> UTARA > Dua kali terkandas di tengah jalan, ibu anak empat ini bangkit capai pelajar first class!
Dua kali terkandas di tengah jalan, ibu anak empat ini bangkit capai pelajar first class!

“Apa yang kita impikan jangan bertangguh dan hanya berangan-angan kerana kejayaan adalah mustahil tanpa langkah pertama.

“Menuntut ilmu adalah jihad. Tiada had umur dalam menuntut ilmu. Biarkan apa orang kata yang penting Allah tahu apa yang kita inginkan, fokus dengan apa yang kita lakukan serta jaga hubungan kita dengan Allah, Insya-Allah segala yang diimpikan akan tercapai.”

Itulah pegangan graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Rohamizah Saidin, 47, yang berjaya menggenggam CGPA 3.88 pada sesi 8, Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM di Dewan Mu'adzam Shah baru-baru ini.

Mesra disapa Miza, dia pernah 2 kali menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UUM namun hanya bertahan di pertengahan jalan apabila berdepan pelbagai kekangan.

“Suamilah orang yang paling kuat memberi sokongan setiap kali saya menyuarakan hasrat untuk sambung pelajaran, tambahan pula anak-anak semakin membesar dan berdikari serta sentiasa berada dalam persekitaran ilmu di UUM, saya dikelilingi pelajar, pelanggan dan kawan-kawan, jadi semangat sentiasa berkobar-kobar.

“Sebenarnya, pada mulanya saya dalam dilema dan tidak yakin, mesti orang kata dah tua baru nak belajar, macam-macam perasaan yang bermain di fikiran, namun setelah menelefon seorang sahabat yang merupakan seorang kaunselor yang berjaya buat Master memberi kata-kata semangat untuk capai cita-cita yang sentiasa mekar subur,” ujarnya.

Tambahnya, daripada impian, kita perlu membuat tindakan untuk mencapai apa yang kita impikan, seperti mana impiannya pada masa dahulu adalah untuk menggenggam segulung ijazah yang tidak dapat capai sewaktu muda.

“Dengan adanya iltizam dan semangat yang tidak pernah luntur saya menyambung pelajaran melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang belajar secara separuh masa di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), UUM,” katanya.

Miza memilih bidang ini kerana minat dengan kursus ini yang mempunyai kaitan dengan perniagaan makanan yang sedang dijalankan serta bidang Perancangan Kewangan Islam.

“Saya teruja dan bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian setelah menghadapi segala cabaran menuntut ilmu sepanjang lebih 4 tahun setengah yang memberi 1001 pengalaman,” kongsinya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.

Sepanjang pengajian cabaran utama saya perlu membahagikan masa untuk belajar, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah, tanggungjawab sebagai isteri, ibu kepada 4 anak berusia antara 22 - 9 tahun selain menguruskan perniagaan Corn & Waffle Outlet di Varsity Mall, UUM.

“Untuk memberi yang terbaik, saya bersengkang mata untuk menyiapkan tugasan dan mengulangkaji pelajaran hingga 3 pagi sebagai persediaan menghadapi peperiksaan adakalanya tidak tidur malam esok terus menduduki peperiksaan,” ceritanya.

Fokus ketika di dalam kelas, banyak bertanya pada pensyarah, berusaha bersungguh-sungguh, tidak study last minute, banyakkan berdoa dan tawakal pada Allah adalah resepi kejayaan bergelar pelajar first class.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga, pensyarah yang telah mencurahkan ilmu dan rakan-rakan yang telah memberi sokongan dan dorongan sepanjang pengajian.

“Lain orang, lain tujuan sambung belajar, ada yang disebabkan kenaikan pangkat atau kenaikan gaji tetapi saya suka belajar untuk menambah ilmu pengetahuan sekali gus dapat meningkatkan ilmu serta kemahiran dalam bidang keusahawanan, kepimpinan, cara berfikir dan dapat menyelesaikan masalah dengan lebih baik,” luahnya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Sebagai penuntut di kampus, memang tidak boleh lari daripada menjalani latihan praktikal, yang disebut juga latihan amali atau pun industri. Latihan industri merupakan syarat wajib...
SETIAP orang mempunyai impian masing-masing. Sama juga bagi Nur Fatin Abdul Rahman, siswi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris...
Sesiapa sahaja pasti mahu berjaya dan berbangga dengan kejayaan diri sendiri, bukan? Sebagai pelajar, keinginan untuk berjaya pasti ada, cuma setiap pelajar mempunyai kadar...
PENYANYI Sufian Suhaimi, 26, telah membuktikan kesibukannya dalam kerjaya seni tidak pernah menghalang dirinya untuk menamatkan pengajian hingga ke peringkat yang lebih...
Pada tiba hari graduasi, ramai ibu bapa mahupun ahli keluarga yang hadir meraikan mereka yang berjaya menamatkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi. Pastinya, ada...
Harapan Pendidikan Universiti Ramai yang gembira dengan penganjuran Bicara Minda oleh Kumpulan Media Karangkraf pada 19 Julai 2018 yang lalu bersama Menteri Pendidikan Malaysa...