function. Bagi saya, ia bukan salah MPP tetapi ia merupakan salah warga kampus dalam memilih wakil mahasiswa dalam mengangkat suara mahasiswa. Warga kampus sering melakukan kesalahan sama iaitu mengundi hanya berdasarkan paras rupa tanpa menyelidik atau melihat kepada sumbangan atau track rekod seseorang calon tersebut. Sepatutnya warga kampus harus lebih peka terhadap track rekod seseorang calon itu tanpa melihat ideologi fahaman dalam kampus atau di luar kerana semua yang bertanding atas dasar ingin menjaga kebajikan mahasiswa.

Saya berharap agar warga kampus juga dapat mengelakkan dalam membuat tuduhan secara menyeluruh terhadap MPP kerana bukan semua ahli MPP tidak membuat kerja tetapi ramai juga yang tidak tidur siang malam dan sentiasa bersiap sedia dalam memastikan kebajikan dan keselamatan warga kampus berada dalam keadaan baik. Pilihan wakil mahasiswa atau pemimpin pelajar berada di tangan mahasiswa itu sendiri, biar berkelahi dulu, jangan berkelahi kemudian dan pastikan anda memilih seseorang seperti belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang.

*Penulis merupakan mantan Naib Yang Dipertua MPP Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga aktivis mahasiswa


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...