> AKTIVITY MPP > Perwakilan mahasiswa UMP terima watikah tunai tanggungjawab
Perwakilan mahasiswa UMP terima watikah tunai tanggungjawab
MIMI RABITA ABDUL WAHIT, UMP Jumaat | 7 Disember 2018

SERAMAI 25 barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diketuai Yang Dipertua MPP 2018/2019, iaitu Zakwan Zulkifle dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah berjanji menunaikan tanggungjawab diamanahkan di hadapan Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan pengurusan universiti.

Dalam majlis ini, Dr. Daing Nasir menyampaikan hasrat untuk melihat kepimpinan MPP ini dapat memainkan peranan yang besar dalam meluaskan 'worldview' mahasiswa UMP supaya lebih cakna dan bertanggungjawab dalam soal pengurusan diri dan hal-ehwal mereka selepas ini.

“Interaksi dengan pihak pengurusan melalui pelbagai saluran rundingan dan musyawarah yang harmoni dan profesional hendaklah dikekalkan. Para mahasiswa akan mula menilai prestasi dan wibawa barisan MPP ini untuk mengangkat agenda yang konstruktif terhadap pengayaan pengalaman kampus mereka di sini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Pelantikan & Angkat Sumpah MPP 2018/2019 yang berlangsung di Mangala Resort & Spa, Gambang.

Zakwan mengetuai angkat sumpah janji menunaikan tanggungjawab diamanahkan di hadapan Naib Canselor UMP dan pengurusan universiti. (FOTO UMP)
Zakwan mengetuai angkat sumpah janji menunaikan tanggungjawab diamanahkan di hadapan Naib Canselor UMP dan pengurusan universiti. (FOTO UMP)

Tambah beliau lagi, antara aspek penting perlu diberikan perhatian serius oleh MPP ialah penyuburan budaya kegembiraan, kebahagiaan, hormat-menghormati dan kemanusiaan yang banyak kali dinyatakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Justeru, pihak MPP harus turut berperanan dan bertanggungjawab dalam mempromosikan keempat-empat budaya berkenaan melalui pelbagai program dan aktiviti supaya UMP terus harmoni dan berseri dengan suasana kampus yang kondusif untuk tujuan pengajian dan juga perpaduan.

Dalam pada itu, bagi Zakwan, pihaknya akan memainkan peranan sebagai pengantara antara mahasiswa dan pengurusan universiti agar suara mereka boleh didengari.

"Perkara itu akan menjadi elemen utama selepas diberi kepercayaan untuk memimpin MPP yang mewakili mahasiswa UMP. Meskipun hubungan antara pengurusan universiti dan mahasiswa telah sedia terjalin, namun ia perlu ditambah baik untuk mengekalkan hubungan baik ini," katanya.

Dr. Daing Nasir bersama barisan MPP selepas acara menandatangani watikah pelantikan. (FOTO UMP)
Dr. Daing Nasir bersama barisan MPP selepas acara menandatangani watikah pelantikan. (FOTO UMP)

Dr. Daing Nasir turut mengucapkan tahniah kepada urus setia mahasiswa atas keupayaan mereka menguruskan pemilihan MPP kali ini dengan lancar, teratur dan tenteram tanpa sebarang masalah atau kejadian serius sepanjang proses pemilihan dan hari pengundian yang berlangsung pada 26 November lalu.

Menurutnya lagi, kejayaan eksperimen ini memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk terus mengekalkan penglibatan mahasiswa semaksimum mungkin dalam urusan pemilihan MPP akan datang.

"Perkembangan positif ini tidak hanya signifikan dalam konteks pengayaan pengalaman kampus mahasiswa, tetapi turut penting bagi memberi pendedahan kepada aspek akauntabiliti, ketelusan dan integriti proses sebagai asas tadbir urus cemerlang organisasi," tegasnya.

Dalam majlis yang dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr.Yusserie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Datuk Dr. Mashitah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd Hamid Majid ini, turut diraikan ialah barisan kepimpinan MPP 2017/2018 diketuai Yang Dipertua MPP 2017/2018, Muhammad Amrun Aniq Saidi.

Barisan kepimpinan UMP menunjukkan tanda UMP bertaraf lima bintang. (FOTO UMP)
Barisan kepimpinan UMP menunjukkan tanda UMP bertaraf lima bintang. (FOTO UMP)


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KOTA KINABALU - Semua pihak khususnya generasi muda diminta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Ketua Pengarah...
Setiap tahun, kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) silih berganti. Melalui pemilihan demokrasi, mahasiswa memilih perwakilan mereka melalui sebuah pilihan raya kampus. Tetapi...
PEJABAT Hal Ehwal Pelajar (PHEP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan proses penamaan calon bagi memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM sesi...
MENJADI barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di sebuah Kolej Vokasional pasti akan merasa kelainan disebabkan perbezaan situasi dan persekitaran berbanding di Institut Pengajian...
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah menjalankan Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi 2018/2019 bagi tujuan melantik barisan ahli Majlis...
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyambut baik perubahan memberikan autonomi kepada penuntut bagi menentukan kepimpinan mahasiswa di universiti awam (UA). Naib...