> > Orang kata balai cerap tu berhantu... aku salah seorang mangsa kena 'kacau'!
Orang kata balai cerap tu berhantu... aku salah seorang mangsa kena 'kacau'!
WARTAWAN KAMPUS UOLS 8 November 2018

Pastinya bagi penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) pernah mendengar cerita seram yang akan meremangkan bulu roma masing-masing. Selain mendengar kisah yang diceritakan orang, ada penuntut di IPT sendiri yang pernah dikacau mahupun ditindih oleh mahluk halus ini.

Bagi seorang penuntut IPT di salah sebuah universiti selatan tanah air, dia berkongsi kisahnya di Twitter tentang dirinya yang pernah ‘diusik’ ketika berada di sebuah balai cerap. Pemilik Twitter yang dikenali sebagai Johan M. menceritakan, kejadian itu berlaku di balai cerap IPT di selatan tanah air pada awal tahun ini apabila menjadi mangsa kacau di premis itu.

Katanya, dia bersama-sama tiga lagi rakan lain naik ke balai cerap kira-kira jam 1.30 pagi. Dia ada mendengar desas-desus tentang penuntut yang pernah diganggu sebelum ini. Katanya, salah seorang rakannya agak penakut namun disebabkan bilangan kawan yang ramai membuatkan dia ikut serta.

Johan M. mengakui, dirinya bermulut celupar termasuk dua lagi rakannya, Diya dan Wan.

"Secara kebetulan, kami berempat baru pulang dari bandar dan perjalanan pulang ke universiti kami kira-kira jam 1 pagi. Saya mencadangkan untuk ke balai cerap selain boleh makan di situ," katanya.

Johan berkata, salah seorang rakannya, Anim, membantah dengan cadangannya itu kerana pernah mendengar kisah penuntut IPT diganggu sebelum ini. Namun begitu, dia cuba menenangkan keadaan dan menyatakan tiada apa yang akan berlaku selain cuma hanya ada hantu sahaja secara berseloroh.

"Jadi kami mengambil keputusan untuk pergi ke balai cerap dan bernasib baik apabila pagar premis itu masih terbuka.

"Setiba di lokasi, tiada lampu di kawasan itu menyebabkan tiga rakan saya tidak mahu turun kerana takut," katanya.

Tambahnya, walaupun dia juga berasa kurang senang dengan keadaan gelap itu tetapi Johan memberi cadangan untuk menggunakan lampu kereta bagi menyuluh jalan ke pusat cerap.

Katanya lagi menerusi bebenang Twitter itu, dia mengakui kawasan balai cerap itu sunyi dan bagi mengelakkan rasa takut, dia dan rakannya membuka lagu dan menyanyi bersama-sama sambil makan.

"Secara tiba-tiba kami terdengar bunyi orang mengetuk di bahagian pintu balai cerap itu dan lama-kelamaan ia semakin kuat. Saya juga meminta mereka untuk menguatkan lagu kerana dalam masa sama, terdengar bunyi ketukan itu.

"Secara tiba-tiba, rakan saya, Wan bertanya sama ada saya ada mendengar apa yang dia dengar. Saya kemudiannya terus menjerit ke arah pintu balai cerap tersebut," katanya.

Tambahnya, walaupun ketika itu keadaan tidak terkawal tetapi dia cuba menenangkan rakannya yang lain dan mengatakan mereka mungkin salah dengar.

Katanya, dalam masa sama, dia sudah tidak sedap hati namun mereka terus berada di situ meneruskan makan sambil menyanyi sebelum rakannya, Anim terdengar sesuatu.

Johan bertanya kepada Anim apa yang didengarnya. Jawab Anim, dia terdengar ada orang menyanyi, jadi dia menyuruh rakannya mematikan lagu.

“Lepas matikan lagu, nak tahu apa kami dengar... ‘Benda’ itu menyanyi dan bukan menyanyi lagu Ed Sheeran ke apa.. tapi bunyi mcm ni ‘hmmmm hmmmmmmmm hmmm hmmm’ (mendayu-dayu)

“Bunyi itu memang betul-betul dari dalam balai cerap. Kami terus kemas dan naik kereta dan terus pecut turun ke bawah. Ketika kami berada di dalam kereta, secara tiba-tiba kenderaan yang dinaiki itu berasa berat padahal turun bukit,” katanya.

Johan menambah, sebaik tiba di pagar di bahagian bawah, dia terpandang belakang menggunakan cermin kereta dan ternampak kelibat berwarna putih berdiri di tepi jalan.

“Saya hanya ternampak kelibat berwarna putih di tepi jalan dan disebabkan rasa takut kami tidak terus balik ke bilik hanya pulang selepas subuh,” kata Johan mengakhiri bebenang ciapannya.

Sumber: Twitter @Johan_Mrwn


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...