> PERAK > Sultan Nazrin pentingkan pendidikan, peroleh Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Harvard
Sultan Nazrin pentingkan pendidikan, peroleh Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Harvard
SAIFULLAH AHMAD Jumaat | 2 November 2018

IPOH - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah diputerakan pada 27 November 1956.

Dalam hierarki Kesultanan Negeri Perak, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Februari 1984 dan sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1987.

Setelah kemangkatan ayahanda Baginda, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak telah mencapai kata sepakat memilih Baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan pada 29 Mei 2014.

Baginda memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah 5, dan menyambung pendidikan rendah dan menengah rendah dari darjah 6 hingga tingkatan 2 di Sekolah St. John, Kuala Lumpur.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara melihat melihat replika gua ketika Majlis Pemasyhuran Geopark Lembah Kinta di Taman Rekreasi Gunung Lang.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara melihat melihat replika gua ketika Majlis Pemasyhuran Geopark Lembah Kinta di Taman Rekreasi Gunung Lang.

Setelah berusia 13 tahun, Baginda berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge. Baginda kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.

Baginda adalah Fellow Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan juga Magdalene College, Universiti Cambridge; Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Fellow Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Malaysia Institute of Defense and Security); Fellow Diraja Institut Kajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia (Institute of Strategic and International Studies); Fellow Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia; dan Penaung Diraja kepada Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.

Duli Yang Maha Mulia telah berkenan menerima jemputan Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon untuk mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Baginda diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai Canselor keempat Universiti Malaya berkuat kuasa 16 Julai 2014.

Pada 14 Ogos 2014, Baginda telah berkenan menjadi Kolonel Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda telah diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan telah dikurniakan dengan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah pada 14 Mac 2008 dan seorang puteri Raja Nazira Safya pada 2 Ogos 2011.

Sultan Nazrin diijabkabulkan dengan Tuanku Zara pada 17 Mei 2007.
Sultan Nazrin diijabkabulkan dengan Tuanku Zara pada 17 Mei 2007.

Tuanku Zara serba boleh

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim telah diputerakan pada 22 Mac 1973 di Ipoh, Perak. Baginda adalah anak bongsu daripada empat beradik kepada Datuk Salim Davidson dan Datin Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabudin.

Duli Yang Maha Mulia telah melalui persekolahan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Ipoh dan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Ipoh, seterusnya mengikuti pengajian peringkat A-Level di Prime College, Kuala Lumpur.

Baginda kemudiannya melanjutkan pengajian di University of Nottingham, United Kingdom dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) Kejuruteraan Kimia.

Sekembalinya dari United Kingdom pada tahun 1995, Baginda bertugas di Petronas, syarikat petroleum negara, selama enam tahun sebelum memegang jawatan di Formis Malaysia Berhad, sebuah syarikat teknologi maklumat.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara bersama putera dan puteri baginda.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara bersama putera dan puteri Baginda.

Pada tahun 2005, baginda menjawat jawatan Pengarah Urusan di Forthwave Consulting Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding hidrokarbon.

Baginda juga seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan dan sewaktu di bangku sekolah pernah mewakili Negeri Perak dalam sukan renang.

Pada 18 Mei 2007 baginda dimasyhurkan dengan gelaran Raja Puan Besar Perak dan pada 20 Jun 2014 dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak.

Sejenis bunga orkid hibrid berwarna ungu dinamakan Dendrobium Tuanku Zara Salim sempena keberangkatan lawatan baginda ke Festival Orkid Antarabangsa ketujuh pada 9 Julai 2007.

Pada 1 Januari 2012, Tuanku Zara Salim dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi). Baginda juga adalah Penaung Persatuan Kesihatan Keluarga Perak, Convent Girls Alumni (COGA) dan Pandu Puteri Negeri Perak.

*Artikel dipetik daripada Sinar Harian Edisi Utara (Perak) Jumaat 2 November 2018 bersempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...