> ISU > Tak mahu susahkan ibu jual kuih, penerima 9 kali Anugerah Dekan ini sanggup jual makanan tampung belanja di Unisel
Tak mahu susahkan ibu jual kuih, penerima 9 kali Anugerah Dekan ini sanggup jual makanan tampung belanja di Unisel
MUHAMMAD IQBAL RAMLAN Selasa | 23 Oktober 2018

Baru-baru ini, kisah seorang graduan, Norazly Nordin atau mesra dikenali Adiey yang memperoleh 9 kali Anugerah Dekan mendapat perhatian ramai. Manakan tidaknya, pada hari konvokesyen 2017, semasa Istiadat Konvokesyen Unisel kali ke-12, dia dikejutkan dengan kedatangan ibunya yang telah dibawa oleh Unisel untuk menghadiri majlis tersebut.

“Mulanya saya nak bawa semua family datang, tapi disebabkan adik bongsu masa tu STPM, mak tak boleh datang. Difahamkan hanya abang dengan kakak ipar sahaja yang datang.

“Tapi saya terkejut bila tengok mak datang dan Unisel tanggung semuanya. Mula-mula rasa sedih juga sebab arwah bapa dengan mak tak dapat bersama datang, tapi saya terharu dan bangga bila Unisel terbangkan mak khas dari Tawau,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN Terima 9 Anugerah Dekan, Adiey tak sangka Unisel 'terbang'kan khas ibunya dan tanggung semua untuk hadiri konvokesyen]

Ini sebenarnya cabaran dan dugaan ditempuhi Adiey yang ramai tak tahu. Ucapan Adiey yang dirakam oleh pihak Unisel dalam bentuk video itu mendapat perhatian netizen yang mengundang sebak sehingga ada yang mengalirkan air mata! Ikuti kisah di sebalik kejayaannya.

Kehidupan sebagai pelajar yang merantau bukanlah senang kerana berjauhan dengan rumah dan keluarga yang tercinta. Namun begitu, cabaran tersebut pernah dihadapi oleh penerima 9 Anugerah Dekan secara berturut-turut, Norazly Nordin.

[TONTON VIDEO DI BAWAH]

PEMERGIAN AYAH PEMANGKIN SEMANGAT

Mesra dikenali dengan nama Adiey, dalam ucapannya semasa menerima Anugerah Canselor pada Istiadat Konvokesyen Unisel kali ke-12, 2017, berkata, dia masih tergambar dalam pemikiran, wajah arwah ayahnya yang ceria dan bersemangat, dan bercerita pada teman temannya tentang anaknya di Unisel yang akan bergraduat tidak lama lagi.

“Dia sudah berkira-kira untuk hadir meraikan hari yang bermakna buat keluarganya. Namun, takdir ALLAH jua yang menentukan segala-galanya. Dia dipanggil sebelum sempat saya bergraduat.

“Pada tahun tersebut, dia 'pulang' pada tanggal 16 Mei 2014. Tidak sempat saya kongsikan saat yang bermakna apabila saya dinobatkan sebagai penerima anugerah pelajar terbaik program sempena Istiadat Konvokesyen ke-9 tahun 2014,” ucap Adiey.

Namun, pemergian ayahanda yang tercinta bukanlah satu kehilangan baginya, sebaliknya pemergiannya telah menyalakan semangatnya dan keluarga untuk berazam, iaitu untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang dan mencipta sejarah.

Menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen ke-12 Unisel.
Menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen ke-12 Unisel.

IBU GIGIH CARI REZEKI

Ketabahan ibunya yang gigih mencari rezeki dengan hanya menjual kuih di Pasar Ikan Tawau telah membuatkan dirinya insaf dan kagum dengan kehebatan insan yang bergelar isteri kepada arwah ayahnya.

“Ibu cekal mengharungi hidup. Saya sedar saya tidak mahu susahkan ibu, saya mula menjual makanan bagi menampung perbelanjaan saya di Unisel.

“Saya bertuah kerana Unisel memberikan saya peluang untuk mengikut kursus keusahawanan yang dulunya dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Unisel.

“Saya berniaga saban waktu di Unisel, sebut sahaja di mana, kolej kediaman, masjid, pasar malam dan pasar siswa,” ceritanya mengenai pengalaman pahit getirnya mencari duit semasa di Unisel.

PUAS DAPAT HULUR BELANJA

Anak kelahiran Tawau itu puas apabila dia dapat menghulurkan sedikit wang untuk perbelanjaan Hari Raya keluarganya, membayar yuran pengajian adiknya dan dapat menampung sedikit sebanyak dalam perbelanjaan dapur. Adiey juga melahirkan rasa berterima kasih ke atas Unisel yang telah banyak berjasa terhadap keluarganya. Dan dia berasa yang sebenarnya dia menumpang tuah atas aspirasi rakyat.

“Unisel bukan sahaja pusat keilmuan, tetapi ia adalah institusi yang mengangkat martabat rakyat. Sidang dewan yang mulia, saya merasakan anugerah ini terlampau tinggi buat saya.

“Saya rasa kerdil untuk menerima anugerah besar ini. Saya merasakan, tanpa didikan dan sokongan serta tunjuk ajar daripada barisan pensyarah-pensyarah saya, dari fakulti pendidikan dan Unisel, saya tidak mampu untuk sampai ke tahap ini,” tambahnya lagi.

TERIMA KASIH SEMUA

Ucapan terima kasih telah diucapkan olehnya buat pensyarah-pensyarah dari Fakulti Pendidikan Unisel dan Unisel kerana tanpa didikan dan sokongan serta tunjuk ajar daripada mereka, dia tidak mampu untuk sampai ke tahap ini.

“Buat pensyarah-pensyarahku, anugerah ini untuk kalian. Tiada lain yang saya boleh berikan kecuali saya hanya boleh berdoa agar kalian semua diberikan kesihatan serta diberikan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat, insya-ALLAH,” ucapnya lagi.

Adiey juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pengurusan universiti, di bawah pimpinan, Yang Berbahagia Dato Naib Canselor. Terima kasih saya ucapkan kerana memberikan peluang dan ruang untuk saya memperbaiki diri dan mengasah bakat serta kemahiran saya.

“Pada kesempatan ini, sekalung penghargaan saya ucapkan kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Pusat Islam, dan semua jabatan yang banyak membantu saya secara langsung atau tidak langsung," tambah Adiey lagi.

Akhir sekali, Penerima Anugerah Canselor tersebut berpesan, “Tidak bererti kita sudah bergelar graduan dan kita bergelar Alumni Unisel, hubungan dan tugas kita sudah terhenti. Sebenarnya kita harus sedari bahawa kita menggalas tugas dan peranan yang lebih berat dalam membangun bangsa ke arah perubahan yang lebih sejahtera.

“Ayuh rakan-rakan sekalian, kita bangkit, kita gunakan ilmu dan pengalaman yang kita peroleh di unisel ini untuk mensejahterakan umat dan meningkatkan martabat insan. Ingatlah wahai semua sahabatku, kita semua adalah peneraju transformasi. Tahniah dan syabas buat kita semua,” serunya kepada rakan-rakan, mengakhiri ucapannya.

[KLIK UNTUK TONTON VIDEO DI BAWAH]


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...