> AKTIVITI KAMPUS > Fakulti Pendidikan UiTM hasilkan mural ikon kebanggaan Terengganu
Fakulti Pendidikan UiTM hasilkan mural ikon kebanggaan Terengganu
SUMARDIANSHAH SILAH, UITM 6 December 2018

KONSEP Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan satu proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal atau tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan yang diperoleh. Justeru proses pemerolehan pengetahuan ini seharusnya tidak tertumpu kepada kaedah latihan dan dalam kelas sahaja.

Bagi merealisasikan hasrat pendemokrasian pendidikan sepertimana yang di amalkan dalam dunia pengajaran dan pembelajaran, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA, Cawangan Selangor (UCS), Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kakitangan Sekolah Kebangsaan Sura, Dungun, Terengganu telah menganjurkan Program INGENIOUS V5: Mural Project yang telah berlangsung pada 5 hingga 10 November lalu.

UITM SK SURA6

Program ini merupakan projek kolaborasi padu yang ingin mengetengahkan konsep persekitaran kreatif luar kelas yang berhasrat untuk menjadikan lokasi seperti persekitaran sekolah, taman permainan, taman bunga dan sebagainya sebahagian daripada lokasi pembelajaran luar kelas menerusi pelbagai aktiviti bersifat mendidik.

Sebelum ini, Projek INGENIOUS V1 2016: Mural Project @ Malacca Stadium adalah merupakan projek mural pertama yang berjaya di laksanakan dengan mengetengahkan konsep ‘learning zone’ pada 3-11 Disember 2016. Antara ikon yang diketengahkan adalah seperti wajah-wajah pemain bola sepak Melaka, lakaran sejarah dan perkembangan sukan di Melaka serta ikon-ikon sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei dan sebagainya yang dihasilkan di dinding pintu masuk utama stadium, laluan keluar pemain bola dan lapan pintu masuk yang ada di sekitar stadium tersebut.

Pada tahun ini, pelajar semester 8 dari Program Pendidikan Seni dan Seni Reka dari kampus ini pula berkampung selama lima hari untuk menyiapkan mural kreatif tersebut.

UITM SK SURA5

Yang Di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi melihat projek mural ini merupakan satu lagi usaha mendidik dan memperkenalkan ikon penting negeri Terengganu dalam memperkasakan pembelajaran secara berterusan dan mahukan banyak lagi projek seumpamanya di jalankan di sekolah–sekolah sekitar Dungun.

"Dengan kapasiti sekolah yang mampu mengisi sejumlah 1,400 orang murid sudah tentu mural ini dapat memberikan inspirasi kepada murid, ibu bapa dan guru serta masyarakat yang datang ke sekolah ini," katanya sambil melahirkan rasa puas hati dan amat berbangga dengan kebolehan dan kemampuan pelajar Fakulti Pendidikan UCS yang bertungkus-lumus menyumbang tenaga dan idea dalam menyiapkan mural tersebut.

Antara subject matter yang diketengahkan dalam lakaran mural ini ialah seperti tokoh sukan berasal dari Dungun, Terengganu seperti The pocket Rocket Man Mohd Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek nombor satu negara, bangunan-bangunan yang menjadi ikon negeri seperti Masjid Kristal serta kepelbagaian warisan, seni dan budaya Terengganu.

UITM SK SURA2

Menurut Nuraihan Hashim, 26, yang mengetuai INGENIOUS V4: Mural Project at SK Sura, Dungun Terengganu, dia berasa teruja dan terharu dengan maklum balas diterima dari pihak PIBG sekolah, guru–guru dan murid sekolah yang menyatakan bahawa hasil mural tersebut telah menjadikan sekolah mereka lebih ceria dan penuh warna-warni.

"Objektif utama projek tersebut adalah untuk menjadikan seni dekat di hati masyarakat terutama murid–murid dan yang paling penting biarlah murid–murid ini bersemangat ke sekolah kerana suka dan menghargai hasil karya mural yang ada di sekolah mereka serta pada masa sama mereka berasa bangga dan sayang terhadap sekolah mereka," jelasnya.

Bagi Guru Besar SK Sura Dungun, M. Rosdey Othman, beliau tidak menyangka hasil mural oleh pelajar UiTM ini sangat menarik dan lain dari lain.

UITM SK SURA1

"Mural yang dihasilkan adalah di luar dari jangkaan. Ingatkan ia adalah hasil seni yang biasa dilihat di sekolah–sekolah yang pernah saya lawati," katanya sambil sangat berterima kasih dengan kesemua peserta dan pelajar UiTM yang terlibat dan amat menghargai usaha, idea, masa dan tenaga yang diberikan walaupun terpaksa menempuh cuaca tidak menentu, kadang–kadang hujan dan kadang–kadang panas terik.

"Diharap para peserta tidak serik untuk datang lagi bagi menyumbang idea dan kreativiti mereka," katanya lagi.

UITM SK SURA4

Terdapat beberapa siri program INGENIOUS: Mural Project yang telah dijalankan pelajar Program Pendidikan Seni dan Seni Reka, Fakulti Pendidikan UiTM melalui subjek ADE675: Art in Social Context. Selain Melaka dan SK Sura ini, projek sama pernah dijalankan di Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan (PPKKS), Serendah, Selangor (26 – 28 Disember 2017 - V2), INGENIOUS V3: Mural Project @MRSM Imtiyaz YT Ketengah, Terengganu (25 Mei – 28 Mei 2018) dan INGENIOUS V4: Mural Project @MRSM Sungai besar, Selangor (29 Mei – 1 Jun 2018).


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
SINTOK - Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membantu negara melahirkan tenaga profesional dalam pelbagai bidang kursus seperti perniagaan, komputer, teknologi maklumat,...
TAWAU – Anggota Parlimen Kalabakan, Ma'mun Sulaiman berharap kerajaan pusat mewujudkan Politeknik di kawasan Parlimen itu bagi memenuhi keperluan belia mengikuti bidang...
BANGI - Sekumpulan pelajar Graduate School of Business - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) yang dikenali sebagai inTENse dengan kerjasama Persatuan Penduduk Desa Rimbunan...
KUALA LUMPUR - Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan graduan yang memenuhi kehendak Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), kata Naib...
SHAH ALAM - Program [email protected], telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YBhg Dr. Maszlee Malik dalam satu majlis yang telah diadakan di Dewan Agung Tun Canselor (DATC),...
PUNCAK ALAM - Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menjalani Program Latihan Medan yang diadakan di Padang Kawad...