Seminar Serantau Pendidikan Tinggi Islam (SeIPTI) kali kelima anjuran empat universiti pada 25 dan 26 November ini di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) pastinya ditunggu-tunggu oleh para akademik dan mereka yang berminat dengan perkembangan pendidikan Islam yang tidak terhad kepada perkembangan di Malaysia malah di Asia Tenggara.
Penampilan empat rakan strategik meliputi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dari Malaysia, Universiti Darussalam (Unida) dari Indonesia, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) dari Brunei dan Universiti Fatoni (FTU) dari Thailand membincangkan tema berbeza setiap tahun dianjurkan, khusus terhadap perkembangan pengajian Islam.
Jika diimbau sejarah penganjuran SeIPTI, asalnya bertujuan menghimpunkan cendekiawan di bawah satu bumbung yang membincangkan halatuju institusi pengajian Islam di Asia Tenggara. Julung-julung kali dianjurkan pada 2012 di Usim, persaudaraan sesama Islam yang telah wujud bertahun lama merupakan keindahan yang perlu diraikan tetapi dalam masa yang sama perlu sentiasa diperbaharu masa untuk untuk menyemarakkan semangat ini.
Dalam usaha ini, Usim dilihat menggalas cabaran untuk mengintegrasikan kepakaran, pengetahuan dan nilai untuk membentuk sistem pendidikan yang seimbang dan berteraskan Islam. Usaha ini tidak berhenti di sini sahaja, dan selanjutnya SeIPTI kedua pada tahun 2013 dengan tema Pengajian Tinggi Islam: Antara Tradisi dan Kontemporari dilaksanakan di Brunei. Di Unida pada 2015, SeIPTI mengangkat tema integrasi ilmu Islam kontemporari di universiti-universiti Islam dan pensyarah Usim sendiri membentangkan 14 kertas kerja dalam persidangan ini. pada 2017, SeIPTI dilangsungkan lagi di Thailand dengan mengangkat tema Pendidikan Tinggi Islam ke Arah Masyarakat Lestari.
Kali ini, penganjuran SeIPTI kembali ke USIM, dengan tema “Merintis Kampus Barakah dalam Institusi Pengajian Islam Global”. Ini selari dengan penghidupan idea kampus barakah yang diusahakan Usim bagi demi mencapai kebahagian dunia dan akhirat bagi warganya. Pada Oktober lalu, buku Merintis Kampus Barakah dilancarkan sebagai perkongsian yang mengupas perjalanan 17 tahun Usim ke arah sebuah kampus barakah.
Dalam buku ini yang juga boleh diangkat sebagai buku rasmi sejarah USIM, konsep 7i diketengahkan iaitu budaya Iqra’, Internationalisation (pengantarabangsaan), Intervensi terhadap revolusi perindustrian, Impak terhadap Ummah, Interaksi atau hubungan universiti dengan pelbagai sektor dan peringkat, Insan yang terbina daripada amalan integrasi ilmu naqli dan aqli, budaya Iqra’ dan berpandukan qalbu, Integrasi ilmu naqli dan aqli.
Di SeIPTI kali ini, perbincangan dan cadangan untuk mencapai hasrat kampus barakah ini akan dibincangkan, memberi ruang perkongsian pengalaman para ilmuan di Asia Tenggara untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan universiti barakah yang seharusnya dilihat sebagai agenda penting universiti Islam serantau. Elemen Kepemimpinan Berteraskan Qalbu (hati) juga diketengahkan untuk dibincangkan, dihayati dan menjadi asas kepada pembentukan peribadi muslim serta tindakan-tindakan serta keputusan dalam kehidupan seharian dan kemasyarakatan.
Kita diingatkan, "Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika segumpal daging itu baik, maka seluruh tubuh juga baik. Jika segumpal daging itu rosak, maka seluruh tubuh juga rosak. Ketahuilah, segumpal daging itu adalah hati" (Hadis Riwayat Muslim, no. 1599). Dengan pelbagai ketidakpastian yang berlaku dalam kalangan umat Islam dan antara agama hari ini, kita disarankan untuk kembali kepada asas hidup iaitu hati yang baik. Hati yang baik mengesai masyarakat dengan baik dan membawa barakah kepada semua.
Banyak lagi perbincangan akan dibuat dalam persidangan ini dan ia perlu dinikmati dan dimanfaatkan. Lagi maklumat tentang persidangan tersedia di laman sesawang persidangan http://seipti2018.usim.edu.my/ bagi yang berminat.