> > Kementerian sasar 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsafah menjelang 2030 - Dr Maszlee
Kementerian sasar 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsafah menjelang 2030 - Dr Maszlee
BERNAMA 6 December 2018

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan komited mencapai sasaran 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2023 menerusi Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kementerian sentiasa mengambil langkah proaktif dan inovatif dalam memastikannya berjaya dicapai menerusi penawaran pelbagai Skim Geran Penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan.

"Skim Geran Penyelidikan yang ditawarkan ini merangkumi penyelidikan dalam pelbagai bidang sekaligus berupaya menghasilkan penemuan baharu yang akhirnya dapat dimanfaatkan terus kepada komuniti.

"Pada masa kini, kementerian juga menawarkan program tajaan biasiswa dan hadiah latihan persekutuan di mana fokus utama tajaan ini adalah kepada tenaga pengajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Antaranya Skim Latihan Akademik Bumiputera iaitu skim latihan yang diberikan kepada pensyarah untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD,” katanya.

Maszlee menjawab pertanyaan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang ingin tahu sama ada kementerian meletakkan sebarang sasaran jumlah pemegang Master dan PhD yang ingin dicapai dalam tempoh beberapa tahun serta usaha ke arah menambahkan jumlah pemegang ijazah sarjana (Master) dan PhD dalam negara.

Beliau berkata melalui usaha yang telah dijalankan kementerian sebelum ini, statistik menunjukkan pada 2017, seramai 22,342 pemegang PhD warganegara dari institut pengajian tinggi telah berjaya dilahirkan. Bagaimanapun katanya jumlah tersebut tidak termasuk pemegang PhD warganegara yang melanjutkan pengajian di luar negara.

"Jika diambil keseluruhan enrolmen pelajar di peringkat PhD, sasaran 60,000 itu berjaya dicapai menjelang 2030 sekiranya semua pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya. -- Bernama


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula dasar pendidikan negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Menteri...
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan membincangkan isu kenaikan yuran pengajian dengan Universiti Malaya (UM), kata Menterinya Dr Maszlee Malik. Beliau berkata pihaknya...
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan memperkasakan Hospital Pengajar Universiti (HPU) di seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik termasuk...
Ini 30 fakta menarik tentang YB Dr. Maszlee Malik yang anda ingin tahu. Mungkin ciri-ciri ini yang melayakkan beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu. BIODATA 1....
KUALA LUMPUR – Kerajaan komited dengan usaha meningkatkan keupayaan belia dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri...
IPOH - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah diputerakan pada 27 November 1956. Dalam hierarki Kesultanan Negeri Perak, Baginda...