> IKON > Tiga kali Anugerah Dekan, Amir Firdaus masih belum mahu 'menyerah kalah'...
Tiga kali Anugerah Dekan, Amir Firdaus masih belum mahu 'menyerah kalah'...

Orang selalu berputus asa kerana tidak faham, sedangkan kerana tidak fahamlah mereka perlu duduk belajar.’ - Amirrosyadie.

Meminjam kata-kata daripada status Instagram pemilik nama lengkap Amir Firdaus Eddy Rosyadie, 21, penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaya (UM) ini, ternyata bukan sekadar status 'biasa' sebaliknya itulah gambaran diri Amir Firdaus yang tidak pernah menyerah kalah dalam mengejar impian sama ada dalam akademik mahupun kurikulum sehingga melayakkannya menerima dua anugerah berprestij; Anugerah Ikon Akademik Universiti Malaya 2018 (Anugerah Khas) dan Anugerah Perdana Siswa Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya 2018 (Anugerah Perdana) baru-baru ini.

Memenangi Anugerah Ikon Akademik dan Anugerah Perdana Siswa 2018.

Kesungguhannya baik dalam akademik, kesukarelawan mahupun kepimpinan tidak perlu dipertikaikan, lantaran anak kedua daripada tiga beradik ini sejak dari awal pengajian di universiti terunggul ini sudah menunjukkan kecenderungan dan kecemerlangan dalam bidang-bidang berkaitan.

Dalam akademik, Amir Firdaus memilih jurusan kejuruteraan kerana percaya, Malaysia dan seluruh dunia juga sekarang ini berkembang dengan pesat dari segi teknologi dan kejuruteraannya.

Bersama Naib Canselor Universiti Malaya.

“Misalnya, peralihan kepada Industri Revolusi 4.0, maka tenaga pakar dan kebolehan jurutera ini sangat diperlukan pada masa kini dan akan datang,” tegasnya.

Tiga kali mendapat Anugerah Dekan, bukanlah sesuatu yang mudah bagi penuntut jurusan kejuruteraan, sementelahan lagi pada masa sama turut aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum lain.

Mewakili Malaysia ke International Chemistry Olympiad 2016 di Georgia.

MENGASAH SKIL KEPIMPINAN

Sebagaimana fokusnya dalam akademik, komitmennya dalam kurikulum khususnya kesukarelawanan juga tinggi.

“Bagi saya, aktiviti sukarelawan banyak mengajar kita perkara baharu dan memberi pengalaman yang kita tidak pernah alami di kelas mahupun kehidupan seharian. Lagipun, melalui aktiviti ini, saya juga dapat mengasah skil kepimpinan saya dalam cara berkomunikasi, mengurus ahli jawatankuasa dan sebagainya. Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) sudah menjadi seolah-olah sebahagian daripada keluarga saya di sini,” terangnya yang mula terlibat dengan aktiviti sukarelawan sejak dari sekolah menengah melalui Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

Misi Sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa ke Vietnam 2018.

“Apabila di universiti, saya lihat aktiviti sukarelawan ini sebenarnya lebih luas lagi. Ini yang membuatkan saya ingin mendalami makna menjadi seorang sukarelawan yang membantu diri sendiri dan juga orang lain yang memerlukan. SEKRUM menjadi platform saya sejak tahun pertama dan alhamdulillah saya berjaya menempa nama ke peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Bagi Amir Firdaus, kelebihan menyertai kesukarelawanan bukan sahaja akan kenal ramai orang dan pelbagai ragam manusia tetapi pada masa sama juga melatih diri berfikiran terbuka, ikhlas dan bertanggungjawab untuk membantu komuniti setempat.

“Bukan ganjaran yang kita kejar, sebaliknya kebahagiaan kita sendiri dan orang lain,” katanya.

Memberikan barangan sumbangan kepada penduduk kampung di Kemboja 2017.

Pun begitu, akui Amir Firdaus lagi, tidak dinafikan, dalam setiap yang dilalui ada pelbagai pengalaman harus didepani apatah lagi sebagai pemimpin.

Ujarnya, percanggahan pendapat, arahan saat-saat akhir dan terpaksa melaksanakan bukan tugasan diri sudah menjadi kebiasaan.

“Maklumlah, sebagai pelajar masing-masing ada komitmennya. Saya perlu bertolak ansur apabila berada dalam organisasi. Yang penting, apabila buat tugasan bersama-sama, yang berat akan menjadi ringan. Kadangkala ada yang menangis kerana bebanan kerja dilakukan, jadi kita saling memberi sokongan moral. Kebiasaannya selepas habis program, saya dan rakan-rakan beramai-ramai ke restoran untuk menyambut kejayaan program tersebut. Memang seronok!,” katanya lagi.

Kelas Iqra' bersama kanak-kanak Satun, Thailand.

MANFAAT MASA SEBAIK MUNGKIN

Berkongsi pembahagian masa antara akademik dan aktiviti kurikulum, bagi Amir Firdaus, masa itu emas. Justeru, dia akan memastikan dirinya memanfaatkan masa sebaik mungkin.

“Ketika kelas, fokus dan belajar bersungguh-sungguh. Sekiranya tidak faham, terus bertanya pensyarah semasa atau selepas kelas. Apabila ada masa lapang, saya gunakannya untuk menyiapkan tugasan, tutorial atau assignment mengikut To-Do List saya. Saya lebih mementingkan kelajuan menyiapkan tugasan berbanding berlengah-lengah hanya sebab perkara-perkara yang remeh.

“Teruskan belajar, jangan pernah menyerah kalah. Tidak perlu membuktikan sesuatu kejayaan terlalu awal, kerana setiap daripada kita ada naik dan turunnya sendiri. Bersabar dan teruskan usaha, kejayaan pasti akan jadi milik kita suatu hari nanti,” tegasnya berkongsi motivasi kehidupan.

Bergiat aktif dalam memberi ceramah motivasi kepada pelajar sekolah menengah dan asasi.

PROFIL:

Nama penuh: Amir Firdaus Eddy Rosyadie

Pencapaian:

- Anugerah Utama – Anugerah Perdana Siswa Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya 2018

- Anugerah Khas – Anugerah Ikon Akademik Universiti Malaya 2018

- Mewakili Malaysia ke International Chemistry Olympiad 2016 di Georgia

- Asia Science Camp 2016 di India – penerima anugerah Nobel membentangkan kajian mereka tentang Sains

- International Grand Challenges Scholar Program, Hong Kong

- Operasi Belia Prihatin (Orbit), Thailand

- Misi Sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa - Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) Vietnam 2018


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...