BANGI - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan(FEP) telah menganjurkan sebuah Program Menabung Bersama Si Cilik di bawah inisiatif CSR yang diadakan baru-baru ini.
Program ini disertai oleh kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun di Tadika Ana Montessori di Bandar Baru Bangi dengan bertemakan “Sikit-Sikit Lama-Lama Jadi Bukit”.
Program Menabung Bersama Si Cilik ini merupakan sebuah program semangat kesukarelawan dalam memperkasakan ilmu kepenggunaan dibawah Kursus EPPM 2063 Etika dan Tanggungjawab Sosial Korporat dengan bimbingan dan nasihat tenaga pengajar Dr Shifa Mohd Nor.
Dr Shifa berkata, program ini berkolaborasi dengan Gerakan Pengguna Siswa UKM yang merupakan gerakan kesedaran tentang kepenggunaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP).
Katanya, kerjasama ini akan menghasilkan mahasiswa yang proaktif dan cakna kepeda perkembangan awal kanak-kanak terutama dalam menilai mata wang,menabung,dan dalam pemilihan asas pemakanan yang sihat.
"Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tadika tentang kepentingan ilmu menabung.
"Selain itu, memberi pendedahan dan pengalaman kepada kanak-kanak tentang aktiviti jual beli serta amalan pemakanan sihat yang boleh mereka gunakan pada masa hadapan," katanya.
Dr Shifa berkata, berdasarkan ilmu yang diberikan kepada murid tadika tersebut dapat membantu kanak-kanak membuat pembuatan keputusan yang terbaik dari aspek mengurus kewangan dan kepentingan menjaga kesihatan.
Jelasnya, aktiviti dikendalikan oleh urusetia UKM ialah aktiviti jual beli di pasar mini di mana urusetia UKM menjadi penjual dan murid-murid tadika menjadi pembeli. Menurutnya, aktiviti jualan ini menggunakan permainan yang berbentuk buah-buahan, makanan ringan dan sebagainya.
Tambahnya, bagi langkah keselamatan murid tadika tersebut duit syiling sebenar tidak digunakan semasa aktiviti jual beli sebaliknya digantikan dengan wang kertas yang dicetak atas kertas A4 sebagai alat pertukaran semasa menjalankan urusan jual beli.
Katanya, murid-murid tadika tersebut dibimbing oleh pelajar UKM dikehendaki membuat pilihan bijak ketika membeli barang.
"Program ini memberi impak yang dapat menghasilkan mahasiswa yang kreatif dan inovatif dalam menyampaikan ilmu tentang menabung, nilai mata wang dan asas pemakanan yang sihat.
"Bagi murid-murid tadika tersebut pula, program ini membantu mereka mengurus perbelanjaan secara berhemah dan secara tidak langsung menjamin ilmu kewangan mereka serta kepentingan menjaga kesihatan," katanya.