> SEL KL > Karnival Kesihatan UiTM seru kempen ke arah kampus bebas asap rokok
Karnival Kesihatan UiTM seru kempen ke arah kampus bebas asap rokok
NURFAZLINDA MD SHAH 6 December 2018

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan sambutan Program Karnival Kesihatan UiTM 2018 berserta Pelancaran Kempen UiTM Ke Arah Kampus Bebas Asap Rokok di perkarangan Pusat Kesihatan UiTM Shah Alam pada hari ini dengan objektif untuk memupuk kesedaran warga UiTM khususnya mengenai keperluan menjalani gaya hidup sihat dan menangani tabiat merokok.

Karnival Kesihatan UiTM pada kali ini telah memilih Kempen Kampus Bebas Asap Rokok sebagai tema utama selari dengan Program Ke Arah Blue Ribbon UiTM. Kempen Blue Ribbon ini telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Rantau Pasifik kepada kementerian-kementerian kesihatan untuk memberikan pengiktirafan dan penghormatan kepada individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan penting dalam usaha untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok melalui usaha advokasi ke arah mewujudkan 100 peratus kawasan bebas asap rokok.

Ianya selari dengan Perjanjian Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) Artikel 8 yang bertajuk ‘Perlindungan Daripada Pendedahan Kepada Asap Tembakau’. Di Malaysia, pengiktirafan ini dianugerahkan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar UiTM), Profesor Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said di dalam ucapan perasmiannya telah menekankan mengenai keburukan amalan merokok dan bahaya kesan asap rokok kepada perokok aktif dan juga perokok pasif.

Prof. Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said sedang menurunkan tandatangan tanda sokongan terhadap Program Ke Arah Kampus Bebas Asap Rokok UiTM disaksikan oleh Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, Dr. Zaiton Nasir.
Prof. Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said sedang menurunkan tandatangan tanda sokongan terhadap Program Ke Arah Kampus Bebas Asap Rokok UiTM disaksikan oleh Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, Dr. Zaiton Nasir.

“Kesan buruk amalan merokok bukan sahaja memudaratkan diri perokok, malahan turut memberi kesan buruk kepada orang ramai di sekeliling perokok, termasuklah anak-anak dan isteri serta sahabat handai rakan sekerja melalui asap rokok pasif.

“Kesihatan yang baik penting untuk melahirkan warga yang sihat, ceria dan mampu memberi tumpuan sepenuhnya baik terhadap pelajaran ataupun tugasan seharian,” jelasnya dalam ucapan perasmiannya.

Prof Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said menyampaikan piala dan sijil anugerah inovasi Kumpulan KIK FasTrait Pusat Kesihatan UiTM Shah Alam sempena Karnival Kesihatan UiTM 2018 di UiTM Shah Alam.
Prof Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said menyampaikan piala dan sijil anugerah inovasi Kumpulan KIK FasTrait Pusat Kesihatan UiTM Shah Alam sempena Karnival Kesihatan UiTM 2018 di UiTM Shah Alam.

“Kempen ini adalah langkah awal UiTM memberikan maklumat dan kesedaran kepada semua warga dalam usaha ke arah mendapatkan persijilan Blue Ribbon. Ini adalah satu usaha untuk memastikan penglibatan semua warga kampus bagi memastikan persekitaran kampus UiTM bebas dari asap rokok.

Program tersebut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Pusat Darah Negara. Antara aktiviti diadakan sepanjang program tersebut adalah ceramah kesihatan mengenai bahaya rokok dan vape, kesedaran mengenai penyakit HIV dan AIDS, pameran kesihatan, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pada majlis yang sama, Profesor Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said turut menyampaikan piala dan sijil anugerah inovasi Kumpulan KIK FasTrait Pusat Kesihatan UiTM Shah Alam.

Karnival ini telah berlangsung selama tiga hari dari 27 hingga 29 November 2018. Dianggarkan lebih 700 orang pengunjung warga UiTM telah hadir memeriahkan karnival kesihatan ini.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
YALA - Rentetan daripada Program Kesukarelawanan Antarabangsa Diaspora Melayu UiTM – Songkla Thailand pada 13 Oktober 2017, Kolej Kediaman Delima, Universiti Teknologi MARA...
DENGKIL - Terkesan dengan video kucing mengandung yang dimasukkan ke dalam mesin pengering baju yang tular baru-baru ini, sekumpulan pelajar asasi TESL Universiti Teknologi MARA...
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam bakal mengadakan International Innovation Invention & Creation Exhibition 2018. Berikut merupakan butirannya: Tarikh: 11 Oktober...
SERENDAH - Suntik semangat sukarelawan dalam tempoh sebulan. Itulah cabaran yang dihadapi sekumpulan penuntut yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman...
PERSATUAN Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH) di bawah Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam. telah mengadakan program MELTECH Scene...