> IKON > Walau punya ijazah sarjana, tapi ini sebab Ashmon sanggup lepas gaji lumayan
Walau punya ijazah sarjana, tapi ini sebab Ashmon sanggup lepas gaji lumayan
MASTURAH SURADI 5 December 2018

KOTA TINGGI - Bagi sesetengah orang sudah pasti tidak akan menolak apabila ditawarkan kerjaya bergaji lumayan, namun tidak bagi Ketua Polis Daerah Kota Tinggi yang lebih memilih untuk merealisasikan minatnya sejak kecil.

Anak kelahiran Kudat Sabah, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, sejak di bangku sekolah beliau sudah aktif dalam pasukan beruniform. Antaranya seperti pengakap, kadet polis bahkan pernah menjadi ketua kadet pada 1995.

Menurutnya, minat untuk menjadi polis tercetus selepas dipengaruhi disiplin diterapkan dan bidang tugas yang berdepan pelbagai cabaran dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Katanya, permulaan menyertai PDRM selepas tamat pengajian Sarjana Muda di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1 November 2003 sebagai kadet ASP. Ketika itu beliau menolak tawaran Skim Perantis Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga skim pegawai muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Isteri Emmy Suin dan ayah pendukung utama dalam kerjaya. Saya pernah ditawarkan pelbagai jawatan di luar selepas tamat pengajian sarjana. Tawaran baik termasuklah gaji lumayan dan imbuhan yang lain. Isteri saya yakinkan saya kerja dalam polis sesuai dengan keperibadian saya.

Bersama isteri dan anak-anak sebagai pendukung kerjaya.
Bersama isteri dan anak-anak sebagai pendukung kerjaya.

“Ayah juga menjadi pendukung kerjaya, beliau selalu mengingatkan pentingnya soal moral dan etika. Saya sentiasa berpegang pada katanya ‘biarlah orang lain menganiaya kita tapi kita jangan menganiaya orang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengalaman manis sepanjang berkhidmat PDRM

Ahsmon berkata, beliau pernah terhambur keluar di belakang van Perodua Rusa PDRM semasa menyertai operasi jenayah di Gombak, Selangor.

Kata bapa kepada tiga anak itu, ketika kejadian van berkenaan yang agak uzur sedang mendaki bukit sebelum secara tiba-tiba bonet belakang tertanggal.

“Saya bersama anggota yang lain tergelincir keluar disebabkan sesak dalam van dan tempat duduk juga telah uzur. Itu merupakan pengalaman manis tidak boleh dilupakan.

"Manakala pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ketika kendali kes melibatkan kerabat yang dikatakan suspek kes pemerasan. Ketika itu terpaksa berkorban masa dua hari tidak tidur bagi menguruskan siasatan. Memerlukan kebijaksanaan dan diplomasi. Paling mencabar untuk melaksanakan tangkapan ke atas suspek dan urusan lokap. Ketika itu, saya beranikan diri dengan sembah ‘mohon maaf hanya anak orang kampung menjalankan tugas’ syukur kerabat tersebut gentleman dan memahami,” katanya.

Ketua polis daerah termuda pernah dilantik

Mengulas cabaran menjadi ketua polis termuda, katanya beliau diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PDRM dan negeri menjawat ketua polis daerah pada usia 38 tahun paling muda dalam kalangan ketua polis lain ketika itu.

Ketika mengetuai program Kayuhan Info Cyclist Tour PDRM Johor.
Ketika mengetuai program Kayuhan Info Cyclist Tour PDRM Johor.

Tambahnya, kriteria pelantikan beliau berdasarkan pengalaman sebagai pegawai penyiasat (IO), penolong pegawai penyiasat (SIO), ketua bahagian pengurusan daerah (KBPD), ketua bahagian siasatan jenayah (KBSJD) dan dua kali menjawat timbalan ketua polis daerah.

“Cabaran utama menjadi ketua polis muda adalah persepsi orang muda kurang pengalaman selain perlu menguruskan pegawai lebih berusia. Saya guna pendekatan memimpin bukan ketua. Saya akan buat dahulu dan tunjuk pada mereka hasilnya dan selaku pemimpin kita mesti berani buat keputusan dan juga pertahankan anak buah kita yang betul. Cara menegur, menganggap mereka sebagai ayah dan abang saya. Pendekatan saya gunakan face to face di pejabat dan psikologi dengan konsep teguran ingatkan mereka ‘kamu lebih dewasa daripada saya maka tunjukkan cara kerja dan pembawa diri yang betul’,” katanya.

Jelasnya, konsep empowerment juga penting di mana kepercayaan harus diberi kepada anggota, namun dalam masa sama beliau tetap akan buat keputusan akhir dalam perkara yang perlu.

Katanya, ia secara tidak langsung akan meyakinkan kakitangan di bawahnya bahawa beliau adalah pemimpin dan bukanya ketua kerana pangkat.

Misi dan visi selaku ketua polis daerah

Mahu mengoptimumkan perkhidmatan polis Kota Tinggi adalah visi dibawa beliau manakala misinya pula mahu penyampaian perkhidmatan mengikut keutamaan.

Sebagai ketua polis yang masih dianggap baru di daerah ini, antara perancangan beliau sudah pasti mahu mengeratkan hubungan dengan masyarakat selain mahu membanteras jenayah harta benda serta penyeludupan di daerah ini.

Sebagai seorang ketua di daerah yang sedang mengalami pembangunan projek mega di Pengerang, beliau memperkenalkan dua konsep penugasan mudah untuk mekanisme yang digunakan dalam soal keselamatan masyarakat.

Ahsmon berkata, polis adalah agensi terbaik. Masalah-masalah yang pernah timbul bukannya disebabkan polis, tetapi disebabkan oleh segelintir individu yang tidak layak menjadi polis.

“PDRM tidak akan berjaya jika masyarakat tidak memberikan kerjasama. Kami tidak mampu berada di setiap inci kawasan tetapi masyarakat ada di mana sahaja. Berikan sumbangan anda khususnya penyaluran maklumat,” katanya.

AHSMON

BIODATA:

Kelulusan:

Master Undang Undang (Penguatkuasaan) UiTM Shah Alam

Anugerah diterima:

1. Juara Anugerah Integriti Pegawai Kanan 2016 PDRM

2. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2014

3. Setia Mahkota Pahang (SMP) oleh DYMM Sultan Pahang 2017


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KOTA TINGGI - Bagi sesetengah orang sudah pasti tidak akan menolak apabila ditawarkan kerjaya bergaji lumayan, namun tidak bagi Ketua Polis Daerah Kota Tinggi yang memilih untuk...
“Sejujurnya saya mahu mengambil bidang psikologi sejak sekolah lagi. Dan saya juga sudah mencari tempat untuk sambung belajar. Ini kerana saya minat dalam interaksi dengan...
NAMA Dr Harlina mungkin sudah tidak asing lagi sebagai figura yang disegani di negara ini terutama mereka yang mengikuti dunia perubatan berkaitan perbidanan dan wanita serta kerja...
MINAT dan kecenderungannya ketika di sekolah adalah dalam bidang sukan ragbi, malah Khaziq Ashraf Muhamad Nasrah juga pernah mewakili sekolah dalam pertandingan di peringkat...
KUALA NERUS - Bidong Merdeka Dive 2018 atau BMD2018 merupakan acara tahunan yang telah dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semenjak 2016 bertujuan untuk menyemai...
Bermula dengan modal kosong di tangan, Hazwani Abd Hamid, 36 percaya kuasa ilmu, pengalaman, dedikasi dan pergantungan kuat pada Allah dapat membentuk kejayaan yang cemerlang serta...