> CETUSAN > Alumni disaran beri sumbangan sukarela kepada 22 ILKBS
Alumni disaran beri sumbangan sukarela kepada 22 ILKBS
SAMSUDIN OLI Jumaat | 2 November 2018

Alumni Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Malaysia disaran terlibat dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada 22 ILKBS terdiri dari Institut kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Institut kemahiran Belia Negara (IKBN) ataupun Akademi Kemahiran Belia dan Golf (AKBG).

Presiden Alumninya Samsudin Oli Mohamed berkata, penyertaan mereka adalah penting bagi mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan alumni di institut yang mereka belajar.

Katanya, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali memberi sokongan dan penekanan utama dalam konteks pembangunan alumni seperti yang disarankan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saluran ini dilihat dapat permudahkan hubungan yang erat di antara alumni dengan pelajar dan ILKBS termasuk memperkayakan pengalaman pelajar melalui perbincangan, mesyuarat, forum dan juga penganjuran dalam aktiviti secara bersama,” ujarnya lagi ketika ditemui.

Setiap alumni melalui pengalaman daripada pelajar kepada graduan yang unik dan berbeza, justeru itu terdapat potensi untuk setiap alumni menyumbang kepada ILKBS dalam cara dan skala yang pelbagai.

Alumni adalah contoh teladan yang berkesan dan mudah diterima oleh pelajar. Dengan kembalinya alumni semula ke tempat pengajian mereka dan berkongsi pengalaman serta memberi nafas baru terutama kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) agar menggunakan peluang yang diberikan sebagai pemimpin digunakan sepenuhnya terutama dalam konteks kepimpinan dan hubungan luar.

Kredibiliti dan justifikasi sebagai sebahagian daripada tempat pengajian mereka dahulu harus diberi nafas baru dalam udara dan cabaran yang serupa tetapi perlu ditambah dengan faktor tambahan mengikut peredaran masa.

Pengalaman yang dikongsi oleh alumni dengan pelajar sama ada dalam soal pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya dapat diterima dengan lebih baik sebagai panduan dan dijadikan inspirasi oleh pelajar. Dengan cara tersebut juga alumni dapat membantu memperkukuhkan lagi keyakinan, menyalurkan semangat dan menyemai budaya seperti mana hasrat yang KBS ingin sampaikan kepada generasi pelajarnya.

Memandangkan persaingan untuk memasuki bidang kerjaya semakin mencabar berikutan dengan pengeluaran graduan dalam jumlah yang banyak berbanding penawaran pekerjaan maka mereka harus disedarkan dengan peluang pekerjaan kini lebih kritikal.

Oleh itu inilah waktu yang sesuai untuk alumni berperanan dengan memberi khidmat mentoring tentang peluang-peluang pekerjaan yang ada di dalam industri dan membuka ‘laluan’ bagi pelajar diterima masuk sama ada untuk menjalani latihan praktikal atau menimba pengalaman bekerja di institusi di mana alumni berada.

3

Alumni boleh menjadi panel rujukan kepada kelas berkenaan bagi menyediakan keperluan pelajar dan graduan untuk menempatkan diri di bidang kerjaya tertentu. Kurikulum pengajian di ILKBS juga boleh ditambahbaik supaya lebih mantap agar dapat memenuhi aspirasi kerjaya yang berkaitan termasuk menimbang tempoh praktikal dari tiga bulan ke enam bulan contohnya.

Selain itu alumni juga boleh menyumbang kepakaran mereka dalam bidang yang berkaitan dengan profesion mereka bagi membangunkan program-program pengajian baru di ILKBS.

Kehadiran alumni sebagai pensyarah jemputan, ahli jawatankuasa penasihat, pakar-pakar industri dan rakan kongsi projek usahasama dengan ILKBS menyambung ‘perjuangan’ mereka untuk menjayakan pembangunan alma mater.

Dalam bidang penyelidikan industri, alumni boleh membuka pintu bagi ILKBS untuk masuk kepada rangkaian industri mereka sama ada di dalam negara mahupun di luar negara dalam aspek jalinan kerjasama dan perkongsian pintar. Ini memberi peluang kepada IKTBN, IKBN, AKBG untuk memakmurkan bidang industri tertentu melalui aplikasi teori yang telah dianalisa dan diuji bersama-sama dengan pakar-pakar industri yang lain.

Kejayaan pemindahan pengetahuan akan meningkatkan lagi kapasiti dan reputasi ILKBS tersebut dengan signifikan di persada nasional dan antara bangsa.

