> AKTIVITI SENI > Alegria, sentuhan magis UM harumkan nama negara di pentas antarabangsa
Alegria, sentuhan magis UM harumkan nama negara di pentas antarabangsa
NAHRIZUL ADIB, UM Rabu | 12 Disember 2018

JABATAN Bahasa-bahasa Asia dan Eropah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM) telah menerbitkan sebuah filem pendek yang berjudul Alegria, dan dipilih sebagai salah sebuah tayangan utama semasa Festival Filem Amerika Latin 2018, baru-baru ini. Festival ini merupakan program tahunan anjuran kedutaan-kedutaan Amerika Selatan di Malaysia, dengan kerjasama Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd.

Poster filem Alegria yang menampilkan barisan pelakon dari kalangan pensyarah dan pelajar bahasa Sepanyol di UM

“Festival filem pendek yang diadakan di kompleks pawagam GSC di Pavillion, Kuala Lumpur ini telah disertai 10 buah filem pendek lain dari Mexico, Colombia, Argentina, Peru, Ecuador, Venezuela, Cuba, dan Uruguay,” kata Dr. Rozita Che Omar, pensyarah dan penyelaras Program Bahasa Sepanyol di jabatan tersebut, yang juga merupakan penyelaras pembikinan filem pendek ini.

ROZITA CHE OMAR

Menariknya, pembikinan filem pendek bertajuk Alegria ini telah dijayakan sepenuhnya pelajar dan pensyarah dari Program Bahasa Sepanyol sendiri. Jalan ceritanya berkisar mengenai minat seorang anak untuk mempelajari bahasa asing yang menerima tentangan ayahnya.

“Namun segalanya berubah apabila si anak yang mempelajari bahasa Sepanyol atas inisiatif sendiri telah berjaya membantu sepasang pelancong Sepanyol yang baru tiba ke Malaysia. Mereka yang ingin mendekati masyarakat dan budaya Melayu telah dibawa si anak balik ke rumahnya, dan dilayan seperti sebahagian dari ahli keluarganya sendiri oleh si ibu. Filem berdurasi lapan minit ini diakhiri dengan si anak menerima tiket penerbangan ke Sepanyol yang dihadiahkan pasangan pelancong yang dibantunya,” kata Dr. Rozita lagi.

Dr. Rozita (tengah) bersama barisan pelakon yang menjayakan filem Alegria semasa penayangan filem berkenaan. (FOTO UM)

Projek pembikinan filem ini telah menerima kerjasama dari syarikat perfileman swasta, 90K Studio, dan sebahagian kos penggambarannya ditanggung oleh Fakulti Bahasa dan Linguistik UM.

“Secara tidak langsung, filem ini bakal mempromosi program bahasa Sepanyol khususnya, dan bahasa-bahasa lain amnya, kepada masyarakat. Melalui kaedah yang kreatif sebegini juga, kami mengharapkannya menjadi duta kepada masyarakat berbahasa Sepanyol di Malaysia, dan menjadi jambatan penghubung dalam usaha pendedahan budaya dan kesenian mereka,” kata Prof. Madya Dr. Jariah Mohd. Jan, Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik UM.

JARIAH MOHD JAN

“Saya berharap persetujuan penerimaan filem Alegria ke festival filem ini dilihat sebagai satu penghormatan dari kedutaan-kedutaan negara Amerika Latin, dan pengiktirafan mereka terhadap program bahasa Sepanyol di UM. Ini merupakan kali pertama sebuah filem berbahasa Sepanyol dari sebuah negara yang tidak menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi ditayangkan di festival ini,” kata Duta Besar Colombia, Mauricio González López yang juga merupakan penyelaras Festival Filem Amerika Latin 2018.

MAURICIO GONZALEZ LOPEZ

Judul filem yang membawa maksud ‘kegembiraan’ ini juga merupakan antara 36 filem yang disenaraikan pendek ke peringkat akhir Asean-Korea Youth Short Film Competition 2018 yang diadakan di Seoul, Korea pada Ogos lalu.

Dr. Rozita (kiri) bersama barisan pelakon yang menjayakan filem Alegria semasa majlis pelancaran Festival Filem Amerika Latin 2018. (FOTO UM)

“Pengalaman menjayakan filem ini, terutamanya berurusan dan seterusnya menerima kelulusan dari Lembaga Penapis Filem, Kementerian Dalam Negeri, adalah tidak ternilai, dan bakal memotivasikan saya dan pelajar untuk terus berusaha menjuarai kepentingan bahasa Sepanyol di kalangan penduduk negara ini,” kata Dr. Rozita di akhir temu bual.

Pendedahan budaya Amerika Latin mudah dicapai melalui penguasaan bahasa Sepanyol. - GAMBAR HIASAN


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Kementerian Pendidikan terus komited bagi melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran soft skill selain pencapaian akademik dalam kalangan mahasiswa. Antara komitmen dalam...
Dalam usaha membantu peningkatan minat pelajar sekolah dalam bidang pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), sekumpulan pensyarah dari Jabatan...
IPOH - Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kolej Komuniti Chenderoh Perak telah berjaya menganjurkan Kursus Interaksi...
Pengkarya seni jalanan terkenal dari Colombia, Diana Ordoñez, atau lebih dikenali dengan nama LeDania, telah menyumbangkan karyanya yang terkini di dinding bangunan utama Fakulti...
PENGHUJUNG Ogos lalu, pelajar Interior Design Association (Ideas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Seri Iskandar, Perak telah mengadakan projek khidmat masyarakat,...
Baka D197, atau lebih dikenali sebagai Musang King di pasaran, merupakan antara jenis yang paling digemari, kerana keenakan isinya yang lembut, berkrim, dan tidak terlalu pahit.