> > Miliki 3 Master, 1 PhD walau setiap hari terpaksa menahan sakit dan belakang kepalanya dibedah...
Miliki 3 Master, 1 PhD walau setiap hari terpaksa menahan sakit dan belakang kepalanya dibedah...
WARTAWAN KAMPUS UOLS 5 November 2018

KISAH Mohd Alif Jasni, 30, ini boleh dikatakan satu di antara ribuan yang jarang-jarang ditemui. Menghidap penyakit Arnold Chiari Malformation iaitu kecacatan struktur di pangkal tengkorak dan serebelum, bahagian otak yang mengendalikan keseimbangan.

Namun, apa yang mengagumkan tentang pemuda ini, meski penyakitnya yang dikesan sejak 2011 masih 'tidak pasti' bila akan sembuh walaupun telah menjalani beberapa rawatan, bahkan turut melalui pembedahan di bahagian belakang kepalanya, namun ia tidak menghalangnya memiliki tiga ijazah Sarjana (Master) dan pada 20 Oktober lalu memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Keadilan Jenayah dari Universiti Malaya (UM).

Berikut adalah kisah perjalanan Mohd Alif sepanjang berhadapan dugaan penyakit ini dan pada masa sama tetap tidak mengabaikan pengajiannya sebagaimana dikongsi kepada kampusuols.com yang diharapkannya dapat jadi iktibar, motivasi selain pengetahuan tentang penyakit ini.

Keadaan penyakit dihidapi Alif yang jarang-jarang ada di Malaysia.

Tahun 2011, merupakan tahun paling menyedihkan dalam hidup aku. Aku mula mengetahui yang aku memiliki penyakit Arnold Chiari Malformation (Chiari malformation) selepas melakukan pemeriksaan MRI pada awal tahun. Ia bermula dengan kesakitan yang biasanya apabila setiap kali aku bersin, batuk dan sebagainya. Setiap kali bersin, terasa kesakitan seperti kejutan elektrik di tangan kiri ku. Namun akhirnya, sakit itu terus menjadi kekal pada setiap masa. Ia membuatkan aku rasa tidak selesa dengan badan aku sendiri. Aku merasa sakit setiap masa. Kesakitan menyebabkan aku sukar tidur, melakukan kerja berat, dan untuk menaiki kereta bagi suatu tempoh yang lama.

Pada Februari 2011, doktor neurosurgeri PPUM (Pusat Perubatan UM) memaklumkan aku bahawa terdapat syrinx di dalam tulang belakang dari C2 hingga T9. Air yang tersekat ini memberi wrong signal ke seluruh badan. Doktor menyarankan aku membuat pembedahan untuk membuang sedikit tulang di belakang kepala agar air yang tersekat itu dapat bergerak dengan baik. Berasa terlalu bimbang, aku telah menolak untuk melakukan pembedahan.

Gambar rajah menunjukkan sebagaimana keadaan bahagian belakang kepala Alif yang menjalani pembedahan.

Dari tempoh itu, hidup aku bertahan dengan sakit. Seluruh badan ku jadi terlalu lemah. Aku berasa cemburu melihat orang yang normal, dapat melakukan banyak perkara yang aku sendiri tidak dapat lakukan.

Namun kesakitan ini tidak membuatkan aku berhenti dari tidak melakukan apa-apa. Aku terus memilih untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana (Master) dalam bidang Pengajian Asean di Asia Europe Institute, Universiti Malaya. Aku juga dikurniakan biasiswa dari UM sebanyak RM1,300 setiap bulan. Keadaan ini membolehkan aku survive. Aku melihat waktu belajar yang lebih fleksibel memberi ku banyak masa untuk berehat lantaran kebanyakan masa terluang aku habiskan dengan berehat. Katil dan aku tidak dapat dipisahkan. Hampir keseluruhan masa, aku habiskan di atas tilam sambil membuka laptop untuk menyiapkan assignment. Dalam mengalami kesakitan itu, pernah juga aku terfikir untuk mengambil cuti semester, tetapi disebabkan aku mendapat biasiswa, ia tidak disarankan kerana akan mengganggu pembayaran untuk semester tersebut.

Memilih melakukan internship bagi program Master pertama di University of Auckland.

Program Master aku ini sangat menarik. Aku dihantar ke luar negara untuk melakukan internship. Aku memilih untuk melakukan di University of Auckland selama 2 bulan di bawah bimbingan Prof Emeritus Nicholas Tarling. Sebab terlalu gembira dengan hidup, aku terlupa sekejap dengan sakit yang ada. Terlalu seronok merasa keadaan negara orang membuatkan rasa sakit yang ada hilang. Pernah juga orang mengatakan, lagi kita melayan perasaan dengan sakit tu, makin sakit jadinya.

Berjaya mendapat PGNK kelas pertama untuk Master pertama di UM.

Waktu belajar yang hanya pada setiap malam, membuatkan aku rasa terlalu banyak masa terluang. Aku mengambil keputusan untuk menyambung Master ketiga dalam bidang komunikasi di UiTM (Universiti Teknologi Mara) kerana masa tu, aku berangan untuk jadi wartawan. Kiranya dengan ada Master dalam bidang komunikasi boleh menjadi tiket untuk aku menjadi seorang wartawan, tetapi masih banyak dugaan juga dihadapi. Beberapa temu duga yang aku pergi untuk bidang kewartawanan, semua keputusannya agak menyedihkan.

Berjaya memperoleh Master ketiga iaitu dalam Komunikasi Massa di UiTM.

