> TERENGGANU > Satu-satunya program berkaitan maritim di UA Malaysia
Satu-satunya program berkaitan maritim di UA Malaysia
NORHAYATI ALLI Selasa | 4 Disember 2018

PROGRAM Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim) mula ditawarkan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada sesi Julai 2007/2008.

Program ini ditawarkan secara sepenuh masa dan mengambil tempoh selama empat tahun merangkumi lapan semester dan 139 jam kredit minimum untuk bergelar graduan.

Pelajar sedang mempelajari teknik navigasi kapal secara simulasi. (FOTO UMT)
Pelajar sedang mempelajari teknik navigasi kapal secara simulasi. (FOTO UMT)
Program ini adalah satu bidang kepakaran berkaitan pengurusan organisasi, operasi dan pengendalian kapal secara komersil dan direka khas bagi melahirkan graduan dengan memiliki kemahiran pelayaran dan perkapalan yang tinggi seiring keperluan pasaran.

Selain itu, program ini juga berkait rapat dengan kerja-kerja di bahagian pengurusan dan pentadbiran pelabuhan. Bidang sains nautika memberi penumpuan khusus meliputi ilmu perkapalan dan pelayaran, pengendalian kargo, peralatan komunikasi maritim, kerja–kerja carta dan pengawasan, meteorologi serta undang-undang untuk diaplikasikan dalam bidang maritim.

SILIBUS SEIRING KEPERLUAN INDUSTRI

Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan (PPKK), Prof Madya Ir. Dr. Mohammad Fadhli Ahmad, program ini mendapat pengiktirafan daripada badan maritim antarabangsa (IMO) yang melayakkan graduan ini bekerja di sektor maritim seluruh dunia kerana UMT mempersiapkan para pelajar dengan pelbagai latihan serta kursus khas yang ditetapkan oleh badan tersebut seperti kursus keselamatan, kebakaran dan lain-lain.

Kapal RV Discovery yang disediakan UMT untuk kegunaan pelajar. (FOTO UMT)
Kapal RV Discovery yang disediakan UMT untuk kegunaan pelajar. (FOTO UMT)
“Pakej yang lengkap ini mendapat perhatian tinggi oleh pemain industri maritim sama ada di laut mahupun pelabuhan. Ia juga sejajar dengan matlamat UMT bagi melahirkan graduan yang holistik, berketerampilan, berfikiran kreatif dan inovatif serta berdaya saing dalam kerjaya dan penyelidikan berteraskan sains nautika dan berlandaskan perkembangan industri maritim masa kini,” jelasnya.

Bagi menyokong usaha melahirkan graduan yang berkualiti, pihak UMT menyediakan Bilik Simulasi Kapal khas untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran penuntut program ini.

Bilik simulator yang canggih menyerupai bridge control kapal yang sebenar. (FOTO UMT)
Bilik simulator yang canggih menyerupai bridge control kapal yang sebenar. (FOTO UMT)

Selain mempelajari secara simulasi, pelajar juga berpeluang merasai sendiri pengalaman mengemudi kapal RV Discovery milik UMT bernilai lebih RM16 juta ini bagi memastikan ilmu dan pengalaman yang dipelajari sepanjang berada di kampus adalah sama seperti di alam pekerjaan, sekali gus menjadikan graduan UMT unik.

TANPA PERLU BERSAING GRADUAN PROGRAM LAIN

Alumni UMT, Muhamad Huraisy Badarusham yang merupakan graduan sulung program ini berkata, ia merupakan pilihan pertama sewaktu pemilihan melalui sistem UPU.

“Program yang unik ini merupakan satu-satunya program yang ditawarkan di universiti awam Malaysia. Menjadi kelebihan bagi graduan seperti kami yang memiliki peluang kerjaya sangat luas tanpa perlu bersaing dengan graduan-graduan program pengajian lain yang ditawarkan di kebanyakan universiti.

Muhamad Huraisy ketika menjalankan tugas di bridge control kapal. (FOTO UMT)
Muhamad Huraisy ketika menjalankan tugas di bridge control kapal. (FOTO UMT)
“Boleh dikatakan hampir 90 peratus graduan program ini yang juga rakan-rakan ketika di UMT bekerja di sektor maritim seperti pegawai dek, pegawai jabatan laut, APMM, Vessel Traffic Controller, surveyor dan sebagainya. Apa yang menariknya dengan graduan program ini adalah syarikat-syarikat perkapalan membayar gaji lebih tiga kali ganda daripada eksekutif syarikat swasta yang setara dengannya,” katanya lagi.

Syarat kemasukan untuk program ini juga agak rendah iaitu terbuka kepada pelajar aliran sains dan telah mengambil peperiksaan MUET. Calon-calon yang layak perlu menghadiri temu duga yang akan ditetapkan oleh UMT sebelum surat tawaran melanjutkan pengajian dikeluarkan.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
ASALNYA dia sekadar suka-suka saja mengisi borang pada iklan kemasukan yang tertera di laman sosial facebook rasmi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meskipun gadis berketinggian...
KUALA NERUS - Bakat Muhammad Khairulamri Muhammad, 23, Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu...
BATU PAHAT - Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menghadiahkan sebuah pesawat "Lake Renegade LA-270” kepada Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), tanda...
BATU PAHAT - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menghadiahkan sebuah pesawat Lake Renegade LA-270 kepada Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sebagai tanda sokongan...
KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan tiga program pengajian baharu bagi sesi ambilan 2019/2020 selari dengan keperluan semasa pasaran kerja pada masa...
PAGOH – Bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran konservasi hidupan liar dalam kalangan masyarakat, hampir 350 peserta terdiri daripada pelajar Universiti Tun Hussein Onn...