> SEL KL > Universiti disaran jadi agen penggerak semarak kempen membaca
Universiti disaran jadi agen penggerak semarak kempen membaca
BERNAMA Jumaat | 30 November 2018

SHAH ALAM - Universiti awam dan swasta disaran menjadi agen penggerak bagi menyemarakkan lagi kempen membaca dalam kalangan warga masing-masing dengan mewujudkan suasana pembacaan yang meriah dan mampu melawan budaya hidup yang biasa-biasa sahaja atau ‘mediocre’.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek berkata antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah memperbanyakkan program bedah buku, bual bicara tentang karya tersohor, wacana serta debat mengenai buku yang mengandungi pemikiran-pemikiran tinggi.

"Suasana membaca yang meriah mampu melawan budaya hidup ‘mediocre’ iaitu budaya hidup pertengahan yang penuh dengan hiburan serta bahan-bahan popular yang langsung tidak mendidik dan langsung tidak menjadikan mahasiswa sebagai golongan berkualiti .

"Biar orang yang tidak membaca merasa kekok kerana tidak membaca seperti mana orang yang tidak mempunyai akaun Facebook merasa kekok melihat orang lain mempunyai akaun Facebook,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Program [email protected] Institusi Pendidikan Tinggi di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara, di sini.

Jelas Maszlee,Malaysia tidak tersenarai dalam kelompok negara membaca lebih lima jam seminggu kerana rata-rata rakyat kini hanya meluangkan masa lingkungan tiga jam seminggu untuk membaca.

Bagaimanapun beliau yakin, dengan kempen dan kerjasama tersusun daripada semua pihak termasuk pelancaran program hari ini, tahap pembacaan masyarakat mampu ditingkatkan kepada lebih 10 jam pada masa depan.

Bercakap kepada media selepas itu, Maszlee berkata signifikan program berkenaan kepada mahasiswa adalah bagi memupuk golongan tersebut untuk menjadikan membaca sebagai suatu cara hidup, dan bukan sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata.

"Kita mahu pelajar bawa budaya membaca ini bukan saja dalam kerangka universiti tetapi kita nak mereka sebar luaskan virus membaca kepada seluruh masyarakat sehingga dapat menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat membaca dunia,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Program [email protected] yang julung kali dianjurkan itu adalah antara inisiatif Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dalam memperkasa budaya membaca dalam kalangan warga institusi itu dan seterusnya mendokong kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030) yang dijangka dilancarkan tahun depan. - Bernama.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
JOHOR BAHRU - Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan WOW [email protected] Library bagi meningkatkan kesedaran membaca dalam kalangan warga kampus dan...
PENGKALAN CHEPA - Program [email protected] dengan rasminya telah disempurnakan pelancarannya oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Husaini Omar, di Dewan...
SUNGAI PETANI - Merokok membahayakan kesihatan. Justeru, pelbagai kempen menanganinya dilaksanakan di seluruh negara termasuk dalam kalangan warga kampus. Bersempena dengan Hari...
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat UTeM sempena bulan kemerdekaan Malaysia ke-61...
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat UTeM sempena bulan kemerdekaan Malaysia ke-61...
KUALA NERUS - Menerusi tema Memartabatkan Seni Budaya Tradisional, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya diberi kepercayaan sebagai tuan rumah sempena Program...