Pada Mei 2013, aku telah terpilih menjadi seorang felo perdana di bawah Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Kehidupan yang penuh dengan flashlight dan perhatian membuatkan aku terlupa penyakit yang dihidapi. Seronok sungguh bekerja dengan seorang menteri. Aku dapat pergi ke pelbagai tempat, bertemu dengan pelbagai orang setiap hari. Aku tidak memberitahu pada sesiapa tentang penyakit aku. Aku ingin orang melihat aku sebagai kuat.

Sebagai felo perdana di bawah Datuk Seri Rohani Karim di KPWKM.

Habis sahaja menjalani program felo perdana, aku telah mengambil keputusan untuk membuat PhD dalam bidang Keadilan Jenayah di UM pada 2014. Bekerja di bawah KPWKM, membuatkan aku sedar tentang minat aku ke arah bidang kebajikan sosial. Aku membuat kajian mengenai keperluan program pasca pembebasan dan jagaan lanjutan buat bekas banduan di Malaysia. Kajian aku menggunakan bekas banduan sebagai responden.

Bermula penghujung 2014, aku mula merasa begitu sakit sekali. Aku berasa tidak selesa dengan badan aku sendiri. Saraf yang menekan seluruh badan ku membuatkan rasa sungguh terseksa. Aku banyak berehat di siang hari dan melakukan kerja penyelidikan pada waktu malam. Aku tidak beritahu langsung tentang penyakit aku kepada sesiapapun. Malahan supervisor PhD aku langsung tidak mengetahui. Aku hantar setiap kerja pada masanya.

Setiap hari menanggung kesakitan

Pada penghujung 2016, aku sudah tidak tahan lagi. Aku mengambil keputusan untuk membuat rawatan semula di neurosurgeri di Hospital Kuala Lumpur. Selepas melakukan MRI buat kali kedua, mereka telah bersetuju untuk menjalankan pembedahan pada Ogos 2017. Sepanjang tempoh menunggu hari pembedahan, aku telah berhenti dari menulis. Aku tidak melakukan apa-apa dekat enam bulan. Setiap hari, hidup ku hanya menanggung kesakitan.

Pada masa sama, aku diselubungi perasaan takut. Pelbagai perkara negatif melayang di otak. Sehinggalah tarikh pembedahan itu. Aku telah masuk sebagai pesakit di wad neuro. Sepanjang malam menunggu hari pembedahan pada esok hari, aku tidak boleh tidur. Aku berasa sungguh takut. Aku cuba kuatkan semangat yang pembedahan merupakan jalan yang betul.

Pada hari pembedahan, jantung ku begitu laju sebaik menyarungkan baju berwarna putih. Sebaik berada di dalam dewan bedah, doktor meletakkan alat pada mulut ku dan aku tidak sedar (selepas dibius). Hampir 8 jam juga pembedahan, Alhamdulillah berjalan lancar. Aku bangun dengan sendiri pada pukul 5 petang dan dimasukkan ke ICU untuk pemantauan.

Menjalani pembedahan di bahagian belakang kepalanya.

Hampir dua minggu juga aku di hospital kerana jahitan bocor. Rasa pening yang begitu teruk sekali akibat daripada cecair yang keluar dari kepala. Selepas dua minggu, barulah aku discharged. Aku mengambil masa dekat berbulan untuk kembali pulih. Sepanjang tempoh itu, aku sering berasa sungguh mengantuk. Doktor mengatakan mungkin akibat kesan ubat atau pembedahan yang dilakukan.

Dalam proses kembali sembuh itu, aku terpaksa menyiapkan tesis untuk proses penghantaran pada September 2017. Sememangnya rasa lemah tetapi aku perlu buat benda yang telah lama tertangguh. Hampir lima bulan juga aku menunggu respons dari pihak fakulti. Akhirnya pada hujung Januari 2018, pihak fakulti menghubungi bahawa aku akan menjalani viva. Aku yang telah meninggalkan tesis begitu lama jadi begitu bimbang. Perkara yang sering terfikir ialah sama ada aku akan gagal atau lulus.

Berjaya menyiapkan tesis PhDnya.

Bila tiba hari viva, aku hanya berserah kepada Tuhan dengan keputusan yang akan aku dapat. Hampir 2 jam setengah juga sesi viva dijalankan. Pelbagai soalan yang diajukan. Akhirnya panel telah berpakat untuk memberikan aku lulus dengan pembetulan kecil. Pada masa sama juga, yakni awal 2018, aku mula menyedari yang tiada perubahan pun sakit ku. Masih berasa sakit yang sama seperti sebelum pembedahan. Aku pula perlu memperbaiki tesis ku. Aku buat secara perlahan-lahan dan berjaya menyiapkan walaupun penuh dugaan ketika itu.

Pada 20 Oktober 2018, akhirnya aku telah berjaya bergraduasi. Alhamdulillah, rasa bersyukur sangat apabila aku berjaya menggenggam Ijazah Kedoktoran dalam bidang Keadilan Jenayah. Aku menjadi lebih bersemangat untuk melakukan lebih banyak perkara lagi pada masa hadapan.

Menerima PhD sulungnya daripada Canselor UM, Sultan Nazrin Shah pada Istiadat Konvokesyen UM baru-baru ini.

Meskipun rasa sakit itu tidak pernah hilang, tapi aku cuba berfikiran positif. Mungkin aku diberi dugaan dengan penyakit ini, tetapi aku diberi kelebihan lain pula. Aku tidak mahu sakit ku menjadi penghalang. Aku ingin berusaha dan membuktikan penyakit tidak menghalang seseorang itu untuk berjaya. Aku bercita-cita suatu hari, aku dapat membuka kumpulan sokongan untuk orang yang mempunyai penyakit seperti ini. Orang-orang seperti ini memerlukan sokongan dan bantuan. Aku berharap dengan adanya PhD ini, aku dapat berbakti kepada masyarakat dan memberi sesuatu kepada mereka kembali.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...