> AKTIVITI SENI > Medan penggiat seni profesional dan amatur IPT serlah bakat
Medan penggiat seni profesional dan amatur IPT serlah bakat
AMIRUL SALAM, UMT Rabu | 28 November 2018

KUALA NERUS - Menerusi tema Memartabatkan Seni Budaya Tradisional, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya diberi kepercayaan sebagai tuan rumah sempena Program Festival Tari Drama Filem Kebangsaan 2018 yang bertempat di Dewan Sultan Mizan pada 23 dan 24 Disember ini.

Program anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian, UMT dengan kerjasama Angkatan Anak Seni (Akasia) dan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum) melibatkan 200 penyertaan dan bertujuan untuk menaikkan lagi prestij Festival Tari Drama Filem Malaysia.

Peserta yang juga pelajar mempamerkan bakat seni yang dimiliki.
Peserta yang juga pelajar mempamerkan bakat seni yang dimiliki.

Festival ini disertai 20 kumpulan profesional dan amatur yang terdiri daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pertubuhan kelab yang akan berentap bagi merebut kejuaraan. Festival ini merupakan medan bagi penggiat seni untuk menyampai dan membudayakan karya-karya seni dalam filem Melayu klasik yang semakin luput ditelan zaman.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan Seni Budaya Malaysia, Haji Mesran Mohd Yusop, melalui ucapan perasmiannya berkata penganjuran program seperti ini, pelajar dan masyarakat dapat mengetahui betapa pentingnya membudayakan seni tari klasik berteraskan filem Melayu yang merupakan khazanah sejarah bernilai dan memacu transformasi kepada seni tari hari ini.

Sekumpulan pelajar UMT mengadakan persembahan sempena festival tari di UMT.
Sekumpulan pelajar UMT mengadakan persembahan sempena festival tari di UMT.

Festival anjuran UMT ini amat bertepatan dalam mempromosikan kesenian dan kebudayaan yang ada di negeri Terengganu seterusnya sebagai salah satu usaha memperkenalkan UMT sebagai gedung ilmu serta menjadi destinasi pilihan pelajar untuk menyambung pengajian.

“Dengan terlaksananya festival tari ini, proses membangunkan agenda kesenian dan kebudayaan di kampus akan memberi impak kepada pelajar sebagai penerus kesenian pada masa hadapan serta mengasah bakat-bakat baru dalam bidang seni tari, seterusnya diangkat ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Selain memberi pendedahan kepada para pelajar dan masyarakat untuk mengenal dan menghargai setiap perjuangan penggiat seni dalam memartabatkan industri kreatif di Malaysia, penganjuran ini juga mampu menyalurkan pengetahuan dan pengalaman kepada para pelajar dalam mengurus serta melaksanakan pengurusan acara berkaitan kebudayaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Profesor Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali berkata, program sebegini turut mengeratkan hubungan di antara universiti awam dan swasta, sekolah-sekolah, penggiat seni dan budaya, badan-badan NGO serta masyarakat komuniti setempat yang mempunyai pertubuhan kelab yang sama objektifnya.

Pelajar sekolah turut mengambil peluang mengadakan persembahan.
Pelajar sekolah turut mengambil peluang mengadakan persembahan.

“Walaupun UMT lebih dikenali sebagai sebuah universiti berorientasikan Maritim dan Sains Marin, tetapi tidak mengabaikan program dan aktiviti-aktiviti berkonsepkan kesenian dan kebudayaan untuk warganya,” katanya.

Tambahnya lagi, semenjak beberapa tahun yang lepas, UMT menerusi Pusat Kebudayaan dan Kesenian (PKK) telah mengatur pelbagai aktiviti-aktiviti kesenian dan kebudayaan, yang menggerakkan penglibatan bukan sahaja warga UMT, malahan komuniti setempat.

Hampir 200 peserta menyertai festival tari anjuran UMT.
Hampir 200 peserta menyertai festival tari anjuran UMT.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) akan mengadakan Pesta Konvo UMT 2018 bermula pada 09 sehingga 13 November 2018 (Jumaat – Selasa) bertempat di Dataran Pesta Konvo...
KUALA TERENGGANU - Mangsa ribut di Dun Buluh Gading turut mendapat bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Penolong Pendaftar Hal Ehwal...
BESUT - Setakat ini lima spesies kuda laut dikenal pasti mempunyai khasiat tersendiri seperti anti virus, anti kanser, anti tumor dan kajian saintifik membuktikan ia juga mampu...
KUALA BERANG – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menerbitkan buku khas berkaitan sejarah dan warisan Tasik Kenyir. Menurut Dr. Nor Hayati Sa’at, Timbalan Pengarah...
PENGALAMAN lebih sepuluh tahun bergelar jurufoto rasmi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bukan sahaja memberinya peluang menimba ilmu berkaitan fotografi, malah turut melalui...
KUALA BERANG – Pakar Pertanian Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerapkan ilmu pertanian kepada dua puluh usahawan baja menerusi program perkongsian dan pemindahan ilmu...