Komuniti alumni senior yang berjaya boleh menjadi medium yang berkesan untuk menyambungkan secara berterusan bukan sahaja ILKBS dengan graduan malahan dengan alumni yang lebih muda juga.

Apabila komuniti alumni berjaya dan mendapat pengiktirafan di kalangan korporat, industri dan masyarakat, ia berupaya mewujudkan jaringan yang lebih kukuh serta kepercayaan terhadap ILKBS dan seterusnya turut membantu alumni yang lebih muda daripada institut tersebut mengakses peluang untuk membangunkan kerjaya dan profesionalisme mereka.

Kini banyak universiti yang komited dalam menyediakan pendidikan berterusan yang dapat membantu mempertingkatkan kerjaya kepada graduan yang bekerja iaitu dengan menawarkan kursus-kursus pengajian pasca siswazah yang sesuai kepada alumni yang tamat pengajian di ILKBS.

Dalam komteks lain alumni juga boleh menggalakkan pelajar terutama daripada kalangan keluarga dan rakan-rakan untuk mempertimbangkan sesebuah ILKBS sebagai pembekal pendidikan mereka.

Alumni boleh menunjukkan kepada pelajar bagaimana seterusnya untuk menceburi bidang kerjaya apabila tamat pengajian nanti. Pengalaman di institusi tersebut dan kejayaan alumni dalam pekerjaan adalah hasil yang nyata yang boleh menjadi faktor penentu bagi pelajar dalam membuat keputusan tersebut.

1

Selain itu sukarelawan alumni boleh menjadi duta yang terlibat secara aktif untuk membantu dalam mengukuhkan usaha pengambilan pelajar yang dilaksanakan oleh jabatan yang terlibat dengan kemasukan pelajar. Usaha tersebut boleh digerakkan sama ada di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa bergantung kepada potensi dan kedudukan alumni.

Alumni terutamanya daripada golongan yang lebih senior yang merupakan generasi yang lebih stabil daripada sudut ekonomi berupaya untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar-pelajar yang miskin dan kurang cemerlang dalam bidang akademik. Ianya seumpama menyalakan lilin kehidupan yang memberi kesan yang bermakna kepada kelangsungan perjuangan hidup yang lebih baik bagi pelajar-pelajar tersebut.

Persatuan alumni yang aktif dan berdaftar boleh merangsang pengumpulan dana amanah yang bertujuan untuk menubuhkan biasiswa, menyokong aktiviti pelajar, program kebudayaan dan ekspedisi persatuan dan kelab ILKBS, membantu penyediaan prasarana untuk pelajar daripada golongan kurang upaya (OKU) dan menyokong penambahbaikan yang inovatif.

Universiti Harvard dan Universiti Al Azhar merupakan antara contoh universiti yang mempunyai jumlah dana amanah di antara yang terbesar di dunia yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh alumni. Dana wakaf ini telah mengupayakan penganjuran program-program terkemuka, penemuan penyelidikan saintifik dan melahirkan beratus-ratus profesor dalam pelbagai kepakaran akademik.

Pandangan dan kenyataan positif yang alumni berikan berkaitan dengan ILKBS yang disalurkan sama ada melalui media atau forum tertentu adalah merupakan sokongan kepada reputasi tersebut. Ianya berupaya mempengaruhi masyarakat kerana persepsi umum bahawa alumni lebih memahami cabaran institusi tersebut melalui beberapa tahun tempoh kehidupan yang telah dijalani di sana.

Alumni yang berkhidmat dengan jayanya dalam pelbagai sektor sama ada di dalam negara mahupun di luar negara telah mengesahkan kualiti dan keberkesanan program pengajian, penyelidikan dan komuniti tersebut. Semakin berpengaruh kedudukan alumni tersebut dalam kerjaya dan kehidupannya semakin tinggi pengiktirafan masyarakat terhadap ILKBS yang dikaitkan dengan mereka.

Sekaligus peranan alumni dilihat penting dalam pembangunan sesebuah ILKBS. Setiap alumni boleh memberikan pelbagai sumbangan berbilang perspektif yang bermanfaat kepada pelajar, graduan, alumni, ILKBS dan masyarakat.

Pandangan alumni untuk memajukan institusi dan cadangan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapinya adalah amat berharga bagi ILKBS mencapai visi dan matlamat masa depannya.

Alumni merupakan aset kepada ILKBS dan sumbangan serta penglibatan mereka berupaya menaikkan reputasi sesebuah ILKBS di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Di samping itu, dalam rangka memperkasakan pembangunan sesebuah negeri khususnya dan negara amnya, alumni yang berjaya merupakan modal sosial bagi perpaduan masyarakat dan penentu utama bagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...