> > Mantan Timbalan Naib Canselor UM dilantik Naib Canselor UKM baharu
Mantan Timbalan Naib Canselor UM dilantik Naib Canselor UKM baharu

BANGI - Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaya (UM), Prof Ir Dr Mohad Hamdi Abd Shukor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru menggantikan Prof Tan Seri Dr Noor Azlan Ghazali yang tamat tempoh pelantikan 31 Disember 2018 ini.

Pelantikan Prof Ir Dr Mohd Hamdi untuk tempoh 3 tahun mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2021 itu pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor di UM mulai dari tahun 2011 sehingga 2014.

Prof Ir Dr Mohd Hamdi, 47, berasal dari Muar, Johor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari Imperial College, London, England; Ijazah Sarjana Teknologi Pembuatan dan Pengurusan Sistem Termaju dari University of Machester Institute of Science and Tehcnology, United Kingdom dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Kyoto University, Jepun sebelum menjadi Profesor di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan, UM.

Pelantikan beliau adalah menerusi surat dari Menteri Pendidikan, Dr Maslee Malik selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12 (1) Perlembagaan UKM.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, beliau percaya dengan kelayakan cemerlang dan berpengalaman luas dalam pentadbiran universiti sebelum ini.

"Beliau akan dapat membawa perspektif baru kepada UKM dan mempertingkatkan lagi prestasi UKM bukan sahaja dari segi ‘ranking’ tetapi juga dalam pembangunan insan, kebolehpasaran graduan dan reputasi sebagai sebuah universiti nasional.

"Saya ucapkan tahniah di atas perlantikan Dr Mohd Hamdi sebagai Naib Canselor UKM dan mengzahirkan penghargaan terima kasih di atas kepimpinan beliau di UKM selama 4 tahun," katanya.

Menurutnya, beliau telah banyak menyumbang kepada kejayaan UKM termasuk menaikkan kedudukan UKM dalam QS University World Ranking daripada kedudukan 269 pada tahun 2013/2014 ke kedudukan 184 pada tahun 2018/2019.

Dalam pada itu, Dr Noor Azlan mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Dr Mohd Hamdi sebagai Naib Canselor UKM yang baharu.

Beliau menyeru semua warga UKM memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Naib Canselor yang baharu kerana kecemerlangan UKM adalah untuk warga UKM bersama.

“Kita doakan supaya kepimpinan yang baharu ini ini akan terus membawa obor kecemerlangan UKM ke tahap yang lebih hebat dalam menjadikan UKM sebagai universiti yang dihormati kesarjanaannya, katanya.

"Saya dan rakan pengurusan akan memastikan peralihan dan kelangsungan kepimpinan itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

"UKM adalah universiti kita. Kita semua bertanggung jawab terhadap universiti ini. Selamat datang ke Bangi Prof Ir Dr Mohd Hamdi. Marilah bersama menjayakan misi ini," katanya.

Sejak penubuhan UKM 48 tahun lalu, UKM telah dipimpin oleh 11 Naib Canselor iaitu Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba (1969-1971); Datuk Dr Ariffin Ngah Marzuki (1971-1974); Prof Dato’ Dr Mohd Ghazali Abdul Rahman (1974-1975); Tan Sri Dr Anuwar Mahmud (1975-1980); Prof Emeritus Tan Sri Dr Awang Had Salleh (1980-1984); Prof Tan Sri Dr Abdul Hamid Abdul Rahman (1984-1993); Prof Emeritus Dr Mohd Sham Mohd Sani (1993-1998); Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali (1998- 2003); Prof Tan Sri Dr Mohd Salleh Mohd Yasin (1 Mei 2003-27 Ogos 2006); Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (27 Ogos 2006-31 Disember 2013) dan Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (1 Januari 2014-31 Disember 2018).


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
AMSTERDAM - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengharamkan penggunaan polisterina dan penyedut minuman plastik di seluruh kampusnya berkuatkuasa tahun depan. Raja Muda Perlis,...
SINTOK - Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membantu negara melahirkan tenaga profesional dalam pelbagai bidang kursus seperti perniagaan, komputer, teknologi maklumat,...
PADA 11 Julai lalu, saya, Siti Norakasah Azli, 22, dan Ewe Pengyan, 21, pelajar tahun dua Jurusan Undang-Undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berangkat ke...
PROFESOR Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Melaka) yang baharu bagi tempoh...
Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob telah melantik semula kedua-dua Pro-Canselor UTeM, Tan Sri Datuk...
BATU PAHAT- Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 November ini hingga 14...